Friday, November 6, 2020

Pertanian Bandar mampu membantu isi rumah bandar meringankan kos sara hidup




Pertanian Bandar adalah aktiviti menanam tanaman di kawasan bandar dan pinggir bandar menggunakan kaedah penanaman seperti pertanian secara menegak (vertical farming), hidroponik, Nutrient Film Technique (NFT) atau secara konvensional di ruang yang terhad bagi menghasilkan makanan sendiri.

Di dalam konteks Jabatan Pertanian, Pertanian Bandar merupakan satu program membantu isi rumah bandar meringankan kos sara hidup melalui pengeluaran sendiri bahan makanan yang diperlukan seperti sayur-sayuran dan ulaman melalui bimbingan Jabatan Pertanian. Projek Pertanian Bandar boleh disertai oleh rakyat Malaysia di kawasan bandar dan pinggir bandar terutamanya dalam kumpulan B40. Disamping itu, Jabatan Pertanian juga memberi peluang kepada rakyat untuk menyertai projek ini melalui pendekatan 4 kategori projek iaitu perumahan individu, komuniti, sekolah dan institusi. Objektif utama program ini ialah bagi membantu rakyat dari segi menggalakkan rakyat menanam dan mengeluarkan sendiri bahan makanan yang mencukupi, berkualiti dan selamat dimakan. Disamping itu juga dapat ia secara tidak langsung dapat menambah pendapatan harian melalui lebihan hasil pertanian seterusnya membantu mengurangkan kos sara hidup di bandar. Jabatan Pertanian telah melaksanakan Kajian Impak Projek Pertanian Bandar di Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Ogos 2017 untuk menilai keberkesanan projek ini dalam membantu masyarakat bandar meringankan kos sara hidup mereka. Temuan kajian mendapati bahawa peserta projek telah dapat menjimatkan perbelanjaan dapur bagi kepeluan sayur-sayuran/ulam-ulaman sebanyak RM110/bulan setelah menyertai pogram ini. Jabatan Pertanian akan memberi khidmat nasihat dan aktiviti pengembangan sebagai galakan awal untuk menjalankan aktiviti berkebun di bandar. Antara pendekatan bagi merancang dan melaksanakan program/aktiviti pertanian bandar: (i) Memberi tumpuan kepada golongan B40/miskin bandar. (ii) Memberi kesedaran dan memupuk amalan bertani di kalangan penduduk bandar sebagai pengeluar makanan mereka sendiri. (iii) Menjadikan pertanian bandar sebagai aktiviti berterusan untuk menjamin pengeluaran bahan makanan yang berkualiti dan selamat dimakan. Program pertanian bandar ini telah bermula pada tahun 2014 dan sehingga kini, seramai 137,596 orang penduduk bandar dari 5,731 lokasi di seluruh negara (termasuk WP Labuan, Sabah dan Sarawak) telah mendapat faedah melalui insentif one-off berbentuk input pertanian, latihan dan khidmat nasihat teknikal. Pada 5 Jun 2020 yang lalu, kerajaan telah melancarkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bagi merangsang semula ekonomi dan membantu meringankan kos sara hidup rakyat melalui aktiviti projek pertanian bandar dalam bentuk bantuan input pertanian seperti benih, baja, infrastruktur ladang, peralatan pertanian, khidmat nasihat dan latihan kepada individu dengan nilai RM500 (maksimum) bagi setiap penerima dan RM50,000 (maksimum) bagi setiap komuniti Projek Pertanian bandar telah diperuntukan oleh kerajaan sebanyak RM 10 juta di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi dan ini merupakan tambahan kepada Projek Pembangunan Pertanian Bandar sedia ada dalam Rancangan Malaysia Ke 11 dengan tujuan untuk membantu rakyat Malaysia khususnya golongan B40 yang sepertimana yang disebut awal tadi. Dalam masa yang sama juga, Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, Menteri Pertanian dan Industri Makanan juga telah mengambil inisiatif untuk memohon peruntukan fasa ke-2 untuk tahun 2021. Secara dasarnya dengan pelaksanaan ini, Jabatan Pertanian berharap agar masyarakat sama-sama menghasilkan makanan sendiri yang dalam jangkamasa panjang akan dapat membantu penurunan harga bahan makanan negara yang diimport, kedapatan bekalan makanan tempatan secara berterusan, mengurangkan kadar kemiskinan bandar dan membantu pengurusan persekitaran bandar. Selain itu, penanaman di bandar ini dapat menyokong usaha kerajaan dalam menjamin kualiti dan jaminan makanan negara. Program pertanian bandar ini juga diharap dapat memupuk kesedaran dan minat terhadap pertanian sebagai penyumbang kepada kesejahteraan dan keceriaan persekitaran serta mewujudkan interaksi sosial antara antara jiran melalui aktiviti pertanian ini Orang ramai boleh mengikuti dan mendapatkan maklumat di website rasmi Jabatan Pertanian ataupun facebook Bahagian Pertanian Bandar, Jabatan Pertanian Malaysia untuk mendapatkan pelbagai aktiviti terkini pertanian dan tips-tips tanaman. #myDOA #PertanianBandar #PENJANA











Wednesday, October 21, 2020

SKIM PENGESAHAN BENIH PADI JABATAN PERTANIAN

 





Benih Padi Sah merupakan benih daripada progeni benih asas atau daftar yang dikawal pengeluarannya mengikut prosedur tertentu bagi memastikan tahap ketulenan genetik dan diperakui di bawah Skim Pengesahan Benih Padi. Pengeluaran dan pembekalan benih padi sah telah dilaksanakan oleh pengeluar benih swasta yang telah dilantik oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Jabatan Pertanian berperanan sebagai agen pengesah yang menjalankan pemantauan dan pengauditan berpandukan kepada prosedur di dalam Standard Jabatan Pertanian Malaysia : Spesifikasi Pengeluaran Benih Padi (Oryza sativa) dan Malaysian Standard MS 469 : 2012 (Rice (Oryza sativa L.) inbred seed planting materials – Specification (Second revision). 



