Monday, May 28, 2018

PELUANG PELABURAN DALAM SEKTOR PERTANIAN




Sektor pertanian bukanlah satu bidang yang baru. Sejajar dengan keperluan dan kebergantungan kepada makanan penduduk dunia, sektor ini terus berkembang. Senario sektor pertanian ini perlu dicorakkan supaya ianya menjadi lebih dinamik. Daripada kedudukan sebagai pengeluar agro-makanan sehinggalah kepada penyelidikan untuk menghasilkan makanan yang boleh ditanam di angkasa lepas. Perkara yang mustahil pada masa kini mungkin boleh menjadi kenyataan pada 1000 tahun akan datang.


Oleh itu, satu persatu peluang pelaburan dalam bidang pertanian muncul mewarnai industri. Penglibatan belia dalam sektor ini juga menjadikan pertanian sebagai sebuah sektor yang semakin berdaya saing, semakin berkembang malah menjadi trending dengan adanya media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan sebagainya menjadi platform promosi, pengiklanan dan online business. Golongan muda tidak lagi malu untuk menceburi bidang ini malah menjadikan ia pilihan kerjaya utama, walaupun ada diantaranya adalah graduan dari universiti dalam dan luar negara. Malah, bidang ini turut menjadi pilihan oleh para professional memandangkan kepada potensi sektor dan rasa tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia bagi menjamin bekalan makanan yang mencukupi dan selamat dimakan selain daripada meningkatkan sumbangan kepada pendapatan negara.  

Ini melibatkan keseluruhan rantaian pengeluaran makanan, melibatkan benih  tanaman yang berkualiti, input-input pertanian, teknologi terkini, logistik, mekanisasi, penyelidikan terutamanya dalam bidang farmaseutikal, pemprosesan termasuk makanan ternakan, agropelancongan, pemasaran atas talian, dan banyak lagi.


Syarikat-syarikat swasta bukan pertanian juga turut menceburi serta membangunkan dan memeriahkan lagi sektor pertanian negara.  Ini secara tidak langsung memberi gambaran bahawa sektor pertanian mempunyai peluang dan potensi yang amat luas dan menguntungkan. Penglibatan syarikat-syarikat ini bermula dengan membuka kawasan pertanian baru dan seterusnya menjadi anchor company yang samaada secara menaungi pengusaha-pengusaha kecil pertanian, ataupun memilih skala perniagaan yang lebih besar contohnya salah satu syarikat pelaburan hartanah terkemuka negara yang mengusaha tanaman mangga dan pitaya.



Selain itu, ia mewujudkan peluang baru untuk graduan IT yang berminat untuk mencipta lebih banyak aplikasi pertanian, kalkulator pertanian, aplikasi kalender tanaman,
dan pelbagai jenis aplikasi yang boleh dimanfaatkan oleh pengguna di luar sana. Penduduk kota yang berminat dalam pertanian juga mempunyai peluang untuk bertani secara vertical farming, veggie factory, mini hydroponic, atau boleh sahaja mula menanam dalam bekas-bekas  kecil, botol-botol minuman yang dibuang, atau apa sahaja alat yang boleh diguna semula. Ia boleh dimulakan sebagai hobi, seterusnya sebagai langkah berjimat cermat, kemudian ia boleh menjadi sumber pendapatan! Tambahan pula, kombinasi 3R (Reduce, Reuse and Recycle) untuk menjimatkan kos dan DIY (Do It Yourself) membuatkan kita lebih berkreativiti, dan aktiviti ini boleh dijadikan pilihan masa lapang bersama keluarga dan anak-anak. Ia salah juga satu alternatif untuk menanam minat anak-anak dalam bidang pertanian di samping menyediakan pelapis tani negara pada masa akan datang.

 “Pertanian adalah perniagaan”. Andalah penyambung legasi pertanian negara. Malaysia mampu menjadi pengeluar utama dunia bagi komoditi-komoditi pertanian tertentu dengan usaha sama kita semua. Untuk sebarang pertanyaan, perkongsian maklumat dan idea, atau cadangan inovasi yang ingin anda bangunkan, anda boleh menghubungi Pejabat Pertanian Daerah yang berdekatan, atau boleh melayari website Jabatan Pertanian di www. doa.gov.my untuk maklumat lanjut.
















Thursday, March 22, 2018

BEBOLA MIKROB MAMPU MERAWAT AIR KOLAM PERTANIAN YANG TERCEMAR.

Akhir-akhir ini kecenderungan penggunaan mikrob dalam bidang pertanian telah menunjukkan peningkatan dengan pelbagai bentuk produk berasaskan mikrob. Melalui penyelidikan yang lebih canggih ianya telah banyak berada dalam pasaran. Dalam ruangan kali ini,kita akan membincangkan peranan mikrob sebagai kaedah untuk merawat kolam takungan sama ada untuk tujuan penyiraman pokok ataupun untuk tujuan Akuakultur. 


