Thursday, December 2, 2021

Program keselamatan makanan yang belum selamat




PROGRAM keselamatan makanan (food security program) kini diuji sama ada ia benar-benar selamat atau sebaliknya.

Baru diuji dengan kenaikan harga, kita mula bertelagah dan ada tanda-tanda pemimpin serta pihak berkuasa cuba berdalih.

Satu persatu blueprint dilancarkan. Pelbagai dasar digubal. Realitinya pengguna terus menanggung kepayahan hidup manakala petani, nelayan dan penternak tradisional terus dicengkam kemiskinan kerana hasil keringat dituai tak setimpal apa yang disakukan.

Ramai rakan-rakan bertanya saya apakah jalan penyelesaian kepada kemelut jaminan keselamatan makanan yang sejak kebelakangan ini hangat didebatkan.

Umum tahu, program keselamatan makanan juga ada kaitan dengan komuniti ekonomi luar bandar manakala pengedaran, peruncitan, import makanan dan import input sektor ini adalah bisnes dikuasai kartel yang amat bepengaruh, yang sedikit sebanyak ada kaitan pula dengan gerakan ekonomi hitam. Apabila pihak-pihak ini menetapkan apakah harga yang rakyat perlu bayar, tiada mana-mana pihak berani bersuara atau berupaya menghalang hasrat mereka.

Kerajaan di era kepimpinan Tun Razak telah mencuba menangani isu ini menerusi dua inisiatif besar. Pertama, apabila kerajaan menganjurkan KEB 1 1965 pada 5-7 Jun 1965, yang berkesudahan dengan penubuhan beberapa agensi utama pembangunan ekonomi luar bandar, terutama MARA, BPM dan FAMA. Tak perlulah dihuraikan di sini apakah fungsi utama setiap agensi itu. Selepas beberapa tahun berlalu, terutama apabila kerajaan menggubal RMK-1 (1966-1970), misi KEB 1 itu sukar dilaksanakan kerana pelan pembangunan ekonomi RMK -1 itu adaptasi model ekonomi pasaran terbuka, yang menghalalkan blok kapitalis terus mencengkam dan menindas rakyat dan pengguna.

Kedua, bila DEB 1970 dilancarkan, Tun Razak mencuba sekali lagi. Kali ini beliau menggerakkan komuniti ekonomi luar bandar (petani, penternak dan nelayan) untuk mengurus ekonomi mereka sendiri.


Tan Sri Raden Soenarno ditugaskan mengetuai sepasukan pegawai “frontliners” pelbagai lapisan di Jabatan Pertanian, untuk menimba ilmu pengurusan koperasi pertanian dan koperasi kewangan pertanian dari Taiwan. Bayangkan, pada awal tahun 1970-an, setakat manalah kemajuan ekonomi Taiwan. Akan tetapi, Tun Razak ada misi dan keyakinannya tersendiri terhadap model gerakan koperasi pertanian dan koperasi kewangan pertanian di Taiwan.



Pasukan Tan Sri Raden membawa pulang keseluruhan pakej gerakan itu dan dipersembahkan kepada Tun Razak dengan penuh keyakinan akan model ekonomi pertanian yang paling praktikal untuk golongan komuniti ekonomi luar bandar di Malaysia yang ketika itu rata-rata dianggap antara komuniti ekonomi yang paling rendah tahap pendidikannya.

Diarahkan oleh Tun Razak untuk gerakan itu di surrogate kan di Jabatan Pertanian, atas nama Persatuan Peladang Malaysia, meniru bulat-bulat model Taiwan Farmers Association (dikenali seluruh dunia sebagai Taiwan FA).


Bila gerakan itu menghasilkan impak yang amat menakjubkan, dengan para petani sendiri menganggotai dan menerajui Persatuan Peladang Kawasan, Negeri dan akhirnya Persatuan Peladang Kebangsaan (ringkasnya NAFAS), di bawah bimbingan para pegawai di Jabatan Pertanian, ada pula pihak yang memandai-mandai merombak model itu menjadikannya pertubuhan peladang ala Malaysia.


Saya masih ingat semasa Persatuan Peladang Pontian ditubuhkan, ayah saya adalah di antara petani paling awal menyertai gerakan itu.

Pegawai Pengembangan di Jabatan Pertanian Pontian bekerja keras menyakinkan para petani akan manfaat bila mereka sendiri memiliki pertubuhan itu dan menguruskan bisnes kepentingan mereka, dengan bimbingan serta mudah cara para pegawai di jabatan berkenaan.

Bila tamat pengajian dari Intitiut Pertanian Semenanjung Malaysia, Serdang pada November 1972, saya ditugaskan di Jabatan Pertanian Johor dan ditempatkan mengetuai Unit Perakaunan di Persatuan Peladang Negeri Johor, iaitu pertubuhan berkenaan di peringkat negeri.



Kejayaan dan kenangan manis itu melekat dalam memori saya hingga kini.

Malangnya, seperti saya katakan, umur Persatuan Peladang model asal Taiwan FA amat singkat. Oleh kerana kejayaannya terlampau cemerlang dalam masa terlalu singkat maka banyaklah kepala bijak pandai Melayu dalam kalangan penjawat awam merasakan mereka lebih bijak mengislahkan model asal gerakan koperasi itu menjadi pertubuhan entiti baharu, dipindahkan dari bawah ketiak Jabatan Pertanian.

Adalah silap mengatakan kejayaan model Taiwan FA itu adalah kerana gerakan koperasi. Bukan. Kejayaan itu ialah kerana fungsi pengembangan pertanian yang menjadi kunci kejayaan gerakan itu.

Sejak pengislahan gerakan persatuan peladang itu, isu ekonomi pertanian dan ekonomi luar bandar kembali ke dunia asalnya.

Sekadar perbandingan, di UK, Australia dan New Zealand misalnya, mereka dalam kalangan professional agriculturists menubuhkan jaringan firma pengurusan seperti nama Farm Advisory Service Team (FAST), bagi menawarkan khidmat pengurusan pakej lengkap, kepada para petani yang dianggap “educated”. Kejayaan FAST juga pada kunci yang sama, tetapi fungsi pengembangan pertaniannya sesuai dengan tahap ilmu petani mereka.




Kini isu berkaitan pertanian, pengeluaran makanan dan komuniti ekonomi luar bandar berada di bawah lima kementerian iaitu Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, KP&K, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kemenenterian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, malah di Jabatan Perdana Menteri (FELDA).

Itu belum mengambil kira peranan beberapa kementerian dan agensi yang boleh turut dikaitkan sama. Bilangan agensi terbabit tak usahlah nak disenaraikan, sebab terlalu banyak. Dasar sudah bersilih ganti. Satu demi satu blueprints terhasil. Apa lagi yang kurang? Tiada.

Di pihak pengguna pula, isi periuk nasi mereka ditentukan oleh kartel yang menguasai rantaian bekalan dan keselamatan makanan. Ini bukan isu baharu. Isu ini akan terus menghantui pengguna sekalipun ratusan dasar dan blueprints telah kerajaan hasilkan.

Bila tercetus kemelut, ada satu pihak akan dijadikan kambing hitam, iaitu “orang tengah”. Siapa “orang tengah” ini, tentulah Ah Chong & Co. Sistem penyampaian agensi awam, korporat dan swasta serta kekalutan politik tidak pernah menjadi penyebab kepada kemelut ini yang sering diulang tayang.