Pengeluaran benih padi sah bermula dengan pembangunan varieti baru yang superior oleh agensi penyelidikan seperti MARDI.  Pihak MARDI bertanggungjawab untuk menyediakan benih baikbaka dan pembekalan benih padi asas.  Benih asas akan dibekalkan kepada pengeluar benih swasta untuk mengeluarkan benih daftar dan seterusnya benih sah.


Proses pengeluaran benih sah adalah tertakluk kepada syarat dan prosedur yang telah ditetapkan di dalam Skim Pengesahan Benih Padi Sah (SPBP). Skim ini merupakan satu sistem kualiti kepada pengeluar benih padi swasta bagi mengeluar dan membekal benih padi untuk tujuan penanaman mengikut syarat dan piawaian yang ditetapkan. Aspek penting di bawah skim ini melibatkan pematuhan kepada ketetapan sumber serta generasi benih yang digunakan dan piawaian yang ditetapkan melalui pemeriksaan dan pengauditan yang dijalankan.



Pemeriksaan dan pengauditan akan dilaksanakan oleh Pegawai Inspektorat Bahagian Kawalan Kualiti Tanaman. Sebanyak 11 prosedur (SAP 1 hingga SAP 11) yang perlu dilalui oleh setiap pengeluar benih swasta. Aliran Kerja adalah seperti di Gambar Rajah 1. Antara elemen-elemen yang penting dalam pengeluaran benih sah adalah;

  • Tapak semaian dan ladang benih : Memenuhi jarak pemencilan dan kesempurnaan tapak.
  • Sumber kategori benih yang diperakui : Menanam dari sumber yang sah. Pembuktian sumber benih diwajibkan.  
  • Pemeriksaan ladang : Pemeriksaan ladang dijalankan di empat peringkat iaitu peringkat pra-tanam, tampang, berbunga dan pra-tuai. Ia bertujuan untuk memastikan varieti yang ditanam mengikut ciri-ciri varieti dan memenuhi piawaian ladang seperti yang ditetapkan dalam dokumen Standard Jabatan Pertanian Malaysia SJPM – 2009.
  • Pemeriksaan loji pemprosesan benih padi : Loji pemprosesan benih padi mestilah dalam keadaan bersih dan bebas daripada sebarang pencemaran atau percampuran varieti.
  • Ujian kualiti biji benih : Tiga jenis ujian yang dijalankan iaitu ujian ketulenan fizikal, kelembapan dan percambahan bertujuan untuk menentukan samada benih padi yang telah diproses mememenuhi piawaian minimum biji benih seperti yang ditetapkan dalam dokumen Standard Jabatan Pertanian Malaysia SJPM – 2009.
  • Pemeriksaan stor dan stok : Hanya benih padi yang telah mendapat perakuan sahaja ditawarkan untuk jualan. Lot benih padi mestilah dalam keadaan baik, teratur dan mudah dikesan.
  •  Label perakuan kualiti : Lot benih yang memenuhi piawaian mempunyai label perakuan kualiti benih yang ditetapkan.



Gambar Rajah 1 : Aliran Kerja Skim Pengesahan Benih Padi


Gambar Rajah 1 : Aliran Kerja Skim Pengesahan Benih Padi


Melalui skim SPBP ini, benih padi sah adalah dijamin untuk benih yang tulen, cergas dan tidak tercemar dengan bahan asing, rumpai dan padi angin serta tidak dijangkiti oleh penyakit berbahaya.  Ia merupakan kategori benih yang mempunyai potensi yang tinggi untuk tumbuh apabila ditanam di ladang. Ia boleh dikenali melalui ciri-ciri berikut:

i.     Benih padi sah dibungkus dalam beg khas dengan berat bersih 20 kg/beg

ii.     Beg benih padi sah  mempunyai jalur biru dan Logo Kerajaan Malaysia.

iii.   Setiap beg benih padi sah mempunyai label perakuan kualiti berwarna biru sebagai identiti produk.

 


Penggunaan benih padi sah adalah penting bagi mendapatkan tumbesaran tanaman yang seragam selain dapat mengelakkan pencemaran benih rumpai berbahaya, benih padi angin dan serangan penyakit berbahaya yang dibawa melalui benih.

 

Rujukan

(1)   Jabatan Pertanian Malaysia (2012) : Prosedur Skim Pengesahan Benih Padi Jabatan Pertanian Malaysia\

(2)   Portal Rasmi Jabatan Pertanian (n.d). Skim Pengesahan Benih Padi , Retrived from http://www.doa.gov.my/index.php/pages/view/407

 Disunting oleh Yunif Ibrahim Ahmad







Friday, October 16, 2020

Mudahnya Tanam Sayur Bayam




 

Bayam adalah sejenis sayuran daun yang mengandungi vitamin A, B dan C dan zat-zat galian seperti kalsium dan besi. 

Terdapat dua jenis bayam iaitu: 

a. Jenis berwarna hijau, berdaun lebar dan kadangkala berdaun bujur. 

b. Jenis berwarna hijau keunguan dan kemerahan. 

Bayam sesuai ditanam di pelbagai jenis tanah terutama tanah gembur liat ringan dan tanah liat berpasir. Tanah yang kaya dengan bahan organik, mempunyai saliran yang baik dan mempunyai kemasaman (pH) tanah di antara 5.5 - 6.5 adalah paling sesuai.

