Wednesday, July 12, 2017

Aplikasi #AgriMaths dan #TipTanaman #MY1DOA untuk rujukan #Agropreneur





APLIKASI MUDAH ALIH PERTANIAN MUDAHKAN KERJA

Aplikasi mudah alih atau lebih dikenali sebagai “Mobile App” adalah perisian aplikasi yang direka untuk membolehkan ia dimuat turun di telefon pintar, komputer tablet dan peranti mudah alih yang lain. Selaras dengan kemajuan teknologi komunikasi masa kini, Jabatan Pertanian Malaysia juga mewujudkan inisiatif dengan membangunkan dua aplikasi mudah alih yang dibangunkan di bawah projek e-Agriculture Extension atau e-Pengembangan Pertanian. Inisiatif ini adalah bagi mentransformasikan perkhidmatan pengembangan pertanian melalui platform mudah alih untuk capaian yang cepat, mudah, tanpa mengira masa dan tempat di mana anda berada.

Dua aplikasi yang dibangunkan adalah AgriMaths dan 100 Tip Tanaman. AgriMaths adalah adaptasi daripada buku ‘Asas Matematik Pertanian’ terbitan Jabatan Pertanian Malaysia. Ia menampilkan maklumat pengiraan untuk tanaman sayur-sayuran dan tanaman singkat masa, buah-buahan, padi, kelapa, cendawan, lebah madu dan kelulut, baja, racun makhluk perosak, kejuruteraan pertanian, fertigasi dan aliran kewangan.  Ia sesuai digunakan sebagai sumber rujukan dan panduan pantas kepada pegawai pengembangan pertanian mahupun usahawan tani.
Aplikasi AgriMaths boleh dimuat turun melalui Google Play bagi telefon
pintar android dan App Store bagi telefon pintar iPhone. 

Hasil daripada aplikasi AgriMaths ini, pengguna dapat mengetahui jumlah biji benih, jumlah pokok, bilangan batas tanaman, jarak tanaman, kepadatan tanaman, sistem menanam dan keperluan infrastruktur ladang mengikut keluasan tanah. Melalui aplikasi ini, pengguna boleh mengetahui jumlah bilangan batas tanaman bagi tanaman sayur-sayuran untuk 1 ekar keluasan tanah adalah 269 batas tanaman manakala untuk 1 hektar adalah 664 batas dengan jarak antara batas ialah 2 kaki.  Selain itu, pengguna juga boleh mendapatkan maklumat umum berkenaan baja yang merupakan input utama dalam projek pertanian seperti definasi baja, keterangan formulasi dan kandungan unsur pada beg baja, peratus kandungan nutrien dalam baja bukan organik, carta panduan mencampur baja, formulasi baja fertigasi dan pengiraan baja fertigasi.

Aplikasi 100 Tip Tanaman boleh dimuat turun melalui Google Play bagi 
telefon pintar android dan App Store bagi telefon pintar Iphone. 
100 Tip Tanaman pula memuatkan 100 tip dan petua tanaman yang diolah secara ringkas dan padat sebagai sumber rujukan dan panduan pantas untuk orang ramai.  Antara tip tanaman yang boleh diperolehi dalam aplikasi ini adalah kaedah penyediaan lima jenis baja cecair Natural Farming (NF) iaitu baja hijau, baja buah-buahan, baja berasaskan ikan, baja berasaskan tulang dan baja berasaskan kulit telur/ kerang/ siput beserta dengan kaedah mudah penyediaan baja-baja tersebut. Sebagai contoh kaedah membuat baja berasaskan ikan adalah dengan menyediakan 1 kilogram ikan atau sisa ikan kemudian dicampurkan dengan 1 kilogram gula merah dan bekas perlu ditutup dengan kertas putih dan diikat serta diperam selama empat belas hari dan akhir sekali ditapis untuk mendapatkan cecair baja. Untuk penggunaan, pengguna boleh mengambil 1 sudu besar cecair baja dan campur ke dalam 5 liter air dan disiram terus pada tanaman. Kaedah penyediaan baja ini diharap dapat menggalakkan pengguna membuat sendiri baja secara organik dan secara tidak langsung menggalakkan orang ramai bercucuk tanam dan menghasilkan sumber makanan sendiri yang lebih terjamin keselamatannya.