Dalam kalangan akademia pun berlumba-lumbalah menulis rencana menghuraikan pelbagai teori ekonomi dan kemasyarakatan, bagaimana kemelut ini tercetus berulang kali.

Janganlah tanya sama ada saya ada ilham lain bagi mengembalikan kegemilangan era petani miliki dan urus tadbir sendiri gerakan ekonomi kepentingan mereka. Selepas hampir 50 tahun meninggalkan PPNJ saya tiada ilham baharu dan tiada jalan penyelesaian bagaimana isu ekonomi pertanian dan segala isu berkaitan dengannya boleh diselesaikan.

Namun, jika dalam kalangan netizen yang memiliki teknologi serta pasionate menceburi sektor ekonomi agromakanan ini, saranan saya ialah mereka wajib bermula dengan membina rangkaian ekonomi sesama sendiri di sepanjang rantaian nilai sektor ini, termasuk pembentukan jaringan dengan sekutu agritech di beberapa negara jiran dan rantau Asia. Maksud saya ialah, mereka wajar membina jaringan ekonomi sendiri yang dipacu oleh gerakan ekonomi yang mereka nakhodakan sendiri.

Dengan ekonomi digital semakin canggih, hubungan mereka bukan sekadar sesamanya saja, malah mereka kini boleh terus berurusan dengan pengguna (B2C). “Petani’ alaf baharu ini boleh membina dan menggunakan “trade super highway” mereka sendiri terus berurusan dengan pengguna.



Biarlah netizen mencorakkan apakah agenda keselamatan makanan yang mereka perlu bina jika mereka nak selamat. Masa depan adalah masa mereka, yang dicorakkan mengikut acuan mereka, kecuali jika mereka juga memilih corak yang kami kini lalui.

Bagi mereka yang seangkatan dengan saya, kita terimalah apa saja blueprints yang dihasilkan. Jika nak jaminan keselamatan makanan, binalah jaringan jaminan sendiri.

Penulis : Datuk Dr. Hasan Mad

Penulis merupakan Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM)

Sumber : https://utusantv.com/2021/12/02/program-keselamatan-makanan-yang-belum-selamat/

Thursday, November 18, 2021

Jabatan Pertanian Selangor terima peruntukan RM6.36juta untuk pembangunan agromakanan

 



18 November 2021, Klang - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Jabatan Pertanian telah memperuntukkan sebanyak RM 6.36 juta kepada Jabatan Pertanian Negeri Selangor merangkumi pelbagai insentif bagi menyokong pembangunan industri agromakanan negara bagi tahun 2021. Menurut YBhg. Dato’ Zahimi bin Hassan, Ketua Pengarah Pertanian, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM 3.6 juta bagi Program Kebuniti yang telah memberi manfaat kepada 117 komuniti yang terdiri daripada 1,400 golongan sasar di negeri Selangor.

.



YBhg. Dato’ Haslina binti Abdul Hamid, Ketua Setiausaha MAFI berkata, Program MAFI Prihatin dan Walkabout Program Pertanian Bandar Negeri Selangor di Pangsapuri Sri Ayu, Bandar Putera, Klang, Selangor merupakan platform terbaik pihak MAFI untuk merasai denyut nadi rakyat dalam membantu kumpulan sasar merasai kesan positif daripada limpahan ekonomi pertanian melalui projek pembangunan berimpak tinggi seperti Program Kebuniti Jabatan Pertanian. “Projek ini merupakan aktiviti yang semakin mendapat perhatian dan minat masyarakat kerana dapat membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat yang terkesan dengan pandemik COVID-19,” jelas Dato’ Haslina.


Program ini turut mendapat kerjasama Persatuan Gabungan Pekebun Buah-Buahan Malaysia (FMFFA) dan Persatuan Pekebun Buah-buahan Negeri Selangor/Kuala Lumpur yang melaksanakan inisiatif Corporate Social Responsibility (CSR) melalui sumbangan 600 bakul makanan berupa bahan makanan asas seperti beras, gula, tepung dan sebagainya untuk diserahkan kepada kumpulan sasar yang dikenalpasti. Dato’ Haslina berharap dengan sumbangan ini dapat membantu kebajikan dan meningkatkan semangat penduduk dalam suasana endemik ini. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak industri yang memberikan sumbangan.



Turut serta YBhg. Dato’ Zahimi bin Hassan, Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, YBrs. Encik Azahar bin Ibrahim, Pengarah Pertanian Negeri Selangor, YBrs. Encik Hong Jok Hon, Pengerusi Persatuan Gabungan Pekebun Buah-Buahan Malaysia, YBrs. Encik Richard Thang See Ong, Presiden Persatuan Buah-buahan Negeri Selangor/Kuala Lumpur dan YBrs. Tuan Haji Kamarulzaman bin Masri@Shaarani, Pengerusi Pangsapuri Sri Ayu, Bandar Putera Klang, Selangor.

 






#myDOA #MAFIPrihatin #KeluargaMalaysia #KeluargaDOA

Wednesday, November 17, 2021

DASAR AGROMAKANAN NEGARA 2.0 – PERANAN JABATAN PERTANIAN

 
DASAR AGROMAKANAN NEGARA 2.0 –
PERANAN JABATAN PERTANIAN


Seperti kita sedia maklum, Malaysia telah mencapai kemerdekaan yang ke-64. Menariknya, Jabatan Pertanian telah ditubuhkan lebih awal lagi sebelum kita mencapai kemerdekaan negara iaitu pada tahun 1905. Jika dihitung, Jabatan Pertanian kini telah berusia 116 tahun. Tugas utama Jabatan Pertanian pada awal penubuhannya adalah berkisar kepada penyelidikan tanaman, menyediakan pakar teknikal kepada pengusaha ladang dan perkhidmatan pengembangan kepada pekebun kecil serta pembangunan dan pemeliharaan hak-hak tanah bagi semua jenis tanaman ekonomi yang berpotensi seperti getah dan koko.
 
Selepas negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, Jabatan Pertanian terlibat sepenuhnya dalam bidang penyelidikan, menyediakan khidmat pengembangan dan pemasaran serta pembangunan pertubuhan peladang. Bagaimanapun, dengan tertubuhnya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan – FAMA (1965), Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian – MARDI (1970), Lembaga Pertubuhan Peladang – LPP (1973), Jabatan Pertanian telah disusun semula dan menumpukan peranannya dalam memberikan khidmat pengembangan terutamanya kepada petani. Di bawah Perjanjian Persekutuan Malaysia (1974), Jabatan Pertanian Negeri di setiap negeri telah ditubuhkan.
 
 
Kini, Jabatan Pertanian memainkan peranan seperti berikut:
 i.        mempercepatkan transformasi pertanian kepada sektor masa kini sektor yang moden, dinamik dan komersial;
    ii.        membangunkan industri tanaman makanan dan florikultur;
  iii.        memberi khidmat perundingan dan sokongan teknikal;
  iv.        melindungi industri pertanian negara;
   v.        menjamin keselamatan makanan dan alam sekitar;
  vi.        bergiat dalam forum-forum, hubungan dua hala, dan kerjasama teknikal antarabangsa; dan
 vii.        mempertingkatkan pembangunan sumber manusia.

Apakah misi dan visi serta objektif Jabatan Pertanian Malaysia yang kini
berusia 116 tahun.