Keadaan air kolam yang belum dirawat


 Pencemaran air bagi tujuan pertanian biasanya terjadi apabila berlaku perubahan kimia pada kandungan air dan perubahan fizikal pada warna, bau dan rasa air di kolam takungan. Pencemaran ini terjadi disebabkan dari aliran air permukaan yang membawa bersama partikel-partikel organik, tanah dan sisa baki kimia dari aktiviti ladang ke dalam kolam. Ianya akan membentuk ampaian, kelodak dan enapan. Buangan air kumbahan domestik ke dalam kolam juga menjadi penyumbang kepada pencemaran air pertanian. Sumber air yang tercemar boleh menjejaskan pertumbuhan tanaman dan merosakkan komponen sistem pengairan dalam jangkamasa panjang sekiranya tiada langkah kawalan diambil. 



Penggunaan microb berfaedah untuk mengawal kualiti air memang tidak dapat dipertikaikan lagi keberkesanannya. Banyak kajian dan pemerhatian yang telah dilakukan oleh pelbagai pihak dari dalam dan luar negara menunjukkan bukti jelas bahawa microb berfaedah seperti photosynthetic bacteria, lactic acid bacteria, yeast, actinomycetes dan fermenting fungi mempunyai peranan yang besar dalam membantu meningkat dan mengawal kualiti air bagi tujuan pertanian secara biologi. 


Bebola mikrob


 Bebola microb boleh dihasilkan sendiri melalui pemeraman adunan tanah liat, dedak beras, molasus, air tanpa klorin dan larutan microb (EM1/BIM4) berbentuk bebola. Ianya mengandungi indigenous microb berfaedah seperti photosynthetic bacteria, lactic acid bacteria, yeast, actinomycetes dan fermenting fungi. Ia juga mudah disedia, senang diguna dan dapat bertahan lebih lama di dasar kolam. Penggunaannya akan mempercepatkan peningkatan populasi microb berfaedah dalam kolam berbanding kaedah mencurah larutan microb seperti EM1 atau BIM4 terus ke dalam kolam takungan. 


Kaedah membentuk bebola mikrob
Microb berfaedah akan bertindak dengan cara menguraikan segala bahan organan dan sebatian kimia yang mencemarkan air di dalam kolam. Ini akan mempercepatkan proses pereputan semua bahan tersebut. Kesan penguraian dan pereputan yang berlaku dapat meningkatkan kandungan oksigen dan mineral terlarut dalam air serta mengurangkan ampaian, kelodak dan enapan dalam kolam takungan. Air kolam yang dirawat akan lebih jernih, natural dan tidak berbau busuk. Kualiti air yang dirawat adalah selamat untuk kegunaan pertanian, perternakan dan perikanan.

Air kolam yang jernih


Keberkesanan kaedah ini dapat dilihat dalam tempoh masa sebulan hingga enam bulan bergantung kepada tahap keseriusan pencemaran, jenis pencemaran, jenis aktiviti ladang dan juga populasi microb berfaedah yang terdapat di kawasan tersebut. Selain kolam tadahan, bebola microb juga boleh digunakan di tangki septik, tangki ternakan ikan, tasik dan juga sungai. Bebola boleh disimpan sehingga 3 bulan di tempat yang tertutup. Langkah penggunaan bebola microb merupakan salah satu kaedah alternative terbaik yang patut diperluaskan penggunaannya untuk memulihara kelastarian sumber air bagi tujuan pertanian dengan kos yang lebih murah dan mesra alam.




Penyediaan Bebola Microb

Bagi menghasilkan antara 50 – 60 biji bebola microb, sebanyak 10 kg tanah liat, 1 kg dedak beras, 100 ml molasus, 100 larutan microb dan 2 liter air tanpa klorin diperlukan. Tanah liat diadun bersama dedak beras dan digaul serata. Sediakan bancuhan air bermicrob dengan melarutkan molasus dan larutan microb (EM) seperti sukatan ke dalam air tanpa klorin serta dikacau rata. Tuangkan bancuhan air bermicrob beransur-ansur ke atas campuran tanah liat dan dedak. Gaul dan uli sehingga kental dan boleh dibentuk seperti bebola.
Bebola perlu ditutup dengan kertas atau guni untuk pemeraman di tempat teduh pada suhu bilik. Misilium berwarna putih akan mula kelihatan pada hari ke 2. Keseluruhan bebola akan disaluti misilium ini selepas seminggu pemeraman.
Bebola microb digunakan selepas 2 minggu diperam. Iaitu apabila bebola telah kering dan agak keras.


Cara penggunaan

Kuantiti bebola yang diperlukan adalah bergantung kepada jumlah isipadu air kolam tadahan. Sebiji bebola boleh digunakan untuk 1 - 3 meter padu air. Kadar ini bergantung kepada tahap pencemaran sesuatu kawasan. Campak atau baling bebola microb ke setiap bahagian dalam kolam pada jarak 1-2 meter antara bebola. Untuk mendapat kesan yang lebih baik ulangi setiap bulan selama 3 bulan.