Wednesday, July 22, 2020



“BLACK MADRAS” diharamkan penanamannya di Malaysia



Padi (Oryza sativa L.) merupakan tanaman utama di Malaysia kerana beras/nasi merupakan makanan ruji bagi penduduk di Malaysia  dan majoriti penduduk di rantau Asia ini. Pada tahun 2008 negara dikejutkan dengan KRISIS MAKANAN DUNIA khususnya kenaikan harga dan kekurangan bekalan beras.Antara faktor yang menyumbang kepada keadaan krisis ini adalah disebabkan oleh penawaran yang tidak dapat memenuhi kehendak permintaan. Pada masa itu pengeluaran padi didalam Negara  hanya menyumbang 70% daripada keperluan padi Negara dan selebihnya perlu diimport dari luar Negara  untuk memenuhi permintaan dan keperluan padi di dalam Negara. Keadaan kekurangan bekalan beras dan kenaikan harga ini sedikit sebanyak mencetuskan rasa panik dan huru hara dikalangan masyarakat.

Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan (MAFI) melalui Jabatan Pertanian Malaysia antara agensi yang dipertanggungjawapkan untuk menilai dan mengatasi masalah ini. Untuk memastikan krisis seperti  ini tidak berulang, beberapa langkah telah diperkenalkan untuk memastikan kita dapat mengharungi kriris makanan di masa hadapan. Antaranya meningkatkan tahap saradiri pengeluaran beras Negara dari 72% kepada 80% menjelang 2020, mewujudkan stok penimbal beras yang mencukupi untuk 3 bulan.



Kementerian di bawah DASAR JAMINAN BEKALAN MAKANAN 2008-2010  melalui Pelan Peningkatan Pengeluaran Beras Negara telah merangka beberapa strategi utama sebagai respon segera untuk meningkatkan pengeluaran padi Negara  seperti mempertingkatkan kemudahan infrastruktur ladang, memperkenalkan varieti-varieti benih padi baru yang rintang penyakit, pemberian subsidi input dan insentif serta mengenalpasti dan membuka kawasan-kawasan jelapang padi baru. Semua langkah yang diambil ini diharap dapat meningkatkan pengeluaran hasil padi seterusnya menyiapkan Negara untuk mengharungi dan menghadapi  jika berlaku krisis makanan di masa hadapan.

Mutakhir ini, ada pihak-pihak yang telah mengambil inisiatif untuk membawa masuk benih-benih padi  dari luar Negara yang tidak diuji kualiti dan mutu benih padi tersebut. Walaupun tujuannya adalah untuk meningkatkan hasil padi tetapi secara tidak langsung membawa risiko yang lebih besar kepada industri padi didalam Negara. Beberapa tahun lepas cubaan petani untuk menanam benih padi yang dibawa masuk secara haram dari Pakistan dan Vietnam telah menyebabkan tularnya penyakit Hawar Daun Bakteria(BLB), Jalur Daun Bakteria(BLS) dan karah dan penyakit-penyakit ini sehingga kini sukar dihapuskan dan telah menjejaskan hasil tanaman padi tempatan. Kira-kira sepuluh tahun yang lalu industri padi khususnya di negeri Perlis
berhadapan penyakit padi merah yang disebabkan sejenis virus daripada benih padi yang dibawa masuk secara haram dari Thailand. Kini tular tentang penanaman padi Black Madras di dalam negeri Perlis yang masuk kedalam Negara tanpa melalui pemeriksaan dan kuarantin tanaman dan kemasukan benih secara tidak sah ini turut sama mengundang risiko penyakit-penyakit baru yang mungkin dibawa masuk bersekali dengan benih yang dibawa masuk. Selain daripada risiko penyakit dan serangga kepada industri padi tempatan, semua padi tidak sah yang diseludup masuk kedalam Negara ini adalah salah disisi undang-undang dan boleh dikenakan tindakan dibawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 jika sabit kesalahan.





Benih Padi Sah

Benih padi sah merupakan progeni benih asas atau daftar yang dikawal pengeluarannya mengikut prosedur yang ditetapkan bagi memastikan tahap ketulenan genetik dan diperakui menepati piawaan yang ditetapkan. Pelaksanaan program Insentif Benih Padi Sah (BPS) oleh MAFI adalah bagi memenuhi dasar kerajaan yang menggalakkan semua petani menggunakan benih padi sah untuk tujuan penanaman padi di Malaysia. Perakuan kualiti  benih padi sah hanya akan diberikan kepada spesifikasi yang terkandung dalam dokumen Standard Jabatan Pertanian Malaysia (SJPM) : Spesifikasi Pengeluaran Benih Padi (Sativa oryza) dan MS:469:2012:Specification for Rice (Oryza sativa) Seeds For Planting. Proses pengesahan ini melibatkan pemeriksaan ladang, pemeriksaan premis (loji) dan pengujian benih padi di makmal. Di bawah program BPS, jenis-jenis padi yang diperakui kini adalah MR219, MR220, MR220CL2, MR253, MR263 dan MR269.