Visi
Ke arah mewujudkan industri pertanian yang berdaya saing, pengeluaran produk berkualiti, selamat dan mesra alam serta berorientasi eksport.
 
Misi
Memberi perkhidmatan berkualiti dan berkesan kepada pengusaha-pengusaha pertanian melalui pengamalan teknologi terkini dan khidmat regulatori pertanian untuk meningkatkan daya pengeluaran serta memastikan keselamatan sektor pertanian negara.
 
Objektif
   i.  Memberi khidmat pengembangan dan pembangunan pertanian melalui pemindahan teknologi berteraskan Amalan Pertanian Baik di sepanjang rantaian nilai bagi meningkatkan pengeluaran dan pendapatan serta memastikan pengeluaran bahan makanan yang mencukupi, berkualiti dan selamat dimakan;
    ii.        Membimbing dan mewujudkan pengusaha pertanian yang progresif bagi meningkatkan produktiviti ladang dan pengeluaran pertanian negara;
  iii.        Mewujudkan kumpulan tenaga yang terlatih dan mahir untuk keperluan industri pertanian;
  iv.        Melindungi tanaman industri dan makanan daripada ancaman perosak dan penyakit melalui program perlindungan tanaman dan perkhidmatan biosekuriti tumbuhan;
   v.        Menentukan keluaran hasil-hasil tanaman makanan yang berkualiti dan selamat serta memelihara alam sekitar; dan
  vi.        Mengawal bahan-bahan tanaman dan bahan janaplasma negara daripada di bawa keluar negara dan terancam pupus.

Apakah strategi Jabatan Pertanian bagi menangani cabaran dalam 
pengeluaran makanan negara yang selamat dan berkualiti?
 
Aplikasi teknologi adalah strategi utama bagi mengatasi kesan kekurangan tenaga kerja serta kebergantungan kepada buruh asing dalam sektor tanaman yang dianggarkan berjumlah sekitar 90,000 orang. Dengan penggunaan teknologi digital menerusi pertanian pintar, kecekapan serta produktiviti sektor ini juga dapat dipertingkatkan. Dalam mengadaptasi ledakan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0), Jabatan Pertanian akan terus meneroka dan membangun sistem pertanian moden berlandaskan teknologi.
 
Bagi menjamin sekuriti makanan dan kelestarian sistem pertanian negara, beberapa strategi telah dilaksanakan seperti berikut:
 
Menjalinkan kerjasama dengan beberapa syarikat bagi saluran pemasaran secara dalam talian, seperti pemasaran jualan bersama pemberi perkhidmatan seperti POS Malaysia, City Link, Line Clear, Skynet dan GDEX. Contoh seperti kerjasama dengan syarikat SHOP 365 Sdn. Bhd. Anak syarikat Air Asia yang menjalankan aktiviti pemasaran dalam talian sehingga termeterai MoU antara MAFI dan syarikat tersebut.
 
Seminar dalam talian seperti webinar dan Facebook Live yang memberi penekanan kepada pemasaran secara dalam talian supaya pemasaran hasil pertanian boleh dilakukan dengan lebih baik dan berkesan.
 
Menggalakkan penggunaan aplikasi teknologi pertanian pintar dalam bidang pertanian bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti serta mengoptimumkan penggunaan sumber ke arah mencapai pertanian lestari. Antaranya ialah penggunaan dron yang digunakan untuk membantu dalam aktiviti penyemburan input pertanian seperti baja dan racun perosak. Dengan adanya dron, kerja-kerja membaja dan meracun dapat dilakukan dengan lebih cepat dan selamat serta hanya mengunakan satu (1) orang pekerja sahaja untuk mengawal drone dengan kadar kerja ladang iaitu selama lebih kurang 1 jam per hektar berbanding menggunakan manusia secara manual iaitu lebih kurang 5 jam per hektar.
 
Jabatan Pertanian juga telah merangka projek-projek bagi Rancangan Malaysia Kedua Belas, 2021-2025 (RMK-12), dengan menekankan elemen untuk mengenalpasti bidang baharu pertumbuhan seiring dengan usaha bagi menghadapi Revolusi Perindustrian 4.0. Dengan perkembangan teknologi Pertanian 4.0, sistem fertigasi kini boleh diintegrasikan dengan teknologi seperti IoT, automasi dan Artificial Intelligence (AI) bagi meningkatkan kecekapan pengurusan ladang.
 
Begitu juga aktiviti kerja di lapangan dapat dipermudahkan dengan adanya inovasi Artificial Intelligence (AI) paddy disease detection menggunakan smartphone dengan bantuan AI untuk mengesan penyakit padi seperti Bacterial Blight, Brown Spot dan Rice Blast di lapangan secara real time. Walaupun inovasi ini masih di peringkat kutipan data namun hasilnya sangat memberangsangkan.
 
Jabatan Pertanian Malaysia juga sentiasa mengenalpasti teknologi terkini yang sesuai untuk diguna dan diaplikasi mengikut kaedah yang bersesuaian. Contohnya seperti penanaman sayuran secara vertikal iaitu kaedah penanaman secara menegak atau bertingkat sama ada secara indoor atau outdoor. Sistem penanaman ini mampu mengoptimumkan pengeluaran di kawasan yang bersaiz terhad. Struktur bertingkat membolehkan hasil yang dikeluarkan berlipat ganda per unit kawasan berbanding sistem tanaman konvensional. Pertanian vertikal secara indoor iaitu dalam persekitaran terkawal pula membolehkan pertumbuhan tanaman dikawal mengikut keperluan pasaran dan hasil adalah premium iaitu bersih dan bebas atau minimum penggunaan racun perosak. Teknologi yang sesuai akan disampaikan kepada golongan sasar melalui aktiviti pengembangan Jabatan melalui pelaksanaan latihan secara kursus, seminar dan khidmat nasihat yang dijalankan.
 
    Di samping itu, dicadangkan juga penggemblengan pekerja tempatan mahupun tenaga pekerja asing bagi sektor industri yang tidak beroperasi dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk dibenarkan terlibat sementara dalam sektor pertanian terutamanya dalam penanaman dan penuaian hasil ladang yang mengalami kekurangan sumber tenaga kerja. Strategi mewar-warkan atau mengiklankan peluang pekerjaan dalam sektor pertanian (terutamanya di musim penuaian hasil sayur-sayuran dan buah-buahan) kepada individu-individu yang beminat terutamanya yang menganggur atau yang hilang punca pendapatan samada diberhentikan kerja atau majikan yang terpaksa menangguhkan operasi dalam tempoh PPN.

Peranan Jabatan Pertanian dalam memastikan keselamatan makanan
pengguna adalah terjamin?
 
Selaras dengan visi yang saya telah sebutkan tadi, salah satu aktiviti pengembangan Jabatan Pertanian adalah memastikan penggunaan racun perosak secara berhemah oleh petani. Penggunaan racun perosak oleh petani di ladang adalah dipantau melalui Program Pemantauan Residu Racun Perosak dalam Tanaman Makanan.
 
Melalui program ini, hasil pertanian diambil secara rawak dari ladang oleh Agen Pengembangan Tanaman (APT) di seluruh Malaysia. Sampel kemudian dihantar ke makmal di bawah Jabatan Pertanian untuk analisis penentuan residu racun perosak. Keputusan analisis sampel yang didapati tidak mematuhi had maksimum residu (MRL) racun perosak akan dipantau dan dibimbing oleh APT supaya petani menggunakan racun perosak secara berhemah dan seterusnya mematuhi nilai MRL yang ditetapkan.
 