Aplikasi yang dibangunkan ini diharap dapat menjadi panduan kepada semua peringkat masyarakat terutamanya pengusaha pertanian dan pelajar-pelajar. Orang ramai boleh memuat turun aplikasi AgriMaths dan 100 Tip Tanaman melalui telefon pintar secara percuma di Google Play bagi telefon pintar jenis adroid dan App Store bagi telefon pintar jenis iPhone. 

Friday, June 23, 2017

SAYUR REMAYONG – tak kenal maka tak cinta

SAYUR REMAYONG – tak kenal maka tak cinta
(idris bald)

idris baldRemayong atau Tembayong atau Ceylon Spinach, Indian Spinach, Malabar Nightshade dalam bahasa Inggeris atau nama botaninya Basella sp merupakan sayur-sayuran berdaun hijau tropika yang menjalar, lazim ditanam sebagai herba belakang rumah atau di taman-taman rumah masyarakat Asia.


Remayong tergolong dalam famili Basellaceae dan terbahagi kepada dua kultivar, iaitu Basella alba, yang mempunyai daun hijau dan batang hijau yang pekat, dan Basella rubra dengan batang merah atau ungu dan daun hijau pekat dengan urat merah jambu.


Remayong dipercayai berasal dari India Selatan, atau mungkin dari kawasan tropika disekitar Malabar dan Sri Lanka. Di Asia, remayong dikenali dengan berlainan nama seperti bayam Ceylon, bayam Malabar, mana choy (Cina), mong toi, mung towi (Vietnam), alugbati (Filipina), pui saag (Bengali), genjerot, gondola (Indonesia), Phakpang, phakplang, plakplang yai (Thailand) dan baselle atau brede (Peranchis).

Orang Inggeris menyebut remayong sebagai spinach (bayam), namun ianya tidak dimaksudkan Spinacea oleracea.  Walaupun tumbuhan remayong biasanya sangat gemar ditanam dikalangan keluarga Asia Selatan, kini ianya mula popular dikalangan penduduk negara beriklim tropika dan sederhana di Amerika, Australia, dan Eropah kerana ianya digemari kerana berkhasiat dan lembut.

idris bald
Pokok remayong adalah tumbuhan saka dan tumbuh sebagai tanaman herba yang sesuai ditanam di tanah yang subur dengan iklim panas dan lembab. Mudah dibiakkan dengan menggunakan biji benih atau keratan batang yang pertumbuhannya lebih cepat tetapi mempunyai jangkahayat yang pendek. Pokok remayong mengeluarkan bunga berwarna putih atau putih-merah muda bergantung kepada spesies dan ungu dari tangkai yang mempunyai buah beri hitam.

Remayong mempunyai daun tebal, berisi, berbentuk bujur atau berbentuk hati (ovate) dengan batang hijau muda (B.alba) atau merah jambu atau keunguan dan urat berwarna merah jambu (B.rubra) yang mengalir di seluruh daunnya. Remayong boleh dituai selepas 35 – 45 hari ditanam dengan memotong bahagian pucuk. Pucuk remayong enak jika digoreng bersama perencah udang atau bilis seperti memasak kangkong atau bayam.


idris baldRemayong adalah sayur-sayuran berdaun hijau yang digemari dalam masyarakat Asia Timur kerana profil fitonutriennya yang sihat. Remayong didapati sangat rendah kalori dan lemak (100 gram daun mentah menyediakan hanya 19 kalori). Walau bagaimanapun, ia memegang sejumlah besar vitamin, mineral dan antioksidan.

Daun segar remayong hijau adalah sumber yang kaya dengan beberapa antioksidan pigmen karotenoid, penuh dengan kadungan penting seperti ß-karoten, lutein, zeaxanthin. Sebatian ini mampu bertindak sebagai pelindung pelindung terhadap radikal bebas dalam oksigen dan spesies oksigen reaktif (ROS) yang memainkan peranan penyembuhan dalam penuaan dan pelbagai proses penyakit.

idris bald
Daun yang tebal dan berisi adalah sumber polysaccharide. Sebagai tambahan kepada serat semulajadi (roughage) yang ditemui di batang dan daun, memudahkan dalam pencernaan dengan lancar. Diet serat membawa pengurangan penyerapan kolesterol, dan membantu mencegah masalah usus.