Menyedia Batas 

Bajak dan gemburkan tanah sebelum menyediakan batas.  Ukuran batas ialah 120 sm lebar, 20 - 30 sm tinggi dan 760 sm panjang. Jarak antara batas ialah 30 cm. Buat tiga alur kecil memanjang di permukaan batas.

Menanam

Bayam ditanam terus dengan menggunakan biji benih. Oleh kerana biji benih bayam adalah halus, gaulkan biji benih dengan pasir atau tanah peroi sebelum disemai. Kemudian taburkan sama rata ke dalam alur-alur di atas batas. Selepas 2 - 3 hari anak benih akan bercambah. Jarakkan mengikut ukuran yang disyorkan iaitu 8 – 10 sm antara pokok dan 45 sm antara barisan. Sebanyak 1 - 3 kg biji benih diperlukan untuk 1 hektar. 

Bayam boleh juga disemai di dalam tapak semaian sebelum diubah ke batas. Sebelum menyemai gaulkan biji benih dengan racun kulat seperti thiram dengan kadar 3 gm thiram dengan 1000 gm biji benih untuk mencegah penyakit melecuh. Lebih kurang 12 hari selepas menyemai, siram anak-anak benih dengan baja larutan urea sebanyak 4 gm dalam seliter air. Sungkupan penuh perlu dibuat 3 hari selepas menyemai. Ubah dan tanam anak-anak benih ke atas batas yang elah disediakan selepas 3-4 minggu disemai.

Penjagaan

Membaja 

Baja organik seperti tahi ayam boleh digunakan sebagai baja asas. Baja ini digaul ke dalam batas. Lebih kurang 5 tan metrik baja ini diperlukan untuk sehektar. 


 Sebagai panduan 7 hari lepas tanam. 

a. 240 gm Sulphate of Amonia 

b. 24 kg Triple Superphosphate 

c. 120 kg Muriate of Potash 

Baja-baja ini digaul dan ditabur di antara lorong-lorong pokok setiap minggu. 

Menyiram

Bayam memerlukan air yang banyak untuk pembesarannya. Dalam musim panas penyiraman dilakukan sebanyak 2 kali sehari iaitu pada waktu pagi dan petang.


Sungkupan 

Sungkupan diletakkan di atas batas selepas mengubah. Gunakan pelepah kelapa atau rumput-rumput kering sebagai bahan sungkupan. Sungkupan boleh mengawal kehilangan air, mengawal pertumbuhan memperbaiki struktur dan kesuburan tanah. 

Merumput 



Kawalan rumpai dilakukan sepanjang masa. Merumput boleh dilakukan dengan tangan.

MEMUNGUT HASIL 



Bayam boleh dituai 3 – 4 minggu selepas ditanam atau apabila pokok mencapai 20 – 25 sm tinggi. Kutipan dibuat 3 - 7 hari sekali. Pokok dicabut atau dipotong batangnya.



Jika anda merasakan artikel ini berguna buat anda dan sahabat lain. Sila Share, Komen dan Follow blog ini. 

Sumber : InfoTani 02/07.13/15R(7)

Disunting oleh : Yunif Ibrahim Ahmad



MAFI akan perkenal harga siling benih padi



Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan memperkenalkan harga siling benih padi dan melaksanakan pembelian menerusi sistem kupon.

Menurut kenyataan MAFI hari ini, langkah itu diambil selepas kata sepakat dicapai di antara kementerian dan wakil petani dalam sesi dialog yang diadakan bagi mengatasi permasalahan benih padi yang sering dihadapi pesawah.

Menurut kenyataan itu, MAFI akan melantik Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) sebagai pengedar tunggal benih padi sah terus kepada pesawah. 

"Pengedaran dan pembekalan benih padi sah ini akan dikawal menerusi sistem yang akan dibangunkan oleh Nafas secara dalam talian. Oleh yang demikian, pemantauan dan kawal selia dapat dilaksanakan dengan lebih baik," demikian menurut kenyataan itu.

MAFI berkata ia juga akan membuka peluang kepada lebih banyak pihak untuk turut serta dalam penghasilan benih padi sah termasuk pihak Pertubuhan Peladang Kawasan, syarikat berkaitan kerajaan dan swasta. 

"Bagaimanapun, pihak yang akan dilantik kelak tetap dipantau dan dinilai secara teknikal dan kewangan menerusi jawatankuasa yang akan dilantik," kata MAFI.

Menurut MAFI, sebelum ini pesanan benih padi sah dibuat dalam tempoh lima hingga enam bulan sebelum musim penanaman bermula kepada kesemua pengeluar benih padi sah yang dilantik oleh kerajaan persekutuan.  

"Bagaimanapun, ada sebahagian pengeluar tidak dapat membekalkan sepenuhnya sebagaimana yang dipesan berdasarkan kepada kapasiti pengeluaran semasa, perubahan pesanan pada saat-saat akhir dan sebagainya," demikian menurut kenyataan itu.

Selain itu, MAFI berkata walaupun kerajaan telah menetapkan harga RM28 bagi setiap beg benih padi sah seberat 20 kilogram  untuk dijual di pintu kilang pengeluar benih padi sah, terdapat eksploitasi harga oleh ejen atau orang tengah.

Sebuah akhbar melaporkan mengenai kewujudan orang perseorangan yang memanipulasi harga benih padi termasuk menyorokkan stok setiap kali musim penanaman padi.

Individu terbabit dilaporkan bertindak memanipulasi harga serta mengedarkan benih kampit putih yang jauh lebih rendah kualitinya.