MRL adalah nilai maksimum residu racun perosak yang dibenarkan terdapat dalam tanaman makanan akibat penggunaan racun perosak berdasarkan Amalan Pertanian Baik. Nilai MRL berdasarkan tanaman boleh dirujuk pada Jadual Keenambelas (Peraturan 41), Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
 
Jika petani tersebut masih lagi gagal untuk mematuhi nilai MRL yang ditetapkan, petani tersebut boleh diambil tindakan di bawah Peraturan – Peraturan Makanan 1985, Akta Makanan 1983. Tindakan penguatkuasaan ini adalah dibawah Kementerian Kesihatan Malaysia di mana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM 10,000.00 atau penjara selama tempoh tidak lebih d­­­­aripada 2 tahun.
 
Dalam memastikan matlamat ini dicapai, Jabatan Pertanian juga telah mewujudkan Skim Pensijilan Amalan Pertanian Baik (SALM) bermula tahun 2002. Skim ini telah dijenamakan kepada myGAP. Skim ini diperkenalkan bagi mengiktiraf ladang yang mengamalkan amalan pertanian baik.
 
Sehingga kini, pihak Jabatan telah membangunkan 3 dokumen Pensijilan myGAP iaitu:
a)      myGAP Sektor Tanaman
b)      myGAP. AM untuk Pemeliharaan Lebah dan Kelulut
c)      myGAP.TBM untuk Tanaman Bukan Makanan
Insya Allah, pada tahun 2022, Jabatan Pertanian akan lancarkan myGAP.PF iaitu Pesticide Free untuk tanaman yang tidak menggunakan racun kimia sintetik bagi tujuan kawalan perosak dan penyakit.
 
Bermula tahun 2002 sehingga kini, sebanyak 8,524 ladang yang telah berjaya diiktiraf dengan pensijilan myGAP dengan keluasan sebanyak 35,538 hektar. Berdasarkan statistik yang telah dicapai mengikut tahun, terdapat peningkatan yang drastik bermula tahun 2019 sehingga tahun 2021 berbanding tahun sebelumnya. Terdapat peningkatan sebanyak 50% sehingga 150% bilangan ladang yang dipersijilkan dengan myGAP. Ini menunjukkan terdapatnya peningkatan terhadap kesedaran petani terhadap kepentingan ladang mereka untuk dipersijilkan. 
Jabatan turut melaksanakan pensijilan bagi mengiktiraf ladang-ladang yang mengamalkan pertanian organik melalui pensijilan myOrganic bagi subsektor tanaman. Produk organik ini mempunyai pelanggan dan pasarannya yang tersendiri.

Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0), Apakah peranan Jabatan Pertanian bagi mencapai objektifnya?
Dasar Agromakanan Negara 2.0, 2021-2030 (DAN 2.0) menyatakan fokus utama untuk memastikan sistem rantaian makanan negara dapat mendepani cabaran sekuriti makanan. DAN 2.0 bertujuan memberikan satu panduan yang inklusif dan ekstensif untuk agenda pemodenan sektor agromakanan dalam tempoh perlaksanaan dari tahun 2021 hingga tahun 2030. Berdasarkan penyataan dasar DAN 2.0, agromakanan adalah sebagai suatu sektor yang mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi yang dapat memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat serta mengutamakan sekuriti dan nutrisi makanan.
Antara objektif di bawah DAN 2.0 adalah: 
     i.     Meningkatkan pertumbuhan pendapatan dan kualiti hidup yang lebih baik bagi pengeluar makanan
 ii.  Mempertingkatkan output pengeluaran serta kualiti penuaian melalui peningkatan produktiviti
  iii.        Mewujudkan rantaian nilai yang lebih tangkas dan berdaya tahan dengan   aktiviti nilai tambah yang tinggi
  iv.        Menambah baik sekuriti dan nutrisi makanan rakyat
   v.        Memacu pertumbuhan ekonomi, sosial dan inklusiviti
vi.  Menggalakkan amalan penggunaan dan pengeluaran makanan secara mampan
 
Bagi mencapai objektif DAN 2.0, Jabatan Pertanian berperanan memastikan program (2021-2025) di bawah Jabatan Pertanian memberikan fokus kepada keselamatan makanan dan kecukupan makanan.
 
Antara strategi-strategi Jabatan Pertanian adalah :
     i.        Menambahbaik teknologi seiring dengan IR 4.0 - Pertanian pintar yang bertujuan menggalakkan petani menggunakan Internet of Thing (IoT) dan Artificial Intelligent seperti menggiatkan penggunaan peralatan dron, robotik dan sensor dalam pengurusan tanaman.
    ii.        Pembangunan kawasan baharu bagi meningkatkan produktiviti pengeluaran tanaman agromakanan. Pembangunan kawasan baharu ini juga memastikan kecukupan taraf sara hidup (SSL) bagi kebanyakan tanaman seperti tanaman cili dan halia. Di samping meningkatkan pengeluaran tanaman makanan yang berorientasikan eksport.
  iii.        Mengalakan petani atau pengusaha mempraktiskan Amalan Pertanian Baik menerusi persijilan myGAP atau myOrganik. Bagi menjayakan usaha ini, Jabatan Pertanian turut menyediakan khidmat nasihat melalui aktiviti pengembangan di Jabatan Pertanian negeri dan daerah-daerah.
  iv.        Memperkasakan perkhidmatan Jabatan Pertanian melalui tenaga kerja terlatih dalam sektor agromakanan bagi meningkat kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada golongan sasar.
 
Usaha-usaha yang telah dan akan diteruskan melalui strategi-strategi ini adalah sejajar dan menyokong objektif DAN 2.0 bagi memastikan kecukupan makanan dan keselamatan makanan untuk negara. Sesungguhnya, kerjasama semua pihak adalah penting bagi merealisasikan matlamat Dasar Agromakanan Negara (DAN 2.0) ini.

Di bawah DAN 2.0, penekanan khusus diberikan kepada subsektor utama seperti buah-buahan. Apakah jenis buah-buahan tropika yang menerima permintaan tinggi oleh negara luar? 
Industri buah-buahan kekal menjadi penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pertanian Malaysia. Industri ini akan berterusan sebagai salah satu penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia. Permintaan untuk buah-buahan tropika di pasaran dunia juga menunjukkan trend yang meningkat. Oleh itu, potensi yang besar perlu direbut oleh pemain industri untuk menceburi bidang ini dengan serius yang semestinya memberikan pulangan yang menguntungkan.
 
Pada masa kini, buah-buahan tropika seperti tembikai (161.3%), betik (153.1%), belimbing (132.8%), nangka (110.5%), manggis (105.8%), durian (105.2%), nanas (105.2%), rambutan (101.2%), jambu batu (100%) dan pisang (98.7%) telah mencapai tahap sara diri (Self Sufficiency Level (SSL)) bagi kegunaan domestik. Oleh itu, buah-buahan ini berpotensi untuk dieksport bagi tujuan mengelakkan berlakunya lambakan dalam negara.
 