Daun dan batang remayong juga sangat kaya dengan vitamin A. Dalam 100 gm daun segar dapat menyediakan 8000 IU atau 267% daripada elaun harian yang disyorkan (vitamin RDA). Vitamin A diperlukan untuk mengekalkan membran dan kulit lendir yang sihat, dan penting untuk penglihatan yang baik. Penggunaan sayur-sayuran semulajadi dan buah-buahan yang kaya dengan vitamin A dan flavonoid telah dianggap menawarkan perlindungan dari kanser rongga paru-paru dan mulut.

Selain dari itu remayong mempunyai lebih banyak kandungan vitamin C, vitamin B kompleks seperti folat, vitamin-B6 (pyridoxine), riboflavin dan zat besi yang mampu membantu tubuh manusia mengembangkan daya tahan terhadap agen-agen berjangkit dan membuang radikal bebas oksigen berbahaya.


Selain itu, daun remayong adalah sumber mineral yang baik seperti kalium (11% daripada RDA / 100 g), mangan (32% daripada RDA / 100 g), kalsium, magnesium, dan tembaga. Potassium merupakan komponen utama cecair sel dan badan yang membantu mengawal jantung dan tekanan darah.


Pengambilan remayong dalam diet dapat membantu mencegah osteoporosis (kelemahan tulang), anemia kekurangan zat besi dan ia dipercayai mampu melindungi tubuh daripada penyakit kardiovaskular dan kanser kolon.



idris bald

idris bald

idris bald

Friday, June 9, 2017

Cekur Manis

CEKUR MANIS – orang kata memakannya boleh ngidap sakit kepala, betul ke…?
(idris bald)

Cekur manis atau dikenali juga dengan nama lain seperti taruk manis, cekup manis, asin-asin, sweet leaf bush (inggeris), mani cai (cina), rau ngot (Vietnam) atau nama saintifiknya Sauropus androgynus merupakan tumbuhan yang banyak terdapat di negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia dan Thailand. Tergulung dalam keluarga Euphorbiacea, daun cekur manis selalunya dijadikan sayur dalam masakan atau boleh juga dijeruk.



Pokok cekur manis adalah sejenis pokok renek yang berbatang keras dan mempunyai banyak cabang yang keluar dari pangkal pokok. Daunnya kecil berwarna hijau tua, berbentuk lonjong, tirus dihujung dan lebar dipangkal. Daunnya tersusun pada tangkai secara berselang seli manakala tangkai daunnya tersusun berselang seli pada setiap cabang. Bunganya kecil berwarna merah tua, buahnya kecil, bulat dan berwarna hijau muda.

Pucuk cekur manis dimakan sebagai sayuran yang dimasak rebus bersama ikan bilis atau udang kering. Boleh juga dicelur dan dimakan bersama sambal belacan, budu, cencaluk atau lain-lain pencecah sebagai ulam. Rasanya manis dan berangin.

Pokok cekur manis mudah dibiakkan menggunakan keratan batang muda atau biji benih. Di kampong, tanaman ini tumbuh meliar di kawasan redup namun kini terdapat pengusaha/petani yang mengusahakan secara komersil. Tumbuhan renek saka ini boleh tumbuh setinggi 8 meter jika tidak dicantas. Oleh itu tanaman separa berkayu ini perlu dicantas agar ia banyak bercabang serta dapat mengekalkan kesuburan dan memastikan penuaian yang berterusan dan dapat mengekalkan ketinggian 1-2 meter untuk penghasilan yang tinggi.

Cekur manis digunakan dalam perubatan tradisional untuk membanyakkan susu ibu. Caranya daun cekur manis yang telah dihancurkan ditampal pada payu dara ibu, dibasuh selepas kering. ia juga di gunakan untuk menghitamkan rambut bayi. Jusnya boleh digunakan untuk mengubat sakit mata dan demam. Namun pengambilan berlebihan cekur manis juga dikatakan boleh membawa kepada masalah paru-paru, 

Cekur manis merupakan sumber vitamin K yang baik dan berupaya menjadi pembersih darah dan awet muda jika dimakan sebagai sayur. Dalam perubatan tradisional melayu, cekur manis dikatakan mampu memperbanyakkan susu ibu dengan menumbuk hingga lumat daunnya dan ditampal pada payu dara ibu hingga kering. Selain dari itu, air rebusan cekur manis juga dikatakan mampu mengurangkan tekanan darah tinggi atau kencing tidak lawas manakala air rebusan akarnya boleh juga merawat demam serta rosak pundi kencing.

