Thursday, January 17, 2019

PEMBANGUNAN KLUSTER DURIAN

Buah durian yang berkualiti dari ladang yang mengamalkan Amalan Pertanian Baik



Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2011-2020, menyasarkan peningkatan pengeluaran buah-buahan daripada 1.8 juta tan matrik pada tahun 2010 kepada 2.6 juta tan matrik pada tahun 2020 dengan kadar pertumbuhan 3.8%, sementara produktiviti kawasan berhasil dijangka meningkat daripada 9.6 tan matrik sehektar pada tahun 2010 kepada 12.9 tan matrik sehektar pada tahun 2020 dan eksport buah-buahan daripada 830 ribu tan matrik pada tahun 2010 kepada 1.04 juta tan matrik pada tahun 2020. Tumpuan jelas diberikan kepada peningkatan produktiviti dan pengeluaran.

Buah diikat bagi meningkatkan kualiti
Sehingga tahun 2018, keluasan penanaman durian di Malaysia adalah seluas 72,464 hektar dengan pengeluaran sebanyak 251,910 tan matrik dan sehingga kini sebanyak 204 varieti durian telah didaftarkan di bawah Jabatan Pertanian dan di antara varieti durian yang popular ialah varieti Durian Raja Kunyit (D197) atau lebih dikenali dengan nama Musang King, D24, varieti Hjh. Hasmah atau IOI (D168), Udang Merah (D175) dan varieti Duri Hitam (D200).

Jabatan Pertanian telah mengambil inisiatif dengan memperkenalkan beberapa projek yang bertujuan untuk meningkatkan pengeluaran buah-buahan negara seperti projek Bantuan Tanam Semula Buah-Buahan Terpilih, projek Kluster Durian, Rambutan dan Mangga Harumanis yang telah dimulakan sejak tahun 2014 dan kesemua projek ini telah diteruskan di dalam RMKe-11


Durian yang juga dikenali dengan nama saintifiknya Durio zibethinus Murr merupakan raja segala buah-buahan dan di antara tanaman buah-buahan yang semakin terserlah nilai komersilnya kerana mendapat permintaan tinggi dikalangan penggemar durian dari dalam dan luar negara.

Selaras dengan perkembangan yang positif bagi industri durian, pelbagai ruang dan peluang yang boleh diterokai. Dengan permintaan yang tinggi di pasaran tempatan dan eksport, kualiti dan varieti durian yang baik serta ‘branding’ Malaysia sebagai pengeluar durian terbaik di dunia, industri ini dilihat boleh memberi pendapatan yang besar kepada usahawan tempatan dan dilihat berpotensi menjadi sumber kekayaan baharu yang memberi manfaat besar kepada sosioekonomi petani.



Pembangunan yang dirancang, merangkumi perluasan kawasan tanaman durian sedia ada dan baru melalui Transformasi Ladang secara pengurusan berpusat seperti koperasi dan syarikat swasta. Melalui kaedah ini, ianya akan dapat memudahkan penyelarasan aktiviti-aktiviti pembangunan kawasan seperti, pembersihan kawasan, pengurusan tanaman, pengurusan sumber manusia, pengurusan kewangan, pengangkutan dan pemasaran dilaksanakan. Dengan kerjasama kerajaan pusat, kerajaan negeri, agensi-agensi kerajaan dan swasta yang berkaitan, tanah-tanah yang terbiar boleh dimanafaatkan sepenuhnya dengan penanaman durian.


Di samping itu, Jabatan Pertanian juga akan membantu dalam meningkatkan pengeluaran benih tanaman yang tulen dan berkualiti melalui insentif bantuan naiktaraf infrastruktur nurseri benih sedia ada serta pengeluaran benih di stesen-stesen Jabatan Pertanian dan usahawan yang terlibat.

Melalui Pemerkasaan Teknologi pula, Jabatan Pertanian akan menaiktaraf pusat-pusat jualan benih dan pusat pemprosesan durian.  Selain itu Jabatan akan melatih belia-belia yang berkelayakan sebagai pelapis pakar pecantum dewasa pokok durian melalui program “Farmers Field School” dan ini akan membuka peluang kerjaya kepada belia yang terlibat.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui Jabatan Pertanian juga akan mengadakan aktiviti pengembangan melalui promosi dan roadshow di seluruh negara bagi menguar-uarkan projek-projek berkaitan pembangunan tanaman durian yang telah dirancang agar mendapat penglibatan menyeluruh daripada semua peringkat di dalam industri ini.

Bagi menjaga kualiti dan pengukuhan aktiviti pengeksportan durian di luar negara, keperluan elemen traceability durian adalah penting dan akan dibangunkan. Pengenalpastian varieti durian dan lokasi pengeluaran durian yang dieksport akan dapat memastikan kualiti produk keluaran negara ini akan lebih terjamin.
 
Pokok durian yang berkualiti ditanda dan disahkan oleh Jabatan Pertanian

Antara varieti-varieti durian yang dijual di pasaran

Diharapkan dengan kerancakkan pembangunan industri durian sebagai salah satu sumber kekayaan baharu negara serta pasaran yang amat baik, ini akan dapat memberi pulangan yang lumayan kepada pengusaha serta dapat menjadikan durian sebagai komoditi utama eksport negara pada masa depan.

#myDOA #OurFoodOurFuture

1 comment:

  1. Numpang promo ya Admin^^
    ajoqq^^com
    mau dapat penghasil4n dengan cara lebih mudah....
    mari segera bergabung dengan kami.....
    di ajoqq^^com...
    segera di add Whatshapp : +855969190856

    ReplyDelete