Berdasarkan data eksport 2019 daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, buah-buahan yang mendapat permintaan tinggi oleh negara luar adalah tembikai, betik, durian, nanas dan nangka. Walau bagaimanapun terdapat juga buah-buahan lain yang mendapat permintaan daripada negara luar seperti belimbing, manggis, rambutan dan jambu batu.

Apakah kualiti yang ada pada buah-buahan tropika di Malaysia sehingga 
menerima permintaan tinggi?
Kualiti yang ada pada buah-buahan tropika di Malaysia adalah:
     i.        Varieti yang terpilih difokuskan untuk tujuan eksport
    ii.        Mengamalkan amalan pertanian yang baik melalui pensijilan myGAP
  iii.        Kandungan nutrisi yang tinggi
  iv.        Segar dan selamat dimakan
 
Selain itu, buah-buahan tropika diakui dapat memberi manfaat kesihatan kerana mengandungi vitamin, mineral dan serat makanan untuk tubuh manusia. Sebilangan besar buah-buahan secara semulajadi adalah rendah dalam kandungan lemak, natrium dan kalori serta tidak mengandungi kolesterol, tetapi memiliki banyak nutrient penting yang kurang diambil termasuklah kalium, serat makanan, asid askorbik (Vitamin C) dan asid folik. Buah-buahan tropika juga memainkan peranan penting dalam menyediakan piramid makanan seimbang untuk membendung masalah obesiti dan penyakit lain.

Adakah nilai purata eksport buah-buahan tropika Malaysia meningkat
pada tahun lepas meskipun negara berdepan dengan pandemik COVID-19
Dan berapakah sasaran eksport buah-buahan tropika tahun ini?
 
Secara umumnya, terdapat 10 jenis buah-buahan terpilih yang dieksport keluar negara. Nilai eksport buah-buahan Malaysia didapati menurun sebanyak 11% pada tahun 2020 iaitu daripada 141,816 metrik tan kepada 159,085 metrik tan berbanding pada tahun 2019.
Sasaran eksport buah-buahan tropika bagi tahun 2021 adalah 143,301 metrik tan di mana dijangka terdapat sedikit kenaikan berbanding tahun 2020 iaitu sebanyak 141,816 metrik tan.
(Data 2020 adalah data awalan dan bagi data 2021 data anggaran). (Sumber : MAFI, DOA)

Sekiranya permintaan eksport buah-buahan tropika meningkat, apakah
strategi Jabatan Pertanian dalam memenuhi permintaan dari luar Negara
ini?

Dalam Rancangan Malaysia Ke-12, Jabatan Pertanian akan melaksanakan projek pembangunan buah-buahan iaitu Projek Pembangunan Tanaman Jangka Panjang dan Projek Pembangunan Tanaman Jangka Pendek. Objektif projek adalah untuk meningkatkan produktiviti komoditi terpilih yang mempunyai kelebihan strategik untuk dieksport.
 
Antara skop pelaksanaan projek adalah seperti berikut:
     i.        Memperlengkap dan memperbaiki infrastruktur seperti jalan ladang, pengairan dan bekalan elektrik di kawasan projek yang bertujuan untuk meningkatkan pengeluaran dan mempercepat pengangkutan hasil segar dari ladang ke kawasan pemprosesan;
    ii.        Penggunaan teknologi dalam meningkatkan produktiviti seperti menanam varieti yang lebih toleran terhadap perosak dan penyakit, teknologi pascatuai untuk pasaran eksport (pembungkusan, pengangkutan dan pengesanan).
  iii.        Mempromosikan dan menggalakkan petani untuk mengikuti Amalan Pertanian Baik serta mendaftar dengan Jabatan Pertanian Malaysia untuk mendapatkan persijilan myGAP Malaysia.
  iv.        Memperkenalkan insentif baharu bagi pelabur yang berminat untuk melabur dan mengembangkan industri buah seperti cukai percuma untuk jangka masa tertentu serta insentif untuk meneroka pasaran baharu.
   v.        Menggalakkan konsep contract growers bernaung di bawah syarikat anchor supaya piawaian pengurusan ladang dan kualiti buah adalah lebih seragam.

Buah-buahan tropika di negara ini boleh menjadi salah satu sumber 
pendapatan baharu negara?

Malaysia adalah sebuah negara beriklim tropika dan sangat sesuai untuk penanaman buah tropika. Secara amnya, penanaman buah-buahan tropika di Malaysia dilakukan secara kecil-kecilan. Purata saiz ladang untuk buah-buahan tropika di Malaysia adalah sekitar 2.5 hektar setiap petani. Hanya buah-buahan tertentu yang ditanam dalam skala yang lebih besar atau komersial seperti durian, betik, pisang dan nanas. Ladang-ladang ini diusahakan secara komersial dan mengikuti Amalan Pertanian Baik kerana kebanyakan hasilnya terutama untuk tujuan eksport.
 
Buah-buahan tropika boleh dikategorikan sebagai buah bermusim dan tidak bermusim. Buah bermusim hanya menghasilkan buah pada waktu tertentu. Musim utama buah tropika pada umumnya jatuh pada bulan Jun-Ogos, sementara bulan Disember-Februari merupakan luar musim. Beberapa buah tropika bermusim yang terkenal di Malaysia termasuk durian, manggis, rambutan, duku, langsat dan pulasan. Sebaliknya, buah-buahan yang tidak bermusim dapat diusahakan dan dituai sepanjang tahun seperti jambu batu, betik, pisang dan nanas.
 
Kegiatan perdagangan rentas sempadan dengan negara jiran seperti Indonesia, Brunei dan Thailand dilakukan ketika musim berbuah berbeza. Perbezaan musim berbuah dengan negara-negara ini adalah kelebihan bagi Malaysia. Contohnya, musim berbuah rambutan di Thailand adalah pada (Mei-September), durian (April-Ogos), manggis (Mei-September) dan mangga (April-Jun).
 
Manakala, musim berbuah rambutan di Malaysia adalah pada (Jun-Ogos), durian (Jun-Ogos), manggis (Jun-Ogos) dan mangga (April – November). Oleh demikian, perdagangan buah-buahan tropika antara Malaysia dan negara anggota ASEAN dapat dilakukan hampir sepanjang tahun. Musim berbuah dan menuai lewat di Malaysia menstabilkan harga buah-buahan di dalam negeri dan di rantau ini.
 
Sebagai contoh, durian mendapat permintaan dan harga yang tinggi di China disebabkan faktor varieti premium, buah yang cukup matang dan boleh dimakan terus tanpa menjejaskan keenakan rasa durian.

Apakah inisiatif yang dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian bagi
menggalakkan lebih ramai usahawan untuk menyertai penanaman buah
buahan tropika?
 
Inisiatif yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian bagi menarik golongan muda dalam menyertai penanaman buah-buahan tropika ialah pemberian insentif projek berbentuk in-kind seperti pembekalan input pertanian dan bahan tanaman, penyediaan infrastruktur ladang, pemindahan teknologi berkaitan Amalan Pertanian Baik dan Keselamatan Makanan dan penyediaan kemudahan fasiliti aktviti pasca tuai.
 
Bagi menarik minat golongan muda menceburi dalam bidang pertanian, penggunaan teknologi moden seperti aplikasi IoT dan IR 4.0 akan diterapkan dalam pembangunan projek. 