#myDOA


Sumber : Bernama.com

Friday, October 9, 2020

RAMPASAN RACUN PEROSAK TIDAK BERDAFTAR DI BAWAH AKTA RACUN MAKHLUK PEROSAK 1974







Seksyen Penguatkuasaan, Bahagian Kawalan Racun Perosak dan Baja, Jabatan Pertanian Malaysia dalam operasi yang dijalankan pada 6 Oktober 2020 telah membuat serbuan ke premis menjual dan menyimpan racun makhluk perosak dan merampas pelbagai racun makhluk perosak tidak berdaftar di sebuah premis di Rawang, Selangor. Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan  berjumlah RM476,760.00.


 

Premis ini dijadikan hub penyimpanan sebelum racun makhluk perosak tersebut dihantar dan diedarkan ke seluruh negara mengikut pesanan yang diterima. Racun makhluk perosak yang dirampas antaranya adalah bagi kegunaan kawalan rumpai dengan pelbagai jenama yang disyaki mengandungi perawis aktif Paraquat Dichloride yang tidak berdaftar dan telah diharamkan penggunaan di Malaysia mulai 1 Januari 2020. Pelbagai racun serangga berlabel tulisan negara jiran dan tidak berlabel disyaki merupakan racun tiruan turut dirampas di tempat kejadian.

 

Kes ini disiasat di bawah Akta Racun Makhluk Perosak 1974 mengikut seksyen 13(1)(b) iaitu iaitu mengilang racun makhluk perosak tidak berdaftar, seksyen 20(3) iaitu menjual racun makhluk perosak tidak berdaftar dan seksyen 53A(1)(a) iaitu memiliki racun makhluk perosak tidak berdaftar.

 

Bagi kesalahan di bawah seksyen 13(1)(b) boleh dihukum dibawah seksyen 13(2) akta yang sama iaitu bagi kesalahan kali pertama, dipenjarakan selama lima (5) tahun atau didenda  lima puluh ribu ringgit, bagi kesalahan di bawah seksyen  20(3) boleh dihukum dibawah seksyen 20(4) iaitu bagi kesalahan kali pertama, dipenjarakan selama tiga (3) tahun atau didenda sepuluh ribu ringgit. Manakala bagi kesalahan di bawah seksyen 53A(1)(a) boleh dihukum dibawah seksyen 53A(2) iaitu bagi kesalahan kali pertama, dipenjarakan selama satu (1) tahun atau didenda sepuluh ribu ringgit.

 

Kepentingan keselamatan makanan hasil pertanian akan sentiasa menjadi keutamaan. Pihak jabatan juga menasihatkan agar semua yang terlibat dengan aktiviti racun makhluk perosak hendaklah sentiasa patuh dengan kehendak di bawah Akta Racun Makhluk Perosak 1974. Pengguna dan petani dinasihat agar tidak mudah terpedaya dengan sindiket yang menjual racun makhluk perosak tidak berdaftar dan sentiasa menggunakan racun makhluk perosak yang berdaftar. Pengguna boleh mendapatkan maklumat racun makhluk perosak berdaftar dari Sistem Maklumat Racun Makhluk Perosak (SISMARP) yang boleh dilayari di laman sesawang Jabatan Pertanian Malaysia dipautan www.doa.gov.my.

 

Jabatan Pertanian sentiasa komited dalam membanteras penjualan dan penggunaan racun makhluk perosak tidak berdaftar. Sekiranya orang ramai mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti racun makhluk perosak yang melanggar kehendak              Akta Racun Makhluk Perosak 1974, sila laporkan kepada :

Jabatan Pertanian Malaysia,

Bahagian Kawalan Racun Perosak dan Baja, 

Tingkat 4-6 Wisma Tani, 

Jalan Sultan Salahuddin, Kuala Lumpur, 

Faks 03-2694 7001 

pro@doa.gov.my 



Friday, September 18, 2020

RICE CHECK - Amalan Pertanian Baik Untuk Meningkatkan Hasil dan Mutu Padi






PENDAHULUAN

Rice Check adalah panduan untuk menguruskan tanaman padi mengikut sasaran yang ditetapkan. Setiap Check Utama mesti dipatuhi untuk pertumbuhan yang baik ke arah peningkatan produktiviti dan kualiti. Pemantauan dan pemerhatian pokok padi dan status sawah pada setiap peringkat pertumbuhan, pengurusan air, pengurusan pembajaan, serangan rumpai dan perosak serta diperingkat penuaian padi adalah penting untuk mengenalpasti masalah dan mengambil tindakan penyelesaian yang sewajarnya. Pertumbuhan tanaman perlu diperhati, diukur dan data disimpan untuk panduan pengurusan musim selanjutnya. Kita perlu belajar daripada pengalaman dan mengambil tindakan yang sesuai untuk meningkatkan pengurusan ladang setiap musim


CHECK UTAMA 1

PENENTUAN KESESUAIAN TANAH

Pastikan pH Tanah Sawah Tidak Berasid (Masam) Dan Keupayaan Pertukaran Kation (KPK) Yang Sesuai Bagi Mendapatkan Pertumbuhan Pokok Padi yang Optimum

1.  Dapatkan bantuan Pegawai Pengembangan untuk menentukan keasidan tanah. pH tanah yang optimum untuk ketersediaan nutrien adalah pH 5.5-6.5. Pengapuran diperlukan jika pH  kurang daripada 5.0.