Penggunaan benih padi yang tidak sah menyebabkan kekurangan hasil, penyebaran penyakit serta merugikan pesawah dan Negara dari segi penurunan hasil dan pendapatan pesawah dan Negara. Untuk memastikan petani di Malaysia menggunakan benih padi yang sah dan mematuhi Amalan Pertanian Baik, Jabatan Pertanian serta lain-lain agensi yang terlibat dibawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sentiasa mengadakan sesi penerangan dan aktiviti pengembangan untuk memberi kesedaran dan kefahaman tentang penggunaan benih padi sah dan risiko-risiko penggunaan benih padi tidak sah bagi memastikan bekalan benih padi yang dijamin kualitinya seterusnya dapat menyumbang kepada peningkatan pengeluaran. Kementerian juga mempunyai undang-undang yang secara umumnya mengawalselia padi dan beras di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).Selain itu bagi langkah untuk memperkukuhkan dan memperkemaskan mekanisma penguatkuasaan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan sedang menyediakan undang-undang yang khusus berkaitan kualiti benih melalui Rang Undang-Undang Kualiti Benih.


Walaupun pelbagai langkah telah diambil didalam usaha untuk menggalakkan petani menggunakan benih padi sah tetapi masih terdapat laporan-laporan mengenai aktiviti penggunaan benih padi yang tidak sah. Benih-benih padi tidak sah ini wujud kerana ada pihak-pihak tidak bertanggungjawap yang memperdaya petani dengan menjual benih padi yang tidak sah seperti yang disyorkan. Dalam hal ini, petani telah sedia maklum dan faham akan kaedah  penggunaan benih padi sah tetapi oleh kerana harga benih padi sah yang sedikit mahal menyebabkan petani telah beralih kepada sumber yang lebih murah dan tidak mendapat pengesahan Jabatan Pertanian. Jabatan Pertanian Malaysia dari masa ke semasa sentiasa memantau dan memastikan dasar yang ditentukan oleh kerajaan dapat memenuhi keperluan hasil padi Negara terutamanya dalam mencapai tahap sara diri. Adalah menjadi tanggungjawap semua pihak untuk memastikan bekalan yang mencukupi dengan keselamatan makanan menjadi agenda yang wajib dikawal disetiap peringkat.



Padi  ‘Black Madras’

Padi Black Madras atau nama latinnya Oryza sativa ‘Black Madras’ juga dikenali dengan nama lazimnya iaitu Padi Daun Ungu (Purple-leaved Rice) berasal dari keluarga Poacacea. Tanaman padi Black Madras ini dihasilkan lebih sebagai satu tanaman ornamental (tanaman hiasan) dan oleh sebab itu tidak ada banyak penerangan atau kajian yang dijalankan oleh mana-mana pihak terhadap padi dari varieti ini. Asal datangnya tanaman ini juga tidak dapat dipastikan dengan sahihnya kerana ada pihak yang mendakwa padi ini berasal dari Taiwan, Korea atau Jepun. Sifat fizikalnya yang sesuai hidup di tempat-tempat sempit serta warna ungu pada daun  yang menarik dan menghasilkan beras menjadikan tanaman ini antara tanaman ornamental yang menjadi pilihan di luar negeri. Dakwaan yang mengatakan padi ini kurang gula dan sesuai dimakan pesakit diabetis, menghasilkan lebih pengeluaran daripada varieti-varieti padi tempatan dan rintang kepada serangan penyakit dan serangga padi pula tidak disokong atau dibuktikan dengan penyelidikan dan kajian-kajian ilmiah dan setakat ini hanya merupakan 'khabar angin' sahaja. Padi Black Madras yang ditanam didalam negeri Perlis pula membuktikan bahawa varieti ini tidak rintang serangan penyakit dan serangga seperti yang dinyatakan didalam Laporan Penanaman Padi Black Madras di Kawasan MADA Wilayah 1,Negeri Perlis yang disediakan oleh Bahagian Biosekuriti, Jabatan Pertanian Negeri Perlis.