Pandemik COVID-19 yang melanda negara turut memberi kesan kepada
petani. Bagaimana Jabatan Pertanian membantu golongan petani yang
terjejas dalam tempoh ini?
 
Jabatan Pertanian membantu golongan petani yang terjejas semasa pandemik COVID-19 dengan memberi khidmat:
   i.        Sebagai pemudah cara dalam urusan surat kebenaran rentas negeri kepada pemasar produk hasil pertanian;
 ii.        Mengeluarkan surat kebenaran kepada pengusaha ladang untuk tujuan pekerja-pekerja mengeluarkan hasil dari ladang;
  iii.        Bekerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) berkaitan info pengeluaran hasil pertanian semasa pandemik;
  iv.        Meneruskan aktiviti pengembangan seperti biasa;
   v.        Aktiviti penemusuaan di antara petani dan rantaian pemasaran

Situasi pandemik COVID-19 amat mencabar sekali buat golongan petani
padi di seluruh negara memandangkan rata-rata dari mereka tergolong
dalam kelompok B40. Bagaimana Jabatan Pertanian melihat ruang dan
peluang bagi meningkatkan pendapatan golongan ini yang terjejas akibat
pandemik dan situasi kenaikan harga input pertanian yang meruncing
sejak akhir-akhir ini?
Sebenarnya, pihak kerajaan melalui MAFI telah mengambil inisiatif segera dengan melihat secara menyeluruh kesan yang dibawa oleh pandemik COVID-19 sejak ianya bermula pada tahun 2020. Tindakan pantas pada waktu itu adalah dengan memperkenalkan program khusus untuk meningkatkan pendapatan golongan B40 yang terjejas dengan menyediakan dana bantuan sebanyak RM6.6 juta kepada Jabatan Pertanian dan keseluruhan untuk semua Jabatan/Agensi di bawah MAFI sebanyak RM35.4 juta. Sasaran output projek lebih kepada tambahan pendapatan bulanan kepada petani padi melalui perlaksanaan projek pertanian singkat masa yang boleh menjana pendapatan segera dan pada masa yang sama dapat mengurangkan kebergantungan petani kepada kos untuk membeli bahan keperluan harian. Maksudnya, petani boleh mengguna juga hasil yang ditanam untuk kegunaan sendiri.
 
Kejayaan program ini diteruskan pada RMK-12 dengan perlaksanaan Projek Meningkatkan Pendapatan Petani Luar Jelapang (B40). Peruntukan sebanyak RM18 juta telah diperuntukan untuk tempoh selama 5 tahun juga melibatkan pengeluaran hasil bagi penanaman tanaman singkat masa yang boleh memberi pendapatan segera kepada golongan sasar tanpa menunggu satu tempoh mengutip hasil yang lama. Kerajaan melalui Jabatan Pertanian amat komited dalam usaha memastikan kalangsungan pendapatan pesawah padi terutamanya dapat dipelihara dan dijamin untuk mereka dapat meneruskan perjuangan dalam memartabatkan industri padi negara dalam usaha meningkatkan hasil tanpa menghiraukan kesan pandemik.

Dalam RMK-12, tanaman herba juga diberikan tumpuan. Apakah antara 
tanaman herba yang akan diberi fokus oleh Jabatan Pertanian dan 
perancangan yang akan dilaksanakan?

Dalam RMK-12, antara tanaman yang akan diberi fokus bagi kategori herba adalah halia, misai kucing dan tongkat ali di mana tanaman ini mempunyai potensi yang tinggi dari segi permintaan segar dan juga proses.
 
Walau bagaimanapun, fokus utama pada masa ini adalah tanaman halia di mana SSR (Self Sufficient Rate) di Malaysia pada tahun 2020 masih lagi rendah iaitu 18%. Ini bermakna keperluan pengimportan halia bagi keperluan dalam negara sangat tinggi. Pada masa ini, halia banyak yang diimport dari negara jiran seperti Thailand dan Indonesia. Berdasarkan data perangkaan, nilai import halia pada tahun 2020 adalah sebanyak 50,612 metrik tan.
 
Walaupun Malaysia mempunyai kemampuan untuk pengeluaran halia yang berkualiti tinggi seperti halia Bentong, namun faktor kekangan seperti penggunaan tanah, penyakit bawaan tanah (soil borne diseases) dan sebagainya memerlukan kita menggunakan strategi alternatif dalam meningkatkan pengeluaran halia.
 
Antaranya, adalah penanaman halia secara fertigasi. Walaupun kaedah ini telah mula diperkenalkan sejak 2016, namun sambutan agak hambar daripada pengusaha. Ini mungkin disebabkan faktor kos pembangunan yang dianggap tinggi oleh pengusaha.
 
Walaubagaimanapun, melalui penambahbaikan sistem fertigasi halia dan sistem pengembangan Jabatan melalui sesi libat urus bersama pemain industri termasuk jalinan kerjasama strategik, pemahaman terhadap penanaman halia secara fertigasi ini dilihat mampu dikembangkan kepada pengusaha dalam RMK-12, terutama di kalangan anak muda melalui penggunaan sistem IoT (internet of things) dalam sistem fertigasi.
 
Pelaksanaan latihan, seminar, hebahan akan dipergiatkan lagi bagi menambah kemahiran pengusaha sedia ada dan menarik lebih ramai pengusaha baharu. Sokongan kerajaan dalam peningkatan pengeluaran halia dalam negara akan diteruskan terutama dalam pembangunan infrastruktur ladang. Bagi memastikan rantaian pembekalan berjalan lancar dan berterusan, pusat-pusat pengumpulan dan pemprosesan hasil akan mendapat sokongan dan bantuan kerajaan dari segi keperluan alatan, mesin dan fasiliti.
 
Jaminan pembekalan benih-benih halia berkualiti juga akan disasarkan dalam RMK-12 iaitu melalui Skim Pengesahan Benih Berkualiti oleh Jabatan Pertanian kepada pengeluar-pengeluar benih halia.
 
Disasarkan peningkatan keseluruhan termasuk keluasan dan pengeluaran adalah 20% setiap tahun bagi memastikan SSR halia akan dapat terus ditingkatkan.

Apakah langkah-langkah Jabatan Pertanian dalam memastikan golongan 
sasar dapat mengadaptasi teknologi terkini dalam bidang pertanian?

Dalam memastikan kejayaan projek pertanian yang diceburi oleh golongan sasar, Jabatan Pertanian sentiasa komited membantu golongan sasar terutamanya golongan belia untuk terlibat dalam aktiviti pertanian bukan hanya dengan bantuan dari segi input, infrastruktur dan peralatan pertanian sahaja malahan Jabatan Pertanian juga turut menganjurkan kursus-kursus teknikal berkaitan teknologi pertanian terkini dan kursus asas keusahawanan untuk meningkatkan kemahiran pertanian golongan tersebut dalam sektor pertanian.
 
Latihan teknikal pertanian dan asas keusahawanan berkaitan teknologi moden merupakan antara kursus jangka pendek yang ditawarkan Jabatan Pertanian kepada kumpulan sasar. Melalui penganjuran kursus ini, peserta akan didedahkan dengan pengetahuan dan kemahiran secara teori dan latihan hands-on berkaitan teknologi moden seperti fertigasi, hidroponik, smart farming, penggunaan dron dalam pertanian dan sebagainya. Selain penganjuran kursus teknologi moden dalam bidang tanaman tersebut, Jabatan Pertanian turut menganjurkan kursus-kursus berkaitan industri asas tani (IAT) bagi meningkatkan kemahiran peserta yang terlibat dalam bidang pemprosesan makanan.
 