Nilai pH
Tahap
Kapur GML (t /ha)
≥ 5.0
Mencukupi
Tiada Pengapuran
4.50 – 4.99
Sedikit berasid
1.0
3.51 – 4.49
Berasid
3.0
≤ 3.50
Sangat Berasid
5.0
Jadual 1:  Keperluan kapur mengikut pH tanah

Nota : Dalam keadaan terendam bacaan pH boleh meningkat. Sebagai contoh pH 5.0 boleh meningkat kepada pH 5.5

2.     Keupayaan Pertukaran Kation (KPK atau CEC)  yang sesuai ialah 20 cmol(+)/kg tanah.
3.  Tanah yang mempunyai KPK kurang daripada 10 cmol(+)/kg, tanah perlu dirawat menggunakan bahan organik (Contoh: kompos) dan bahan pemegang nutrien 
      (Contoh : zeolite).



CHECK UTAMA 2

KEADAAN PETAK SAWAH

Pastikan Infrastruktur Berkeadaan Baik dan Sempurna Bagi Memudahkan Pengurusan Sawah

1.     Terdapat saluran air masuk dan keluar bagi setiap petak sawah.
2.     Mempunyai struktur kawalan air dalam setiap petak sawah.
3.     Lebar batas sawah 30-45 cm dengan ketinggian 15-20 cm.
4.  Batas mestilah kukuh dan tidak bocor untuk mengawal air di dalam petak sawah dan mengurangkan tempat pembiakan tikus.
5.     Batas mestilah bersih daripada rumpai bagi menghalang menjadi perumah kepada perosak.
6.     Sistem pengairan dan saliran serta struktur kawalan air berfungsi dengan baik.
7.     Jalan ladang mencukupi dengan lebar sekurang – kurangnya 4.5 m.


CHECK UTAMA 3

PENYEDIAAN TANAH

Pastikan Permukaan Sawah Rata untuk Mendapatkan Penapakan Anak Benih Maksimum dan Tumbesaran Pokok  Seragam

1.  Rancang penyediaan tanah supaya benih dapat ditabur atau ditanam mengikut jadual penanaman.
2.  Pembakaran jerami secara terkawal dilakukan sekiranya terdapat masalah penyakit dan infestasi padi angin yang serius pada musim sebelumnya.
3.     Bahan pereput jerami hendaklah digunakan bagi meningkatkan kesuburan tanah.
4.   Sebelum pembajakan tanah, pastikan petak sawah dibersihkan daripada jerami, tunggul, rumpai, padi batat dan padi angin.
5.    Awasi semua operasi traktor supaya aktiviti penyediaan tanah dijalankan dengan sempurna.
  

Jadual 2: Aktiviti Penyediaan Tanah
Aktiviti Pembajakan
Keadaan Tanah
Keterangan
Bajak 1
( 30 hari sebelum tanam )

 Kering


·        Tujuan : memecah dan membalik-balikkan tanah untuk membasmi tunggul dan menggalakkan pereputan.
·        Kedalaman bajakan : 10-15 cm
·        Saiz ketulan tanah yang dihasilkan ialah 20% kurang daripada 2.5 cm, 40% antara 2.5 – 5.0 cm dan 40% melebihi 5.0 cm.
·        Gunakan traktor berkuasa kuda 60-70 untuk pembajakan tanah kering bagi memelihara lapisan padat tanah.
·        Pastikan alat bajak putar diangkat semasa membuat pusingan bagi menjaga lapisan padat tanah.
Bajak 2
(7-10 hari sebelum tanam)
 Kering  atau Basah
·        Tujuan : melumatkan tanah. Saiz ketulan tanah kurang daripada 2.5 cm (bajak kering).
·        Kedalaman bajakan : 5 cm. 
Bajak  3 atau Badai
(1-2 hari sebelum menanam)
Basah (paras air : 3-5 cm)

·        Tujuan : Meratakan permukaan tanah.
·        Permukaan sawah mestilah rata pada tahap kerataan tanah  ±2.5 cm.


CHECK UTAMA 4

PENANAMAN

Pastikan Benih Padi Sah Digunakan bagi Mendapatkan Pertumbuhan Pokok Padi yang Cergas,  Bebas Penyakit dan Padi Angin

1.     Gunakan benih padi sah yang telah diperakukan oleh Jabatan Pertanian.
2.     Pilih varieti padi mengikut kesesuaian sawah.
  
Jadual 3: Kaedah penanaman dan kadar benih
Kaedah
Kadar Benih
Keterangan
Tabur terus (basah)
120-140kg/ha
1.     Buka beg benih dan rendam benih padi dalam air bersih selama 24 jam.
2.     Laksanakan rawatan benih  jika menggunakan varieti padi yang rentan penyakit
3.     Tos dan peram (selimutkan dengan guni) selama 24 - 48 jam di tempat berbumbung  untuk percambahan optimum.
4.     Pastikan keadaan tanah sawah telah diratakan  dan tepu air sebelum menabur benih.
5.     Tabur dengan mesin penyembur bagi memastikan taburan benih adalah sekata supaya mencapai sekurang-kurangnya 400 biji benih/m2.

Tabur terus dalam air
(untuk mengawal padi angin)
150-180 kg/ha
Bertakung pada kedalaman  optimum 10 cm.
Mencedung (mekanikal)
80 kg/ha

Gunakan anak semaian berumur 15-18 hari. Jarak tanaman 18 cm x 30 cm. Bilangan anak semaian 3-5 anak/perdu.
Mencedung (manual)
40 kg/ha
Gunakan anak semaian berumur  21-25 hari .Jarak tanaman 25 cm x 25 cm. Bilangan anak semaian 3-5 anak/perdu.



                                                   Jadual 4 : Sasaran Komponen Hasil Padi
Peringkat Pertumbuhan
Hari Lepas Tabur (HLT)
Sasaran Komponen  Hasil  Bagi 10 t/ha
Catatan

15  (3 helai daun)








35  



100  






260 anak benih/m²








500 pokok/m2



460 tangkai/m2
100 biji/tangkai


80% bernas
27 gram berat 1,000 biji


Sekiranya kepadatan pokok kurang 200 pokok/m², kurangkan aras air sawah untuk menggalakkan pengeluaran anak padi.









