Wednesday, October 21, 2020

SKIM PENGESAHAN BENIH PADI JABATAN PERTANIAN

 





Benih Padi Sah merupakan benih daripada progeni benih asas atau daftar yang dikawal pengeluarannya mengikut prosedur tertentu bagi memastikan tahap ketulenan genetik dan diperakui di bawah Skim Pengesahan Benih Padi. Pengeluaran dan pembekalan benih padi sah telah dilaksanakan oleh pengeluar benih swasta yang telah dilantik oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Jabatan Pertanian berperanan sebagai agen pengesah yang menjalankan pemantauan dan pengauditan berpandukan kepada prosedur di dalam Standard Jabatan Pertanian Malaysia : Spesifikasi Pengeluaran Benih Padi (Oryza sativa) dan Malaysian Standard MS 469 : 2012 (Rice (Oryza sativa L.) inbred seed planting materials – Specification (Second revision). 



Pengeluaran benih padi sah bermula dengan pembangunan varieti baru yang superior oleh agensi penyelidikan seperti MARDI.  Pihak MARDI bertanggungjawab untuk menyediakan benih baikbaka dan pembekalan benih padi asas.  Benih asas akan dibekalkan kepada pengeluar benih swasta untuk mengeluarkan benih daftar dan seterusnya benih sah.


Proses pengeluaran benih sah adalah tertakluk kepada syarat dan prosedur yang telah ditetapkan di dalam Skim Pengesahan Benih Padi Sah (SPBP). Skim ini merupakan satu sistem kualiti kepada pengeluar benih padi swasta bagi mengeluar dan membekal benih padi untuk tujuan penanaman mengikut syarat dan piawaian yang ditetapkan. Aspek penting di bawah skim ini melibatkan pematuhan kepada ketetapan sumber serta generasi benih yang digunakan dan piawaian yang ditetapkan melalui pemeriksaan dan pengauditan yang dijalankan.



Pemeriksaan dan pengauditan akan dilaksanakan oleh Pegawai Inspektorat Bahagian Kawalan Kualiti Tanaman. Sebanyak 11 prosedur (SAP 1 hingga SAP 11) yang perlu dilalui oleh setiap pengeluar benih swasta. Aliran Kerja adalah seperti di Gambar Rajah 1. Antara elemen-elemen yang penting dalam pengeluaran benih sah adalah;

  • Tapak semaian dan ladang benih : Memenuhi jarak pemencilan dan kesempurnaan tapak.
  • Sumber kategori benih yang diperakui : Menanam dari sumber yang sah. Pembuktian sumber benih diwajibkan.  
  • Pemeriksaan ladang : Pemeriksaan ladang dijalankan di empat peringkat iaitu peringkat pra-tanam, tampang, berbunga dan pra-tuai. Ia bertujuan untuk memastikan varieti yang ditanam mengikut ciri-ciri varieti dan memenuhi piawaian ladang seperti yang ditetapkan dalam dokumen Standard Jabatan Pertanian Malaysia SJPM – 2009.
  • Pemeriksaan loji pemprosesan benih padi : Loji pemprosesan benih padi mestilah dalam keadaan bersih dan bebas daripada sebarang pencemaran atau percampuran varieti.
  • Ujian kualiti biji benih : Tiga jenis ujian yang dijalankan iaitu ujian ketulenan fizikal, kelembapan dan percambahan bertujuan untuk menentukan samada benih padi yang telah diproses mememenuhi piawaian minimum biji benih seperti yang ditetapkan dalam dokumen Standard Jabatan Pertanian Malaysia SJPM – 2009.
  • Pemeriksaan stor dan stok : Hanya benih padi yang telah mendapat perakuan sahaja ditawarkan untuk jualan. Lot benih padi mestilah dalam keadaan baik, teratur dan mudah dikesan.
  •  Label perakuan kualiti : Lot benih yang memenuhi piawaian mempunyai label perakuan kualiti benih yang ditetapkan.