Jabatan Pertanian melaksanakan kursus-kursus teknikal dan asas keusahawanan ini di setiap peringkat iaitu di peringkat daerah, negeri dan juga Ibu Pejabat. Kursus-kursus yang dilaksanakan ini bukan hanya difokuskan kepada golongan yang telah menceburi bidang pertanian sahaja, namun mereka yang masih belum memulakan projek pertanian dan baru ingin berjinak-jinak dalam pertanian juga boleh dan digalakkan untuk menghadiri kursus-kursus yang ditawarkan bagi memberi pendedahan awal kepada mereka tentang bidang pertanian.
 
Untuk makluman, sehingga kini Jabatan Pertanian telah melaksanakan sebanyak 1,821 kursus teknikal dan asas keusahawanan di setiap peringkat. Dalam era pandemik dan bakal memasuki era endemik ini, kursus-kusus ini dilaksanakan secara fizikal dan secara dalam talian.
 
Dalam RMK-12, kerjasama di antara Jabatan Pertanian dan penyedia teknologi dipergiatkan melalui pendekatan pelaksanaan Model Farm di mana melalui aktiviti ini, pemindahan dan penyesuaian teknologi kepada golongan sasar dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan efektif.
 
Model farm ini dibangunkan berdasarkan tumpuan kluster tanaman yang dilaksanakan di Kompleks Pengembangan di mana ianya akan menjadi rujukan kepada golongan profesional atau individu yang berminat untuk menceburi bidang agromakanan. Model farm dibangunkan berdasarkan infrastruktur dan teknologi terkini serta pengenalan kepada Amalan Pertanian Baik.
 
Sebanyak tujuh (7) model farm sedang dibangunkan pada tahun 2021 iaitu model farm durian, kilang tanaman, kelapa & kopi, kelapa pandan, cili fertigasi, padi dan pemprosesan makanan.

Apakah bantuan yang ditawarkan oleh Jabatan Pertanian kepada 
pengusaha industri tanaman dan industri asas tani (IAT) dalam 
memastikan golongan ini dapat meningkatkan skala pengeluaran dalam 
bidang pertanian?

Jabatan Pertanian juga menyediakan bantuan dalam bentuk geran kepada golongan belia dan usahawan dalam bidang tanaman dan industri asas tani (IAT). Bagi menggalakkan penglibatan belia dalam bidang pertanian, MAFI melalui agensi di bawah seliaannya telah melaksanakan Geran Agropreneur Muda dengan memberi fokus kepada golongan belia yang berumur di antara 18 sehingga 40 tahun yang berpendapatan kurang dari RM5,000 sebulan dalam bidang pertanian. Jabatan Pertanian merupakan salah satu agensi pelaksana bagi program ini.
 
Di bawah program ini, golongan belia yang mengusahakan bidang tanaman dan IAT yang berkelayakan dan memenuhi syarat adalah layak dipertimbangkan untuk memohon bantuan secara one-off ini. Kadar maksima geran yang diberikan adalah RM20,000 untuk setiap individu dan geran yang diberikan adalah dalam bentuk input, peralatan pertanian, penambahbaikan infrastruktur dan premis.
 
Sejak tahun 2014 sehingga kini, sebanyak 1,183 agropreneur muda di bawah bimbingan Jabatan Pertanian telah menerima bantuan geran Agropreneur Muda ini.
 
Bagi industrI asas tani (IAT) pula, MAFI melalui agensi di bawah seliaannya telah melaksanakan Geran Change Upgrade Product (CUP) dengan memberi fokus kepada usahawan IAT yang mempunyai premis dan mempunyai nilai pengeluaran tahunan RM300,000 dan ke bawah serta memenuhi syarat yang ditetapkan. Jabatan Pertanian merupakan salah satu agensi pelaksana bagi program ini.
 
Bantuan geran ini diberikan kepada usahawan dalam bentuk pembelian peralatan (mesin) supaya pengeluaran produk dapat dipertingkatkan dan bantuan penambahbaikan premis bagi memperkukuhkan jenama dan persijilan produk. Kadar pemberian geran Change Upgrade Product (CUP) adalah 70:30 di mana 70% adalah ditanggung oleh kerajaan manakala 30% adalah di bawah tanggungan usahawan dengan nilai maksimum geran adalah sebanyak RM60,000.
 
Dari 2016 sehingga kini, seramai 142 usahawan IAT di bawah bimbingan Jabatan Pertanian telah menerima manfaat melalui bantuan geran ini yang melibatkan kelulusan sebanyak RM2.52 juta.
 
Jabatan Pertanian berperanan memberikan khidmat nasihat dan bimbingan kepada penerima bantuan geran ini sehingga menjadi usahawan yang boleh beroperasi sendiri.

Apakah usaha Jabatan Pertanian untuk menggalakkan lebih banyak 
syarikat swasta dan golongan profesional terlibat dalam bidang pertanian 
dan apakah insentif-insentif yang telah disediakan untuk usaha-usaha ini?

Bagi mengurangkan kebergantungan import makanan, negara perlulah menghasilkan pengeluaran bahan makanan yang mencukupi di dalam negara. Antara usaha yang sedang diambil oleh pihak kerajaan adalah dengan mewujudkan kerjasama strategik bersama pihak industri yang terlibat secara aktif dalam pengeluaran buah-buahan dan sayur-sayuran dalam negara dengan skala komersil untuk tujuan eksport. Program ini dirangka bagi menggalakkan contract grower antara pemilik teknologi untuk skala pengeluaran eksport dengan petani-petani yang komited dalam menghasilkan buah-buahan dan sayur-sayuran yang berkualiti premium.
 
Jabatan terlibat sebagai fasilitator kepada program ini dengan menemusuakan pihak industri dengan petani yang sedang mengusahakan pengeluaran bahan makanan yang menepati kriteria yang telah ditetapkan. Antara kriteria yang penting dalam kerjasama ini adalah kesesuaian tapak projek tanaman, kesediaan petani untuk komitmen melaksanakan amalan pertanian baik, kesediaan pihak industri untuk berkongsi teknologi yang tepat untuk pengeluaran skala komersil dan kualiti premium untuk pasaran eksport. Petani juga perlu bersedia dengan pensijilan myGAP dan myOrganik jika mahu memastikan kejayaan program ini. Ini selaras dengan visi dan misi Jabatan dalam mengeluarkan bahan makanan yang mencukupi dan selamat untuk dimakan oleh rakyat Malaysia.
 
Berikut adalah objektif program kerjasama strategik dengan pihak industri:
     i.        Memperkukuhkan jaringan dan kerjasama di antara Jabatan Pertanian dan pengeksport.
    ii.        Menjadi pemudahcara bagi mempercepatkan proses pemindahan teknologi kepada golongan sasar. 
  iii.        Meningkatkan produktiviti ladang dan pendapatan golongan sasar
  iv.        Memenuhi keperluan pihak industri dan pengeksport.
   v.        Menyediakan peluang-peluang pekerjaan dan penyedia perkhidmatan pertanian sepanjang rantaian pengeluaran.
 