Bagaimanapun menurut satu kajian di Taiwan, pengambilan air cekur manis secara berlebihan akan mengakibatkan kerosakan paru-paru. Ini disebabkan kepekatan tinggi alkaloid papaverine yang terkandung dalam cekur manis, 



Cekur manis juga dikatakan boleh merawat panas badan, tekanan darah rendah, wanita yang baru bersalin, pengeluaran susu ibu yang kurang, sistem pembuangan air kecil bermasalah, pening-pening, penyakit jantung dan saluran darah (kardiovaskular).

Cekur manis dimasak pengat
Banyak makan jadi haru biru
Makan sedikit banyak manfaat
Jika lebih timbul masalah paru





Tuesday, June 6, 2017

Bidara

BIDARA - daunnya dibuat mandi mayat...
(idris bald)

Nasi lemak buah bidara,
Sayang selasih hamba lurutkan,
Assalamuaalaikum pembuka bicara,
Selamat berpuasa saya ucapkan.

Pantun di atas telah diubah, sebenarnya pantun asalnya begini, 

Nasi lemak buah bidara, 
Daun selasih hamba lurutkan,
Buang emak buang saudara, 
Kerana kekasih hamba turutkan.... 


Maksud kedua-dua pantun di atas sebenarnya tiada kaitan dengan apa yang hendak saya tuliskan. Namun apa yang hendak diceritakan di sini adalah mengenai pokok dan buah bidara atau nama saintifiknya Ziziphus mauritiana


Pokok Bidara merupakan sejenis pokok renek malar hijau yang tumbuh di Selatan Asia. Pokoknya sederhana besar, berduri yang boleh mencapai ketinggian sehingga 15 meter. Bentuk pokok merimbun, duri stipular dan banyak dahan yang rendang. Buahnya memiliki pelbagai bentuk dan saiz yang berbeza-beza. Ia mungkin berbentuk bujur, obovate, lonjong atau bulat, dan ada yang boleh mencecah sehingga 2.5 - 6.25 cm panjang, bergantung kepada jenis. 


Pokok Bidara tumbuh dengan pantas dan mempunyai akar tunjang, sangat sesuai ditanam di kawasan kering seperti bekas lombong dan sebagainya. Pokoknya cepat tumbuh dan mula menghasilkan buah dalam tempoh tiga tahun. 

Buah Bidara muda berwarna hijau, kuning ketika matang, Isi buahnya berwarna putih dan rangup. Apabila mengkal sedikit, buahnya adalah berair dan mempunyai bau yang menyenangkan. Kulit buah Bidara adalah licin, berkilat, nipis tetapi padat.

Pokok Bidara paling biasa ditemui di kawasan tropika dan sub-tropika. Dikatakan berasal dari Afrika, namun kini tersebar secara meluas di rantau tropika dari India, Afghanistan, China, Australia termasuk Malaysia dan di beberapa kawasan Pasifik


Pokok Bidara tumbuh dengan pantas dan mempunyai akar tunjang, sangat sesuai ditanam di kawasan kering seperti bekas lombong dan sebagainya. Pokoknya cepat tumbuh dan mula menghasilkan buah dalam tempoh tiga tahun. 


Buah Bidara muda berwarna hijau, kuning ketika matang, Isi buahnya berwarna putih dan rangup. Apabila mengkal sedikit, buahnya adalah berair dan mempunyai bau yang menyenangkan. Kulit buah Bidara adalah licin, berkilat, nipis tetapi padat.

Pokok Bidara paling biasa ditemui di kawasan tropika dan sub-tropika. Dikatakan berasal dari Afrika, namun kini tersebar secara meluas di rantau tropika dari India, Afghanistan, China, Australia termasuk Malaysia dan di beberapa kawasan Pasifik.

Apa yang menarik untuk dikongsi bersama adalah daun pokok bidara kerap digunakan ketika memandikan jenazah bagi orang Islam. Selepas menghilangkan najis dari tubuh mayat, jenazah akan dimandikan tiga kali. Mandian pertama ialah dengan air yang dicampur daun bidara. Penggunaan daun bidara ini bukan satu kemestian atau kepercayaan tradisi sebaliknya sunah daripada Rasulullah sendiri.


