Usahawan Salak Mushroom Farm |
Cendawan Tiram Kelabu (Pleurotus pulmonarius) merupakan cendawan yang paling banyak diusahakan di Malaysia kerana faktor iklim di negara ini yang sangat sesuai dengan pengeluarannya. Permintaan Cendawan Tiram Kelabu juga lebih tinggi berbanding cendawan jenis lain kerana rasanya yang enak, harga yang berpatutan serta mudah digunakan dalam pelbagai menu hidangan seharian. Selain itu, bahan asas penyediaan media pengeluaran Cendawan Tiram Kelabu juga mudah diperolehi di negara ini.
Lazimnya pengusaha Cendawan
Tiram Kelabu di Malaysia menggunakan beg media pengeluaran cendawan yang
mengandungi substrat campuran habuk kayu getah, kapur pertanian dan dedak.
Selepas beg media tersebut melalui proses penstrilan dan suntikan benih, beg
media cendawan akan dimasukkan ke dalam rumah cendawan untuk tujuan pemeraman
dan pengeluaran hasil.
Kaedah pengeluaran Cendawan
Tiram Kelabu dengan menggunakan beg media cendawan mempunyai banyak kelebihan.
Kaedah ini mampu mengurangkan risiko kontaminasi dalam beg media. Saiz beg
media yang mudah dikendalikan pula membolehkan beg media tersebut ditempatkan
atau disusun ditempat yang sesuai untuk tujuan pemeraman serta pengeluaran
hasil. Selain itu, kaedah pengeluaran Cendawan Tiram Kelabu menggunakan beg
media juga memudahkan para pengusaha dalam kerja-kerja mengawal penyakit dan
perosak.
Secara umumnya, Cendawan Tiram
Kelabu merupakan salah satu jenis cendawan yang paling mudah diusahakan dan bebas
daripada sebarang penyakit. Namun begitu, kejayaan projek pengeluaran Cendawan
Tiram Kelabu bergantung kepada kualiti benih cendawan, substrat beg media
cendawan, kebersihan kawasan pemeraman beg media dan serangan serangga serta
makhluk perosak yang akhirnya menjadi penyebab jangkitan penyakit kepada beg
media pengeluaran cendawan.
Melalui pemerhatian yang
dilakukan oleh Jabatan Pertanian, penyakit utama yang sering menyerang beg
media Cendawan Tiram Kelabu adalah jangkitan kulat dan juga jangkitan bakteria.
Jangkitan kulat pada media tanaman |
Jangkitan kulat boleh
dikesan dengan cara membuat pemerhatian berkala kepada semua beg media cendawan
yang telah melalui proses pensterilan dan juga suntikan benih. Kebiasaannya,
jangkitan kulat mula dikesan semasa beg media berada dalam fasa pemeraman.
Jangkitan kulat Trichoderma spp.
dikesan apabila terdapat tompokan berwarna hijau dalam beg media manakala
Jangkitan Penicillium spp. pula
dikesan apabila terdapat tompokan berwarna biru.
Serangan bakteria |
Jangkitan bakteria terhadap
beg media cendawan juga seringkali dilaporkan. Simptom jangkitan bakteria yang
paling mudah dikesan adalah terdapat tompokan berwarna kuning yang disebabkan
oleh bakteria Pseudomonas agarici,
tompokan berwarna coklat yang disebabkan oleh bakteria Pseudomonas strutzeri dan juga kesan berlakunya pereputan pada
bahagian batang cendawan yang disebabkan oleh bakteria Pseudomonas alcaligens.
Masalah perosak dan penyakit
kerap timbul dalam perusahaan cendawan adalah kerana faktor kelembapan tinggi
dalam ruang pemeraman beg media cendawan. Kelembapan yang tinggi amat penting
dalam pengeluaran Cendawan Tiram Kelabu. Namun begitu tanpa kawalan kebersihan
yang sempurna, kelembapan yang tinggi ini boleh menjadi habitat semulajadi
pembiakan serangga perosak dan penyakit.
Sifat cendawan yang menyerap
kelembapan menyebabkan penggunaan bahan kimia dalam pengawalan perosak dan
penyakit tidak dibenarkan sama sekali. Sekiranya berlaku serangan serangga
perosak yang keterlaluan, para pengusaha hanya digalakkan menggunakan kaedah
kawalan secara biologi seperti penanaman pokok-pokok berfaedah disekitar rumah
cendawan dan kaedah kawalan secara manual seperti penggunaan perangkap serangga
seperti perangkap lalat dan penggunaan stiker kuning.
Selain itu, pengusaha juga
digalakkan menyelanggara rumah cendawan sebaiknya supaya berada dalam keadaan
kalis serangga. Pengurusan serangga adalah penting kerana serangga merupakan
agen utama penyebaran penyakit kepada beg media cendawan.
Para usahawan juga sentiasa
diingatkan supaya menjaga kebersihan dalam segenap aspek pengurusan beg media
cendawan bermula daripada penghasilan beg media cendawan, pengukusan, suntikan
benih dan sehingga pengutipan hasil. Susun atur ladang cendawan yang melibatkan
kawasan kerja tidak basmi kuman, sempadan kawasan basmi kuman dan kawasan basmi
kuman sepenuhnya perlu jelas agar risiko serangan penyakit dapat dikurangkan. Sebarang pertanyaan lanjut mengenai cendawan, boleh
diajukan kepada Pejabat Pertanian Daerah yang berhampiran atau boleh diajukan
terus ke Seksyen Tanaman Industri, Bahagian Padi, Tanaman Industri dan
Florikultur, Jabatan Pertanian Putrajaya di talian 03-8870 3290/ 3189/ 3050.
Saya pun minat sangat kerja cendwan.sy pun baru kluar kerja cendwan.saya nk cri tmpt kerja cendwan lagi tpi TK tau ke mne..
ReplyDeleteAssalamualaikum .. nak tanya .. boleh kah cendawan yg rosak ( batang berwarna kuning , liat/keras dan kelopak kuncup) akibat cuaca panas masih boleh di makan .
ReplyDelete