CHECK UTAMA 5

PENGURUSAN PEMBAJAAN

Pastikan Pembajaan Dilakukan Dengan Cukup dan Tepat Pada Waktunya Bagi Menjamin Hasil Yang Tinggi

1.     Pembajaan penting untuk memastikan sasaran komponen hasil dapat dicapai.
2.     Kadar baja dan masa pembajaan disyorkan mengikut varieti adalah seperti berikut:

                                                              Jadual 5: Kadar dan Masa Pembajaan bagi Kaedah Tabur Terus
Peringkat Pembajaan
Tempoh Matang
Peringkat Tumbesaran
Jenis Baja
Pengesyoran Sebenar 
(kg/ha)

Bantuan Pemberian Kerajaan
(kg/ha)
Keperluan Tambahan Baja Oleh Petani
(kg/ha)
95-105
105-115
>115
Hari Lepas Tabur (HLT)
Pembajaan Pertama
15
15
15-20
Vegetatif
(3 helai daun)
Baja Sebatian * (17.5:15.5:10 atau 17:20:10)
140
140

-
Triple Super Phosphate (TSP- 46% P2O5)
57
-
57
Muriate of Potash (MOP – 60% K2O)
42
-
42
Pembajaan ke-2
25-30
30-35
35-40
Beranak aktif
Urea 46%
80
80


Pembajaan ke-3
45-50
50-55
60-65
Pembentukan tangkai
Baja Sebatian * (17.5:15.5:10 atau 17:20:10)

107

100

7
Baja sebatian Tambahan *
(17:3:25+2 MgO)
100

100
-
Urea 46%
12

-
12
Pembajaan ke-4
65-70
70-75
85-90
Terbit dan berbunga
Baja sebatian Tambahan*
(17:3:25+2 MgO)
50

50
-
Urea 46%
20

-
20
Nota : * Baja bantuan kerajaan
 a) Penggunaan baja foliar sebagai baja tambahan sangat digalakkan pada peringkat 65HLT   dan 85 HLT bagi meningkatkan pengisian biji padi.

                                               Jadual 6 : Kadar dan Masa Pembajaan bagi Kaedah Mencedung
Peringkat Pembajaan 
Tempoh Matang
Peringkat Tumbesaran
Jenis Baja

Pengesyoran Sebenar
(kg/ha)
Bantuan Pemberian Kerajaan
(kg/ha)
Keperluan Tambahan Baja Oleh Petani
(kg/ha)
95-105
105-115
>115
Hari Lepas Tanam
Pembajaan Pertama
5-7
5-7
5-7
Vegetatif
(3 helai daun)
Baja Sebatian * (17.5:15.5:10 atau 17:20:10)
140
140
-
Triple Super Phosphate (TSP- 46% P2O5)
57
-
57
Muriate of Potash (MOP – 60% K2O)
42
-
42
Pembajaan ke-2
20-25
25-30
25-30

Beranak aktif

Urea (46% N)

80
80

-
Pembajaan ke-3
40-45
45-50
55-60
Pembentukan tangkai
Baja Sebatian * (17.5:15.5:10 atau 17:20:10)

107
100

7
Baja sebatian Tambahan *
(17:3:25+2 MgO)
100
100
-
Urea (46% N)
12
-
12
Pembajaan ke-4
60-65
65-70
75-80
Terbit dan berbunga
Baja sebatian Tambahan*
(17:3:25+2 MgO)
50
50
-
Urea (46% N)
20
-
20
Nota : *Baja bantuan kerajaan

a)     Penggunaan baja foliar sebagai baja tambahan sangat digalakkan pada peringkat 65HLT dan 85 HLT bagi meningkatkan pengisian biji padi

CHECK UTAMA 6

PENGURUSAN AIR

Pastikan Air Diurus dengan Cekap untuk Mengawal Rumpai dan Mendapatkan Kepadatan Pokok yang Optimum

1.     Air dimasukkan ke dalam sawah mengikut jadual pengairan yang dikeluarkan oleh agensi yang berkaitan.
2.     Sekiranya perlu, lorong air dibuat untuk mempercepatkan pengairan dan saliran mengikut kesesuaian tempat.
3.     Kedalaman air di dalam sawah dinaikkan secara beransur-ansur (Jadual 7).


                                           Jadual 7 : Kedalaman Air Mengikut Peringkat Pertumbuhan Padi
Hari Lepas Tabur (HLT)
Peringkat Pertumbuhan Padi
Kedalaman  air  (cm)

0-7

Percambahan
0 (tanah tepu)
7-10

Penapakan
3 – 5
15-40

Beranak

5 – 7

40-90
Pembentukan tangkai, bunting, terbit, bunga dan pengisian biji
5 – 10

Air dikeluarkan 10 – 14 hari sebelum penuaian

Tuai (Masak)

Air dikeluarkan

CHECK UTAMA 7

PENGURUSAN PEROSAK BERSEPADU

Pastikan Rumpai dan Perosak Dikawal Kerana akan Mengurangkan Hasil Padi

A) KAWALAN RUMPAI
Pemantauan rumpai perlu dijalankan setiap minggu dan tindakan kawalan diambil jika perlu.

