Buah Kopi Liberica yang sudah masak dan sesuai untuk dipetik. |
Tanaman
Kopi (Coffea spp.) adalah sejenis
tanaman yang tergolong di dalam keluarga Rubiaceae dan dikatakan berasal
daripada kawasan Tropika di Benua Afrika. Terdapat tiga jenis kopi yang biasa
ditanam iaitu kopi Arabica, Robusta dan Liberica. Tanaman ini dipercayai dibawa
ke Semenanjung Malaysia pada tahun 1779 di mana kopi jenis Arabica adalah
merupakan jenis kopi yang mula-mula diperkenalkan. Perusahaan kopi tempatan
mula berkembang apabila kopi jenis Liberica diperkenalkan oleh Leonard Wray
pada tahun 1875.
Kopi
jenis Liberica adalah jenis kopi yang sesuai ditanam di Malaysia. Negeri-negeri
pengeluar utama kopi Liberica ialah Negeri Selangor dan Johor. Manakala kopi
jenis Robusta pula banyak ditanam di negeri Kedah, Sabah dan Sarawak. Tanaman ini merupakan tanaman yang penting di
kalangan pekebun kecil. Ianya diusahakan secara tanaman tunggal atau secara
selingan di kawasan kelapa yang sedia ada.
Pada
tahun 2016, keluasan tanaman kopi di Malaysia ialah 2,621 hektar dimana kawasan
penanaman utama di Negeri Johor (1,127.4
hektar) dan di
Negeri Sabah (1,221.9 hektar). Jika dilihat daripada status industri kopi di
negara ini, pengeluaran biji kopi mentah menurun daripada 15,064 metrik tan pada tahun
2011 kepada sebanyak 7,170 metrik tan pada tahun 2016.
Jenis
kopi yang banyak ditanam adalah Liberica manakala permintaan kopi dunia masa
kini adalah dari jenis Arabica dan Robusta. Penanaman kopi terus dipinggirkan
oleh petani di atas banyak faktor diantaranya tiada insentif kepada penanam
kopi sejak RMKe-9 dan RMKe-10, harga biji kopi jambu yang tidak menentu,
penghasilan kopi yang rendah dan serangan musuh dan perosak.
Tanaman Kopi Liberica secara tunggal |
Malaysia juga masih lagi merupakan negara
pengimport biji kopi mentah dan
produk-produk berasaskan kopi. Nilai import juga menunjukkan peningkatan dari RM 767.7 juta pada tahun 2011 kepada RM1.243
bilion pada tahun 2016. Harga kopi di pasaran tempatan juga dipengaruhi oleh
beberapa faktor dalaman seperti gred kopi, kaedah pemprosesan dan marjin
pemasaran manakala faktor luaran ialah seperti status penawaran dan permintaan
di peringkat antarabangsa. Manakala nilai eksport juga
didapati meningkat dari RM962.5 juta pada tahun 2011 kepada RM1.734 bilion pada
tahun 2016.
Tanaman kopi telah dikenalpasti sebagai salah satu
daripada komoditi pertanian yang diberi perhatian oleh kerajaan di dalam RMK11
(2016-2020). Dengan permintaan kopi yang tinggi, pengeluaran kopi negara perlu
ditingkatkan lagi bagi menampung permintaan tersebut. Bagi mencapai tujuan
tersebut, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM10 juta untuk tempoh
RMK11 bagi memperkasakan lagi industri kopi negara. Pelbagai program
pembangunan kawasan kopi telah dilaksanakan termasuklah menggalakan penanaman semula bagi menggantikan
pokok-pokok yang telah tua dan tidak lagi produktif dengan varieti kopi yang
berhasil tinggi seperti MKL5, MKL6 dan MKL7. Projek-projek Pemulihan kebun kopi
juga dilaksanakan dengan tujuan memulihkan pokok-pokok kopi yang masih produktif
bagi meningkatkan hasil.
Tanaman Kopi Liberica integrasi dengan tanaman pisang |
Potensi
tanaman kopi di Malaysia boleh dikembangkan lagi dengan penanaman secara
integrasi bersama kelapa dan dusun buah-buahan. Kini terdapat beberapa varieti
kopi Liberica yang berpotensi menjana pendapatan seperti varieti MKL 5, MKL 6
dan terkini MKL 7. Galakan penanaman kopi perlu dijalankan bagi memastikan
negara kita tidak terus bergantung kepada pengimportan biji kopi mentah.
Malaysia merupakan negara yang memproses kopi dengan bilangan pengilang kopi sebanyak
70 buah syarikat pada tahun 2016 dan syarikat tersebut telah berdaftar dengan
Jabatan Pertania Malaysia.
Malaysia
kini hanya mampu mengeluarkan biji kopi mentah sekitar kurang dari 5.3% untuk keperluan tempatan manakala
sebanyak 94.7% biji kopi mentah adalah diimport. Dianggarkan sebanyak 100,000 mt
biji kopi mentah diimport setiap tahun untuk kegunaan kilang tempatan bagi
menghasilkan produk berasaskan kopi seperti
minuman segera 3 dalam satu, white
coffee, black coffee dan sebagainya. Produk-produk ini dihasilkan samaada
untuk kegunaan tempatan dan juga dieksport.
Kopi Liberica |
Tanaman kopi mempunyai prospek yang cerah di negara ini
berdasarkan peningkatan permintaan terhadap pelbagai produk nilai tambah kopi.
Produk-produk yang dihasilkan termasuk produk minuman, produk makanan seperti
kek, biskut, roti, aiskrim, gula-gula, coklat, jeli serta kegunaan lain seperti
pewarna, perasa, ramuan perapan daging, peneutral bau, pewangi bilik, lilin dan
produk kosmetik. Selain itu, kopi juga mempunyai kebaikan tersendiri dimana
minuman kopi dapat meningkatkan metabolisma badan, meningkatkan daya tumpuan, antioksidan, membantu membina otot
dan memperbaiki daya ingatan.
Biji kopi yang telah diproses |
Jika dilihat daripada peratusan jumlah penduduk di
Malaysia, lebih kurang 40% adalah didominasi oleh golongan belia, dimana
golongan ini mempunyai gaya hidup baru dan lebih bergaya. Jadi, usaha-usaha
perlu dilakukan agar golongan belia gemar kepada kopi tempatan berbanding kopi
yang ditawarkan oleh jenama luar negara. Industri kopi boleh dianggap sebagai
satu sumber kekayaan yang boleh dimajukan dan menyumbang kepada peningkatan
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
#myDOA #OurFoodOurFuture
Sy nak buat perkebun kopi ni juga ni mana beli bibit ni
ReplyDeletehai,
ReplyDeletesya nak carikan anak pokok kopi.
blh contact sya(watapps 012416515)
Assalamualaikum. Saya sangat memerlukan benih pokok kopi. Jabatannpertanian boleh bekalkan?
ReplyDeleteTuan boleh membuat permohonan input pertanian dengan mengisi borang di Pejabat Pertanian daerah.
Deletesalam encik. boleh saya dapatkan contact pengusaha ladang kopi
ReplyDelete