Gambar Rajah 1 : Aliran Kerja Skim Pengesahan Benih Padi


Gambar Rajah 1 : Aliran Kerja Skim Pengesahan Benih Padi


Melalui skim SPBP ini, benih padi sah adalah dijamin untuk benih yang tulen, cergas dan tidak tercemar dengan bahan asing, rumpai dan padi angin serta tidak dijangkiti oleh penyakit berbahaya.  Ia merupakan kategori benih yang mempunyai potensi yang tinggi untuk tumbuh apabila ditanam di ladang. Ia boleh dikenali melalui ciri-ciri berikut:

i.     Benih padi sah dibungkus dalam beg khas dengan berat bersih 20 kg/beg

ii.     Beg benih padi sah  mempunyai jalur biru dan Logo Kerajaan Malaysia.

iii.   Setiap beg benih padi sah mempunyai label perakuan kualiti berwarna biru sebagai identiti produk.

 


Penggunaan benih padi sah adalah penting bagi mendapatkan tumbesaran tanaman yang seragam selain dapat mengelakkan pencemaran benih rumpai berbahaya, benih padi angin dan serangan penyakit berbahaya yang dibawa melalui benih.

 

Rujukan

(1)   Jabatan Pertanian Malaysia (2012) : Prosedur Skim Pengesahan Benih Padi Jabatan Pertanian Malaysia\

(2)   Portal Rasmi Jabatan Pertanian (n.d). Skim Pengesahan Benih Padi , Retrived from http://www.doa.gov.my/index.php/pages/view/407

 Disunting oleh Yunif Ibrahim Ahmad







Friday, October 16, 2020

Mudahnya Tanam Sayur Bayam




 

Bayam adalah sejenis sayuran daun yang mengandungi vitamin A, B dan C dan zat-zat galian seperti kalsium dan besi. 

Terdapat dua jenis bayam iaitu: 

a. Jenis berwarna hijau, berdaun lebar dan kadangkala berdaun bujur. 

b. Jenis berwarna hijau keunguan dan kemerahan. 

Bayam sesuai ditanam di pelbagai jenis tanah terutama tanah gembur liat ringan dan tanah liat berpasir. Tanah yang kaya dengan bahan organik, mempunyai saliran yang baik dan mempunyai kemasaman (pH) tanah di antara 5.5 - 6.5 adalah paling sesuai.

Menyedia Batas 

Bajak dan gemburkan tanah sebelum menyediakan batas.  Ukuran batas ialah 120 sm lebar, 20 - 30 sm tinggi dan 760 sm panjang. Jarak antara batas ialah 30 cm. Buat tiga alur kecil memanjang di permukaan batas.

Menanam

Bayam ditanam terus dengan menggunakan biji benih. Oleh kerana biji benih bayam adalah halus, gaulkan biji benih dengan pasir atau tanah peroi sebelum disemai. Kemudian taburkan sama rata ke dalam alur-alur di atas batas. Selepas 2 - 3 hari anak benih akan bercambah. Jarakkan mengikut ukuran yang disyorkan iaitu 8 – 10 sm antara pokok dan 45 sm antara barisan. Sebanyak 1 - 3 kg biji benih diperlukan untuk 1 hektar. 

Bayam boleh juga disemai di dalam tapak semaian sebelum diubah ke batas. Sebelum menyemai gaulkan biji benih dengan racun kulat seperti thiram dengan kadar 3 gm thiram dengan 1000 gm biji benih untuk mencegah penyakit melecuh. Lebih kurang 12 hari selepas menyemai, siram anak-anak benih dengan baja larutan urea sebanyak 4 gm dalam seliter air. Sungkupan penuh perlu dibuat 3 hari selepas menyemai. Ubah dan tanam anak-anak benih ke atas batas yang elah disediakan selepas 3-4 minggu disemai.