                                                            Jadual 8: Syor Kawalan Mengikut Jenis Rumpai
Peringkat penanaman
Jenis Rumpai
Syor kawalan

Peringkat penyediaan tanah
(sebelum pembajakan pertama)


Rumpai

Padi angin

Padi batat


Sembur racun Glufosinate-ammonium /Glyphosate
Selepas tabur benih dan sebelum masuk air (0-7 HLT)

a.     Penanaman padi selain Clearfield


b.     Penanaman padi Clearfield






Rumpai & Padi angin



Padi angin



Sembur racun pra-cambah Pretilachlor


Sembur racun On Duty mengikut panduan Sistem Pengeluaran Clearfield

Peringkat vegetatif (sebelum bunting)

Sebelum 40 HLT untuk varieti matang awal (100 hari)


Sebelum 60 HLT untuk varieti matang lewat (125 hari)








Rumpai daun tirus
Contoh:
Rumput Sambau (Echinochloa crus-galli)
Rumput Colok Cina (Ischaemum rugosum)
Rumput Bunga Tebu  (Leptochloa chinensis)


Rumpai daun lebar
Contoh:
Paku Rawan (Limnocharis flava)
Keladi Agas (Monochoria vaginalis)
Cabai kera (Sphenoclea zeylanica)
Rusiga
Contoh:
Rumpai Air (Cyperus difformis) Rusiga Anak Emas (Cyperus iria)
Rumput Tahi Kerbau (Fimbristylis miliacea)


Propanil/ Cyhalofop-butyl/Bispyribac-sodium dan lain-lain







Metsulfuron-methyl Bensulfuron/ 2,4-D/ Quinclorac dan lain-lain




2,4-D/Bentazone sodium dan lain-lain
Peringkat pembungaan



Padi angin, Rumput Sambau (Echinochloa crus-galli) dan lain-lain
Membuang rumpai secara manual (penakaian). (Penggunaan racun rumpai tidak disyorkan)

*Penggunaan racun perlulah mengikut label pada produk

Langkah-langkah bagi mengawal padi angin adalah seperti berikut :

  1. Gunakan biji benih padi sah yang diperakukan oleh Jabatan Pertanian Malaysia.
  2. Penyediaan tanah perlu dilakukan dengan sempurna supaya bank biji benih padi angin di dalam tanah dapat dikurangkan.
  3. Pastikan kedalaman air 5–10 cm sepanjang pertumbuhan pokok untuk mengelakkan pertumbuhan padi angin.
  4. Pantau infestasi padi angin dan jalankan penakaian selepas umur padi 40 HLT hingga matang (padi angin hanya dapat dibezakan dengan padi varieti sebenar selepas padi berumur 40 HLT).
  5. Penggunaan Sistem Pengeluaran Padi Clearfield (MR220 CL1/CL2) disyorkan selama 2 musim penanaman sahaja.



B) KAWALAN PEROSAK DAN PENYAKIT
1.    Kawalan perosak perlulah mengikut kaedah  Pengurusan Perosak Secara Bersepadu
(IPM).
2.     Elakkan menyembur racun serangga sebelum 40 HLT KECUALI serangan telah
mencapai Tahap Ambang Ekonomi (ETL) bagi memulihara musuh semulajadi (MSJ).
3.    Elakkan daripada penggunaan baja berunsur nitrogen berlebihan.

                                Jadual 9 : Tahap Ambang Ekonomi (ETL) Beberapa Perosak Utama Padi             
Peringkat Padi
Perosak
Tahap Ambang Ekonomi
 (ETL)

Contoh
(Perawis Aktif)
Semua peringkat tanaman
Tikus
(Rattus sp.)

5% serangan

Chlorophacinone
Brodifacoum
Warfarin
Ulat ratus
(Mythimna separata, Spodoptera sp.)



1 ekor/kuadrat*
Carbaryl, Diazinon, Fenitrothion
0-14 hari
Siput gondang
(Pomacea sp.)
1 ekor/m2
Niclosamide
Metaldehyde
14-50 hari
Ulat gulung daun
(Cnaphalocrocis medinalis, Marasmia  patnalis)
30% serangan
Cartap hydrochloride,
Flubendiamide

14-50 hari


Ulat batang

(Scirpophaga incertulas, Sesamia inferens, Chilo sp.)

10% serangan atau
1 kelompok telur/m2 atau
1 ekor kupu-kupu dewasa/m2
Fipronil

Chlorantraniliprole
40-70 hari
Benah Perang
(Nilaparvata lugens)
5 dewasa atau
10 nimfa/kuadrat*
Buprofezin
Imidacloprid
Thiamethoxam
Pymetrozine
Benah belakang putih
(Sogatella furcifera)
5 dewasa atau
10 nimfa/kuadrat*

Benah hijau
(Nephotettix sp.)
5 dewasa/25 sauk
(kawasan –ve PMV)

1 dewasa/25 sauk
(kawasan +ve PMV)

Kutu beruang
(Scotinophara coarctata)
2 dewasa/kuadrat*
Fenthion, Malathion
14-60 hari
Sera tombak padi (rice gall midge)
(Orseolia oryzae)
5 % serangan
Fipronil, Imidacloprid
Thiamethoxam
Peringkat  pengisian
Kesing atau Pianggang
(Leptocorisa sp.)

Kepinding
(Nezara viridula)

2 dewasa/kuadrat*
Fenthion, Carbaryl, Alpha-Cypermethrin,
      Nota:
-        *10 kuadrat diperiksa bagi setiap lot sawah (saiz kuadrat 15cm x 15cm). ETL perosak adalah purata bilangan perosak bagi 10 kuadrat tersebut.
-        Diameter sauk  35 cm.

4. Kawalan penyakit dilakukan apabila terdapat simptom serangan, walau bagaimanapun bagi penyakit hawar daun bakteria dan karah tangkai perlu semburan pencegahan sekiranya menanam varieti rentan.