Daunnya juga disunatkan untuk digunakan ketika mandi wajib bagi wanita yang baru suci daripada haid. Dari ‘Aisyah r.a bahawa Asma’ binti Syakal r.a bertanya kepada Rasulullah SAW tentang mandi haidh, maka beliau bersabda (maksudnya):


“Salah seorang di antara kalian (wanita) mengambil air dan sidrahnya (daun pohon bidara) kemudian dia bersuci dan membaguskan bersucinya, kemudian dia menuangkan air di atas kepalanya lalu menggosok-gosokkannya dengan kuat sehingga air sampai pada kulit kepalanya, kemudian dia menyiramkan air ke seluruh badannya, lalu mengambil sepotong kain atau kapas yang diberi minyak wangi kasturi, kemudian dia bersuci dengannya. Maka Asma’ berkata: “Bagaimana aku bersuci dengannya?” Beliau bersabda: “Maha Suci Allah” maka ‘Aisyah berkata kepada Asma’: “Engkau mengikuti (mengusap) bekas darah (dengan kain/kapas itu).” (Hadith Riwayat Muslim).









Friday, June 2, 2017

Majlis Iftar Jabatan Pertanian Malaysia

Majlis Iftar Dan Solat Terawih Jabatan Pertanian 2017


Oleh: ABDUL HADI BIN HJ. MUSTAPA KAMAR
Foto : MOHD FADZLEE BIN BORHAN



Putrajaya, 1 Jun 2017 - Saban tahun di bulan Ramadhan Jabatan Pertanian akan menganjurkan Majlis Tazkirah, Iftar dan Solat Sunat Terawih. Majlis yang seumpama itu telah diadakan di Hotel Palm Garden, IOI Putrajaya, Wilayah Persekutuan . 

Majlis dimulakan dengan sesi tazkirah yang telah disampaikan oleh Ustaz Zainal Arifin Bin Haji Sharbini yang bertajuk Marhaban ya Ramadhan. Di samping tazkirah, satu majlis penyampaian sumbangan ikhlas daripada Koperasi Pegawai-Pegawai Melayu Jabatan Pertanian dan PERPETA kepada wakil pihak Pertubuhan Baitus Sakinah Hidayah telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Ahmad Zakaria bin Mohamad Sidek, Ketua Pengarah Pertanian Malaysia. 

Majlis ini telah dihadiri kira-kira 400 orang jemputan yang terdiri daripada Pengarah-pengarah Pertanian Negeri, Pengarah-pengarah Bahagian, pegawai-pegawai kanan Jabatan Pertanian, staf Jabatan Pertanian, pelajar-pelajar Institut Pertanian Serdang dan juga anak-anak yatim dari Pertubuhan Baitus Sakinah Hidayah.

Selepas berbuka puasa semua yang hadir mengerjakan solat Maghrib dan seterusnya menunaikan solat Isyak dan kemuncak acara majlis dengan solat sunat Terawih.










POKOK MULBERI – khasiatnya yang mungkin ramai yang tak tahu

POKOK MULBERI – khasiatnya yang mungkin ramai yang tak tahu
(idris bald)

Pokok Mulberi atau Mulberry sebutan Inggerisnya yang nama botaninya Morus rubra merupakan tanaman khas makanan ulat sutera. Tanaman ini diperkenalkan ke negara ini ketika industri sutera diperkenalkan di negeri Terengganu sekitar tahun 1984. Tanaman dengan daun penghasil klorifil ini awalnya dikenal sebagai makanan istimewa ulat sutera, jika tidak makan daun ini ulat sutera tidak menghasilkan sutera yang baik. Oleh kerana itu, banyak petani yang membudidayakan tanaman ini.

Buah mulberi 
Mulberi adalah jenis tanaman yang tumbuh di bawah sinar matahari sehingga tanaman ini dapat tumbuh di kawasan pada ketinggian lebih dari 100 meter dari permukaan laut.

Mulberi memiliki sebutan nama yang berbeza, di negara seperti di Indonesia tanaman ini dikenali sebagai Murvei atau arbei, manakala di Cina dikenali dengan nama Sangye. Oleh kerana pokok melberi ini untuk makanan ulat sutera, tiada siapa yang peduli untuk menanam tanaman ini. Hanya sejak kebelakangan ini, hanya beberapa kalangan pengemar buah mulberi yang menanamnya. Itu pun ianya ditanam untuk tanaman hiasan halaman rumah atau menanamnya secara kecil-kecilan untuk menghasilkan buahnya sebagai ramuan campuran dalam pembuatan kuih muih, kek dan juga jus atau jem.

