Wednesday, August 14, 2019

Taman Herba Bertam Pusat Khazanah Herba Untuk Generasi Akan Datang


Oleh : Yunif Ibrahim Ahmad







Pulau Pinang yang terkenal dengan jolokan ‘Pulau Mutiara’ sememangnya terkenal di kalangan pelancong tempatan dan asing. Nasi kandar, papadom dan pelbagai juadah makanan yang berasaskan rempah seperti pasembor dan roti canai serta banyak lagi mengamit kedatangan pelancong ke negeri itu yang selayaknya di katakan sebagai syurga makanan.



Bukan itu sahaja pelbagai destinasi tarikan pelancong terdapat di sini seperti pantai Batu Feringgi, jambatan Pulau Pinang, Bukit Bendera dan satu lagi tarikan terkini dalam sektor pertanian ialah Taman Herba Bertam.

Taman Herba Bertam adalah salah satu inisiatif Jabatan Pertanian yang telah mula dibangunkan untuk memartabatkan industri herba di Pulau Pinang dan Malaysia amnya. Taman ini seluas 2 hektar terletak di tengah-tengah bandar kepala batas kira-kira 500 meter dari susur keluar tol Bertam.



Tapak Taman Herba ini adalah merupakan bekas kompleks kuarters kakitangan Jabatan Pertanian yang terdiri daripada 6 unit bangunan (kelas a) di atas lot tanah milik persekutuan yang terbiar.




Sebagai langkah mengelakkan aktiviti negatif di kawasan tersebut, ia di bangunkan menjadi satu projek yang bakal memberi imej baru dan aura yang positif seperti Taman Herba ini.

Dengan objektif sebagai tempat pengumpulan maklumat-maklumat mengenai herba warisan melayu, aktiviti-aktiviti mendokumentasi, melindungi, memelihara serta memulihara tumbuh-tumbuhan herba yang kian pupus yang ada pada masa kini di jalankan.




Selain itu, taman ini berfungsi sebagai pusat pembelajaran herba dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terutama golongan muda agar menghargai dan memastikan khazanah alam ini terus terpelihara.




Satu rantaian bermula dari penanaman herba, pusat pemprosesan, perawatan dan penjualan produk serta makanan berasaskan herba diwujudkan agar pengunjung dapat merasa dekat dengan herba.

Selain penumpuan kepada herba, pengunjung juga boleh mempelajari dan mendekati aktiviti berasaskan kelulut. Terdapat galeri kelulut yang mempamerkan pelbagai informasi berkenaan penjagaan, kutipan madu dan lain-lain. Terdapat juga jualan madu kelulut serta produk berasaskan kelulut.


Sehingga kini pihak Taman Herba Bertam telah menjalankan usahasama dengan pihak Universiti Sains Malaysia, iaitu pengajian farmasi bagi menerbitkan maklumat rujukan berkenaan khasiat herba yang terdapat di taman herba ini.




Pihak USM akan memberi maklumat dari segi khasiat dan kegunaan herba yang terdapat disini dan pihak Jabatan Pertanian akan menambah dari segi maklumat botani dan agronomi. Diharap usaha ini akan berjalan lancar dan maklumat tersebut dapat diakses dan digunakan oleh pelawat yang datang ke taman ini.
Dalam taman herba diwujudkan sebuah pusat pengembangan teknologi herba yang menjalankan praktikal berkaitan dengan agronomi tanaman dan juga pembelajaran berkaitan khasiat herba. Disini juga turut menyediakan latihan teknologi herba kepada petani khususnya wilayah utara. Pusat pengembangan teknologi ini juga dilengkapi dengan kemudahan bagi mempelajari rawatan dan kaedah tradisional dengan menggunakan bahan berasaskan herba.

Pelaksanaan projek ini dijangka dapat menambahkan peluang-peluang baru di dalam mengembangkan industri herba dinegara kita. Orang awam juga dapat menikmati kemudahan yang disediakan dan mendapat manfaat dari segi pembelajaran, servis perawatan berasaskan herba, mengetahui maklumat berkenaan penghasilan produk herba dari awal hinggalah terhsailnya produk herba itu sendiri.

Selaras dengan hasrat dan wawasan kerajaan yang ingin menjadikan industri herba sebagai salah satu bidang ekonomi utama negara yang berpotensi untuk menjana pendapatan negara menjelang tahun 2020, diharapkan projek pelaksanaan taman herba bertam ini dapat menjadi projek perintis berkaitan herba bagi Rancangan Malaysia ke 12.