Penjagaan

Membaja 

Baja organik seperti tahi ayam boleh digunakan sebagai baja asas. Baja ini digaul ke dalam batas. Lebih kurang 5 tan metrik baja ini diperlukan untuk sehektar. 


 Sebagai panduan 7 hari lepas tanam. 

a. 240 gm Sulphate of Amonia 

b. 24 kg Triple Superphosphate 

c. 120 kg Muriate of Potash 

Baja-baja ini digaul dan ditabur di antara lorong-lorong pokok setiap minggu. 

Menyiram

Bayam memerlukan air yang banyak untuk pembesarannya. Dalam musim panas penyiraman dilakukan sebanyak 2 kali sehari iaitu pada waktu pagi dan petang.


Sungkupan 

Sungkupan diletakkan di atas batas selepas mengubah. Gunakan pelepah kelapa atau rumput-rumput kering sebagai bahan sungkupan. Sungkupan boleh mengawal kehilangan air, mengawal pertumbuhan memperbaiki struktur dan kesuburan tanah. 

Merumput 



Kawalan rumpai dilakukan sepanjang masa. Merumput boleh dilakukan dengan tangan.

MEMUNGUT HASIL 



Bayam boleh dituai 3 – 4 minggu selepas ditanam atau apabila pokok mencapai 20 – 25 sm tinggi. Kutipan dibuat 3 - 7 hari sekali. Pokok dicabut atau dipotong batangnya.



Jika anda merasakan artikel ini berguna buat anda dan sahabat lain. Sila Share, Komen dan Follow blog ini. 

Sumber : InfoTani 02/07.13/15R(7)

Disunting oleh : Yunif Ibrahim Ahmad



MAFI akan perkenal harga siling benih padi



Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan memperkenalkan harga siling benih padi dan melaksanakan pembelian menerusi sistem kupon.

Menurut kenyataan MAFI hari ini, langkah itu diambil selepas kata sepakat dicapai di antara kementerian dan wakil petani dalam sesi dialog yang diadakan bagi mengatasi permasalahan benih padi yang sering dihadapi pesawah.

Menurut kenyataan itu, MAFI akan melantik Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) sebagai pengedar tunggal benih padi sah terus kepada pesawah. 

"Pengedaran dan pembekalan benih padi sah ini akan dikawal menerusi sistem yang akan dibangunkan oleh Nafas secara dalam talian. Oleh yang demikian, pemantauan dan kawal selia dapat dilaksanakan dengan lebih baik," demikian menurut kenyataan itu.

MAFI berkata ia juga akan membuka peluang kepada lebih banyak pihak untuk turut serta dalam penghasilan benih padi sah termasuk pihak Pertubuhan Peladang Kawasan, syarikat berkaitan kerajaan dan swasta. 

"Bagaimanapun, pihak yang akan dilantik kelak tetap dipantau dan dinilai secara teknikal dan kewangan menerusi jawatankuasa yang akan dilantik," kata MAFI.

Menurut MAFI, sebelum ini pesanan benih padi sah dibuat dalam tempoh lima hingga enam bulan sebelum musim penanaman bermula kepada kesemua pengeluar benih padi sah yang dilantik oleh kerajaan persekutuan.  

"Bagaimanapun, ada sebahagian pengeluar tidak dapat membekalkan sepenuhnya sebagaimana yang dipesan berdasarkan kepada kapasiti pengeluaran semasa, perubahan pesanan pada saat-saat akhir dan sebagainya," demikian menurut kenyataan itu.

Selain itu, MAFI berkata walaupun kerajaan telah menetapkan harga RM28 bagi setiap beg benih padi sah seberat 20 kilogram  untuk dijual di pintu kilang pengeluar benih padi sah, terdapat eksploitasi harga oleh ejen atau orang tengah.

Sebuah akhbar melaporkan mengenai kewujudan orang perseorangan yang memanipulasi harga benih padi termasuk menyorokkan stok setiap kali musim penanaman padi.