Buah yang hitam menunjukkan
buah yang cukup matang
Menurut ahli kimia, daun mulberi mengandungi beberapa ekstrak kimia untuk tubuh seperti ecdysterone, inokosterone, lupeol, betasitosterol, rutin, moracetin, isoquersetin, scopoletin, scopolin, alfa, betahexenal, cis beta hexenol, hexenol, benzaidehide, eugenol, lanaloolbenzyl alcohol, butylamine, acetone, trigonelline, cholin, adenine, copper, zinc, vitamin A,B1,C dan karotein dan asam amino, clorogenik, fumarate, folat dan asam formyltetrahydrofolik, mioiositol dan phytoestrogen.

Daun mulberi adalah ideal untuk membantu mengatasi atau mengurangkan penyakit kencing manis (diabetes) serta mampu mengawal serta mengurangkan kolestrol dalam pembuluh darah dan mengurangkan tekanan darah tinggi. Selain dari itu, ianya juga dikatakan dapat membantu menggelakkan serangan sakit jantung dan kehilangan berat badan.

Untuk mendapatkan buah yang banyak, pokok perlu
kerap dibuat cantasan
Buah mulberi yang dijadikan jus mampu melambatkan proses penuan dan meremajakan tubuh badan dan mengurangkan risiko kerapuhan tulang kerana kandungan kalsium yang tinggi. Bagi wanita yang mengalami simptom seperti anemia, kepucatan, rasa terutamanya selepas bersalin, sesuai mengambil jus mulberi dengan kerap bagi mengurangkan simptom tersebut. Ianya juga boleh membantu perjalanan haid yang tidak teratur dan juga dapat mengurangi kesakitan ketika kedatangan haid.

Daun mulberi pula dikatakan boleh direbus dan digunakan sebagai ubat mencuci mata yang merah dan bengkak. Daun yang telah dikeringkan juga dikatakan boleh dicampur dengan air mendidih atau direbus untuk diminum bagi tujuan membersihkan tubuh badan, merangsang peluh, ubat batuk, demam panas dan selsema.


Pokok mulberi boleh dibiakkan dengan menggunakan tut atau keratan batang yang cukup tua (berbatang coklat). Selain dari itu, anak benih pokok mulberi boleh didapati di kebanyakan nursery berdekatan dengan anda. Pokok Mulberi tumbuh dengan begitu cepat walaupun ianya ditanam hanya pada mulanya sebagai anak benih dan akan mengeluarkan buah pada usia 6 - 8 minggu. Untuk mendapatkan buahnya yang lebat, pokok mulberi perlu kerap dicantas dan diberi baja organic yang secukupnya.







 

Aspirasi Pelajar Institut Pertanian Malaysia Menjelang #TN50

Sesi ‘Engagement TN50 Pelajar Institut Pertanian Malaysia Bersama Ketua Pengarah Pertanian Malaysia.


#MY1DOA


Oleh: ABDUL HADI BIN HJ. MUSTAPA KAMAR
Foto : MOHD FADZLEE BIN BORHAN

Putrajaya, 1 Jun 2017 – Bagi menyahut dasar negara maju satu sesi penerangan tentang ‘National Information “ telah diadakan di IOI Palm Garden Hotel , Putrajaya. Majlis dimulakan dengan sesi penerangan apa itu TN50 oleh pengacara majlis iaitu Cik. Zulia binti Zainuddin kepada para hadirin seramai 120 orang. Para hadirin yang terdiri dari Ketua Pengarah Pertanian, Timbalan Ketua Pengarah Pertanian dan Pengarah-Pengarah-Pengarah Bahagian dan Negeri, kakitangan Jabatan Pertanian juga pelajar Institut Pertanian Semenanjung.

Pelajar Institut Pertanian di berikan peluang untuk mengemukakan pandangan dan ide-ide di majlis tersebut. Sesi penerangan telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Ahmad Zakaria bin Mohamad Sidek, Ketua Pengarah Pertanian Malaysia. Acara kemuncak majlis adalah tayangan video Transformasi Nasioanl TN50. 



#MY1DOA

#MY1DOA

#MY1DOA


#MY1DOA


#MY1DOA

#MY1DOA

#MY1DOA

#MY1DOA

#MY1DOA

#MY1DOA

#MY1DOA

#MY1DOA

#MY1DOA

#MY1DOA

#MY1DOA

#MY1DOA