Deskipsi Botani

Nama Botani               :           Oryza sativa ‘Black Madras’

Nama Biasa                 :           Padi Daun Ungu (Purple-leaved Rice)
                                                Ornamental rice Black Madras
                                                Black Madras

Genus                          :           Oryza

Famili                          :           Poaceace, dari keluarga Rumput

Jenis Pendebungaan   :           Pendebungaan Sendiri (Self pollination)

Keperluaan Suhu         :           20°C - 33°C

Taburan Hujan            :           200 – 300 mm/bulan

Kesesuaian Tanah       :           Tanah liat , liat berkelodak, tanah liat peroi, tanah gembur pasir

pH Tanah                     :           5.5 – 6.5

Tempoh Matang         :           95 – 100 hari lepas tanam

Potensi Hasil               :           6 – 7 ton/hektar



Morfologi Tumbuhan

Batang                         :           Ruas berongga tegak, tinggi 100cm
                                                Bahagian buku batang dan ruas terdapat daun dan
                                                kudup daun yang boleh membesar menjadi anak padi

Akar                             :          Akar jenis serabut terdiri daripada tiga akar sulung
                                                dan akar luar biasanya bercabang-cabang

Daun                            :          Setiap buku menghasilkan lai daun(10-20helai daun)
                                                Daun pengasuh terletak paling atas dimana boleh
                                                didapati cuping atau upih daun
                                                Daun berwarna hijau cerah bawah 30 hari dan bertukar
                                                warna ungu kehitaman selepas itu

Panikel(tangkai buah) :           Panikel (tangkai buah) dikeluarkan di buku ruas yang paling atas
                                                Mempunyai cabang utama, kedua dan ketiga dimana semasa
                                                berlaku pendebungaan, tangkai berkeadaan tegak dan condong
                                                bila berisi

Bunga Padi                  :           Bunga Padi (spikelet) mempunyai dua kelopak yang melindungi
                                                bahagian-bahagian dalam bunga
                                                Padi adalah jenis hermaphrodite iaitu bunga jantan dan bunga
                                                betina terdapat dalam satu bunga


Floret                           :           Terdiri daripada permukaan yang keras iaitu lemma dan palea
                                                dan diantaranya terdapat bunga lengkap yang terdiri daripada
                                                enam stamen, satu pistil dan dua lodicule

Biji Padi                       :           Terdiri daripada ovari yang masak, lemma dan palea, anak jentu
                                                (rachilla), lemma mandul dan janggut jika didapati




Kesimpulan

  1. Bahagian Biosekuriti Tumbuhan, Jabatan Pertanian Negeri Perlis telah mengeluarkan laporan P&R  pada 29 Disember 2018 dan akan menghantar sampel padi tersebut untuk ujian selanjutnya ke Makmal Patologi Kuala Lumpur pada 10 Januari 2018.

  1. Tujuan penghantaran sampel tersebut adalah untuk mengenalpasti jenis-jenis perosak seperti bakteria, kulat, nematode  atau virus yang merbahaya yang boleh mengancam industri tanaman padi negara.

  1. Tindakan lanjut akan diambil setelah ujian dari Makmal Patologi siap disediakan dan hasil ujian yang akan dikeluarkan kelak akan menjadi penanda aras kepada bentuk tindakan yang akan diambil.

  1. Tindakan jangka pendek yang telah diambil ialah kawasan penanaman padi di Tambun Tulang telah dikuarantin oleh pihak BBT Negeri Perlis dan agensi-agensi lain yang terlibat seperti MARDI, MADA, MAQIS dan Unit Kawalselia Padi.

  1. Penanam juga telah dinasihatkan untuk tidak meneruskan rancangannya untuk menghasilkan benih padi yang akan dijual kepada orang ramai. Penanam juga telah berjanji untuk menggunapakai sendiri hasil padi Black Madras yang akan dituai nanti.

  1. Pihak BBT Negeri Perlis juga mencadangkan agar semua aktiviti penanaman padi dari jenis ‘Black Madras’ ini dihentikan kerana jelas benih padi yang dibawa masuk adalah secara seludup/tidak sah.
  2. Pada 21/1/2018 Timbalan Menteri Pertanian telah mengarahkan agar pesawah tidak menanam padi dari jenis Black Madras ini. Penggunaan bahan benih yang tidak disahkan boleh mengakibatkan kerugian besar kepada industri padi Negara melalui.

  1. Jabatan Pertanian dan semua agensi terbabit akan terus memantau dan memberi penerangan kepada pesawah-pesawah di Malaysia akan bahaya menggunakan benih padi tidak sah. Kawalan pintu masuk sempadan akan diketatkan untuk mengawal kemasukan benih-benih padi tidak sah ini.





Disediakan oleh  :  Jabatan Pertanian Negeri Perlis
Disunting oleh : Yunif Ibrahim Ahmad