PERHATIAN : Kekerapan penyemburan perlu ditingkatkan pada musim hujan bagi kawalan penyakit hawar daun bakteria

                      Jadual 10: Syor Kawalan Penyakit Mengikut Pertumbuhan Pokok Padi
Peringkat pertumbuhan  padi

Penyakit

Contoh
(Perawis Aktif)
Semaian

Beranak aktif
Karah daun (Pyricularia oryzae)

Azoxystrobin, Trifloxystrobin, Carbendazim, Isoprothiolane, Tricyclazole
Hawar daun bakteria (Kresek)
(Xanthomonas oryzae pv oryzae)

Berasaskan kuprum : Copper sulphate, Copper hydroxide
Bakanae (Gibberella fujikuroi)
Rawatan biji benih menggunakan Thiram atau Benomyl
Penyakit merah virus (PMV/Tungro)

Kawal vektor (benah hijau) dengan semburan racun.
Beranak maksimum

Pembentukan tangkai

Bunting
Hawar daun bakteria
(Xanthomonas oryzae pv oryzae)

Berasaskan kuprum : Copper sulphate, Copper hydroxide
 Jalur Daun bakteria (Xanthomonas oryzae pv oryzicola)
Berasaskan kuprum : Copper sulphate, Copper hydroxide
Hawar seludang (Rhizoctonia solani)
Difenoconazole, Propineb, Tebuconazole, Pencycuron
Reput seludang (Sarocladium oryzae)
Tebuconazole, Carbendazim, Mancozeb
Terbit

Masuk susu

Membeku

Matang
‘Collar rot’ dan karah tangkai (Pyricularia oryzae)

Azoxystrobin, Trifloxystrobin, Carbendazim, Isoprothiolane, Tricyclazole
Bintik perang tirus (Cercospora oryzae)
Propiconazole, Propineb, Carbendazim, Benomyl
Bintik perang
(Cochliobolus miyabeanus)

Propiconazole, Carbendazim


Bertih (Ustiloginoidea virens)
Carbendazim


CHECK UTAMA 8

PENGURUSAN PENUAIAN

Pastikan Aktiviti Penuaian Diselia bagi Mengurangkan Kehilangan Hasil Semasa Penuaian

1.     Keringkan air di petak sawah 10 – 14 hari sebelum penuaian.
2.     Tuai padi  apabila 85-90% biji padi dalam tangkai berwarna kuning.
3.     Penuaian dijalankan dalam keadaan persekitaran sawah yang kering dan tidak berembun, biasanya antara pukul 11.00 pagi-6.00 petang dan elakkan menuai pada waktu hujan.
4.     Jentuai mesti dibersihkan supaya bebas daripada padi angin, rumpai dan siput gondang  sebelum  aktiviti penuaian dijalankan.
5.     Operasi jentuai mesti diawasi untuk mengurangkan kehilangan hasil dan menjamin kualiti hasil, melalui tumpuan kepada perkara berikut :
a.   Pastikan pelarasan jentuai dilakukan pada bahagian pengaut, pemotong dan kipas pengangin supaya dapat beroperasi pada kecekapan yang tinggi.
b.  Pokok padi perlu dipotong ⅓ daripada hujung ketinggian pokok dan lebar tuaian perlu diselaraskan ¾ daripada lebar meja pemotong.
c.      Jentuai beroperasi pada kelajuan sederhana (<4km/jam).
d.     Jentuai perlu dikendalikan dengan cermat terutamanya ketika membelok bagi mengurangkan kerosakan pada tanah.
e.  Penggunaan jentuai mini adalah disyorkan bagi kawasan yang mengalami masalah tanah lembut (Keupayaan galas tanah <3.0 kg/cm²).


CHECK UTAMA 9

PENGENDALIAN PADI LEPAS TUAI

 Pastikan Padi yang Telah Dituai Dihantar Segera ke Kilang bagi Mengekalkan Mutu Padi
1.   Lori membawa padi hendaklah bertutup dengan kanvas serta lantai dan dinding tidak bocor untuk mengelakkan kehilangan hasil.
2.     Padi yang dituai hendaklah dihantar ke kompleks pengeringan  dalam tempoh 24 jam.
3.     Petani perlu hadir semasa pemutuan padi dilaksanakan.

PERHATIAN : Penentuan kualiti bijian padi bergantung kepada kandungan lembapan, bijian  padi muda, bijian padi rosak dan  kotoran/bendasing.  Kandungan kotoran/bendasing dan bijian  padi muda adalah dua faktor utama  menyumbang kepada pemotongan yang tinggi.


CHECK UTAMA 10

PENGURUSAN ALAM SEKITAR

Pastikan Racun Digunakan secara Berhemah untuk Kelestarian Alam Sekitar bagi Menjamin Produk yang Berkualiti dan Selamat Dimakan
1.     Gunakan racun yang disyorkan dan berdaftar dengan Lembaga Racun Makhluk Perosak sahaja.
2.     Baca dan patuhi segala keterangan yang tercatat pada label racun sebelum guna.
3.     Sekiranya kawalan perlu diulangi, guna racun perosak yang mempunyai cara tindakan yang berlainan untuk mengurangkan kesan kerintangan.
4.     Jangan buang air sawah ke parit utama dalam tempoh 24 jam selepas semburan racun.
5.     Semua bekas racun perosak hendaklah dibilas 3 kali dan ditebuk sebelum dihantar ke pusat pengumpulan bekas racun untuk tindakan pelupusan. 


Sumber : Seksyen Padi & Tanaman Industri,
               Bahagian Pembangunan Industri Tanaman,
               Jabatan Pertanian Malaysia

Disunting oleh : Yunif Ibrahim Ahmad