Individu terbabit dilaporkan bertindak memanipulasi harga serta mengedarkan benih kampit putih yang jauh lebih rendah kualitinya.

#myDOA


Sumber : Bernama.com

Friday, October 9, 2020

RAMPASAN RACUN PEROSAK TIDAK BERDAFTAR DI BAWAH AKTA RACUN MAKHLUK PEROSAK 1974







Seksyen Penguatkuasaan, Bahagian Kawalan Racun Perosak dan Baja, Jabatan Pertanian Malaysia dalam operasi yang dijalankan pada 6 Oktober 2020 telah membuat serbuan ke premis menjual dan menyimpan racun makhluk perosak dan merampas pelbagai racun makhluk perosak tidak berdaftar di sebuah premis di Rawang, Selangor. Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan  berjumlah RM476,760.00.


 

Premis ini dijadikan hub penyimpanan sebelum racun makhluk perosak tersebut dihantar dan diedarkan ke seluruh negara mengikut pesanan yang diterima. Racun makhluk perosak yang dirampas antaranya adalah bagi kegunaan kawalan rumpai dengan pelbagai jenama yang disyaki mengandungi perawis aktif Paraquat Dichloride yang tidak berdaftar dan telah diharamkan penggunaan di Malaysia mulai 1 Januari 2020. Pelbagai racun serangga berlabel tulisan negara jiran dan tidak berlabel disyaki merupakan racun tiruan turut dirampas di tempat kejadian.

 

Kes ini disiasat di bawah Akta Racun Makhluk Perosak 1974 mengikut seksyen 13(1)(b) iaitu iaitu mengilang racun makhluk perosak tidak berdaftar, seksyen 20(3) iaitu menjual racun makhluk perosak tidak berdaftar dan seksyen 53A(1)(a) iaitu memiliki racun makhluk perosak tidak berdaftar.

 

Bagi kesalahan di bawah seksyen 13(1)(b) boleh dihukum dibawah seksyen 13(2) akta yang sama iaitu bagi kesalahan kali pertama, dipenjarakan selama lima (5) tahun atau didenda  lima puluh ribu ringgit, bagi kesalahan di bawah seksyen  20(3) boleh dihukum dibawah seksyen 20(4) iaitu bagi kesalahan kali pertama, dipenjarakan selama tiga (3) tahun atau didenda sepuluh ribu ringgit. Manakala bagi kesalahan di bawah seksyen 53A(1)(a) boleh dihukum dibawah seksyen 53A(2) iaitu bagi kesalahan kali pertama, dipenjarakan selama satu (1) tahun atau didenda sepuluh ribu ringgit.

 

Kepentingan keselamatan makanan hasil pertanian akan sentiasa menjadi keutamaan. Pihak jabatan juga menasihatkan agar semua yang terlibat dengan aktiviti racun makhluk perosak hendaklah sentiasa patuh dengan kehendak di bawah Akta Racun Makhluk Perosak 1974. Pengguna dan petani dinasihat agar tidak mudah terpedaya dengan sindiket yang menjual racun makhluk perosak tidak berdaftar dan sentiasa menggunakan racun makhluk perosak yang berdaftar. Pengguna boleh mendapatkan maklumat racun makhluk perosak berdaftar dari Sistem Maklumat Racun Makhluk Perosak (SISMARP) yang boleh dilayari di laman sesawang Jabatan Pertanian Malaysia dipautan www.doa.gov.my.

 

Jabatan Pertanian sentiasa komited dalam membanteras penjualan dan penggunaan racun makhluk perosak tidak berdaftar. Sekiranya orang ramai mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti racun makhluk perosak yang melanggar kehendak              Akta Racun Makhluk Perosak 1974, sila laporkan kepada :

Jabatan Pertanian Malaysia,

Bahagian Kawalan Racun Perosak dan Baja, 

Tingkat 4-6 Wisma Tani, 

Jalan Sultan Salahuddin, Kuala Lumpur, 

Faks 03-2694 7001 

pro@doa.gov.my