Friday, November 6, 2020

Pertanian Bandar mampu membantu isi rumah bandar meringankan kos sara hidup




Pertanian Bandar adalah aktiviti menanam tanaman di kawasan bandar dan pinggir bandar menggunakan kaedah penanaman seperti pertanian secara menegak (vertical farming), hidroponik, Nutrient Film Technique (NFT) atau secara konvensional di ruang yang terhad bagi menghasilkan makanan sendiri.

Di dalam konteks Jabatan Pertanian, Pertanian Bandar merupakan satu program membantu isi rumah bandar meringankan kos sara hidup melalui pengeluaran sendiri bahan makanan yang diperlukan seperti sayur-sayuran dan ulaman melalui bimbingan Jabatan Pertanian. Projek Pertanian Bandar boleh disertai oleh rakyat Malaysia di kawasan bandar dan pinggir bandar terutamanya dalam kumpulan B40. Disamping itu, Jabatan Pertanian juga memberi peluang kepada rakyat untuk menyertai projek ini melalui pendekatan 4 kategori projek iaitu perumahan individu, komuniti, sekolah dan institusi. Objektif utama program ini ialah bagi membantu rakyat dari segi menggalakkan rakyat menanam dan mengeluarkan sendiri bahan makanan yang mencukupi, berkualiti dan selamat dimakan. Disamping itu juga dapat ia secara tidak langsung dapat menambah pendapatan harian melalui lebihan hasil pertanian seterusnya membantu mengurangkan kos sara hidup di bandar. Jabatan Pertanian telah melaksanakan Kajian Impak Projek Pertanian Bandar di Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Ogos 2017 untuk menilai keberkesanan projek ini dalam membantu masyarakat bandar meringankan kos sara hidup mereka. Temuan kajian mendapati bahawa peserta projek telah dapat menjimatkan perbelanjaan dapur bagi kepeluan sayur-sayuran/ulam-ulaman sebanyak RM110/bulan setelah menyertai pogram ini. Jabatan Pertanian akan memberi khidmat nasihat dan aktiviti pengembangan sebagai galakan awal untuk menjalankan aktiviti berkebun di bandar. Antara pendekatan bagi merancang dan melaksanakan program/aktiviti pertanian bandar: (i) Memberi tumpuan kepada golongan B40/miskin bandar. (ii) Memberi kesedaran dan memupuk amalan bertani di kalangan penduduk bandar sebagai pengeluar makanan mereka sendiri. (iii) Menjadikan pertanian bandar sebagai aktiviti berterusan untuk menjamin pengeluaran bahan makanan yang berkualiti dan selamat dimakan. Program pertanian bandar ini telah bermula pada tahun 2014 dan sehingga kini, seramai 137,596 orang penduduk bandar dari 5,731 lokasi di seluruh negara (termasuk WP Labuan, Sabah dan Sarawak) telah mendapat faedah melalui insentif one-off berbentuk input pertanian, latihan dan khidmat nasihat teknikal. Pada 5 Jun 2020 yang lalu, kerajaan telah melancarkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bagi merangsang semula ekonomi dan membantu meringankan kos sara hidup rakyat melalui aktiviti projek pertanian bandar dalam bentuk bantuan input pertanian seperti benih, baja, infrastruktur ladang, peralatan pertanian, khidmat nasihat dan latihan kepada individu dengan nilai RM500 (maksimum) bagi setiap penerima dan RM50,000 (maksimum) bagi setiap komuniti Projek Pertanian bandar telah diperuntukan oleh kerajaan sebanyak RM 10 juta di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi dan ini merupakan tambahan kepada Projek Pembangunan Pertanian Bandar sedia ada dalam Rancangan Malaysia Ke 11 dengan tujuan untuk membantu rakyat Malaysia khususnya golongan B40 yang sepertimana yang disebut awal tadi. Dalam masa yang sama juga, Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, Menteri Pertanian dan Industri Makanan juga telah mengambil inisiatif untuk memohon peruntukan fasa ke-2 untuk tahun 2021. Secara dasarnya dengan pelaksanaan ini, Jabatan Pertanian berharap agar masyarakat sama-sama menghasilkan makanan sendiri yang dalam jangkamasa panjang akan dapat membantu penurunan harga bahan makanan negara yang diimport, kedapatan bekalan makanan tempatan secara berterusan, mengurangkan kadar kemiskinan bandar dan membantu pengurusan persekitaran bandar. Selain itu, penanaman di bandar ini dapat menyokong usaha kerajaan dalam menjamin kualiti dan jaminan makanan negara. Program pertanian bandar ini juga diharap dapat memupuk kesedaran dan minat terhadap pertanian sebagai penyumbang kepada kesejahteraan dan keceriaan persekitaran serta mewujudkan interaksi sosial antara antara jiran melalui aktiviti pertanian ini Orang ramai boleh mengikuti dan mendapatkan maklumat di website rasmi Jabatan Pertanian ataupun facebook Bahagian Pertanian Bandar, Jabatan Pertanian Malaysia untuk mendapatkan pelbagai aktiviti terkini pertanian dan tips-tips tanaman. #myDOA #PertanianBandar #PENJANA