Terdapat enam (6) strategi pelaksanaan program yang sedang diusahakan oleh pihak Jabatan dalam memastikan kejayaan program ini iaitu:
     i.        Program penemusuaan di antara petani dan pengeksport.
    ii.        Perlaksanaan Kontrak Ladang antara petani dan pengeksport.
  iii.        Mewujudkan skim galakan dan insentif kepada petani, usahawan tani, peserta program dan pihak pengeksport.
  iv.        Program peluasan kawasan penanaman.
   v.        Memperluas peluang pasaran eksport melalui kerjasama dengan jabatan/agensi lain yang berkaitan.
  vi.        Mewujudkan atau menaik taraf  pusat pembangunan repositori dan promosi buah-buahan tropika premium.
 
Pendekatan perlaksanaan program dan aktiviti melalui program Kerjasama Strategik DOA dan pemain industri ini dijangkakan berupaya meningkatkan daya saing sektor agromakanan negara khursusnya bagi meningkatkan produktiviti ladang dan kualiti produk ladang melalui pengamalan teknologi yang tepat oleh golongan sasar dari pihak industri.
 
Peningkatan hasil dan kualiti premium yang memenuhi kehendak eksport dapat menjamin permintaan dan pulangan harga jualan yang lebih tinggi dalam pasaran eksport secara langsung akan meningkatkan pendapatan petani, usahawan tani dan golongan sasar yang terlibat.
 
Golongan profesional dan pihak syarikat swasta adalah sebagai catalyst / pemangkin industri pertanian negara. Hubungan yang baik dengan pihak industri melalui business matching perlu diteruskan agar dapat membantu negara mengurangkan kebergantungan import makanan dari luar.
 
Antara insentif-insentif yang ditawarkan oleh Kerajaan adalah insentif potongan dan pengecualian cukai untuk pelaburan dalam pengeluaran dan aktiviti yang digariskan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk menarik lebih ramai pelabur daripada sektor swasta melabur dalam bidang pertanian. Insentif ini terbuka kepada semua pelabur samada dalam atau luar negara yang berminat untuk melabur dalam sektor ini dan memenuhi syarat-syarat kelayakan yang berkaitan.
 
Insentif ini disediakan untuk projek pengeluaran bahan makanan yang diluluskan termasuk sayur-sayuran, buah-buahan, rempah ratus, apikultur dan penanaman biji benih.
 
Dari tahun 2001 sehingga kini, sebanyak 247 syarikat telah menerima insentif pengecualian cukai melibatkan 10,631 hektar dengan jumlah pelaburan RM 1.6 billion.

Aplikasi teknologi moden adalah penting untuk meningkatkan produktiviti.
Boleh Dato’ terangkan serba sedikit tentang sistem GeoTanaman ini. 
Bagaimana ia memberi manfaat kepada petani dan seterusnya 
memperkasa ekonomi usahawan tani serta menyumbang ke arah 
keterjaminan bekalan makanan negara?

Sistem GeoTanaman merupakan satu sistem yang dibangunkan menggunakan konsep service oriented architecture yang boleh diakses melalui web dan mobile bukan sahaja untuk mendapatkan maklumat geospatial tanaman makanan negara malah pengguna sistem boleh mengurus dan menganalisis maklumat dan data guna tanah Semenanjung Malaysia. Sesuai dengan tren sekarang iaitu semua perkara di hujung jari maka sistem ini juga boleh diakses menggunakan telefon pintar. Dengan kata lain, sistem ini dapat menyediakan penggunaan data geospatial berkaitan maklumat lot ladang dan guna tanah semasa yang lebih tepat dan bersifat real time.
 
Sistem ini dibina bagi mencapai dua (2) objektif utama iaitu:
     i.        Menyokong data Balance of Trade (BOT) Tanaman Makanan dalam mengatasi lambakan sayur-sayuran dan buah-buahan tempatan dan kemasukan sayur-sayuran dan buah-buahan import.
    ii.        Membangunkan Pangkalan Data Geospatial Inventori Tanaman Negara bersepadu yang teratur, seamless dan yang sentiasa dikemaskini ke arah Transformasi Pertanian Digital.
 
Sistem GeoTanaman merupakan aplikasi yang interaktif, responsif dan mesra pengguna. Ini bermaksud pengguna boleh membuat carian secara interaktif dan melakukan analisis spatial yang mudah termasuk paparan maklumat statistik, peta, carta atau grafik.
 
Dalam keadaan negara berhadapan dengan pandemik COVID-19 menyebabkan penyampaian maklumat, pengumpulan data pertanian setempat dan perkhidmatan pengembangan kepada petani dan pemegang taruh yang lain agak terjejas akibat batasan pergerakan. Justeru, Sistem GeoTanaman wujud tepat pada masanya sebagai solusi apabila teknologi berasaskan spatial dan Internet of Things (IoT) dalam pengumpulan dan pengurusan data pertanian negara diaplikasi secara real time data selaras dengan IR4.0.
 
Jadi, fokus utama Sistem GeoTanaman adalah untuk memperkasakan ekonomi usahawantani khususnya dan rakyat amnya dalam mendapatkan bekalan makanan yang berkualiti dan selamat dimakan. Melalui Sistem GeoTanaman, Jabatan Pertanian Malaysia menjadi catalyst kepada peningkatan hasil tanaman makanan negara untuk menembusi pasaran luar melalui analisis pengeluaran secara spesifik di lokasi ladang, perancangan penanaman dan pengeluaran berdasarkan permintaan tempatan dan antarabangsa. Padanan pasaran atau e-dagang secara terus di antara usahawantani dengan pengeksport juga boleh dicapai secara online melalui Sistem GeoTanaman.
 
Dalam membantu usahawantani mengembangkan lagi skala pertanian mereka. Sistem GeoTanaman juga menyediakan platform untuk pengiklanan penyewaaan tanah bagi memudahkan usahawantani mencari tanah untuk disewa dan juga mencari penyewa. Pihak kami amat memahami akan kesulitan sesetengah usahawantani yang sukar untuk mencari tanah untuk menjalankan projek pertanian. Jadi dalam sistem ini kami telah sediakan platform bagi menghubungkan semua petani dan pejabat pertanian daerah bagi memudahkan juga kepada usahawantani yang ingin mencari tanah, dengan cara ini kita dapat memaksimunkan lagi kawasan pertanian kita.
 
Selain itu, sistem ini juga menyediakan platform kepada usahawantani membuat carian kedai input pertanian dan bahan tanaman. Ini dapat membantu usahawantani yang menghadapi kesukaran dalam mendapatkan input dan bahan tanaman seperti anak benih.
 
Dan seterusnya, dengan komitmen dan kerjasama dari semua usahawantani untuk mendaftar dalam sistem ini, akan memudahkan Jabatan untuk memberi bantuan teknikal dan insentif secara bersasar, jika menghadapi sebarang bencana atau apa-apa jua keadaan seperti banjir, serangan perosak dan juga penyakit. Ini adalah kerana pihak Jabatan dapat mengenalpasti secara spesifik lokasi kebun tuan/puan dan memudahkan pihak Jabatan menghantar notifikasi melalui telefon mobil yang berdaftar dengan sistem ini. Selain itu, bantuan teknikal juga dapat dihantar kepada ushawantani dengan lebih cepat oleh Bahagian Teknikal Jabatan.
 
Semua ini bergantung juga kepada usahawantani itu sendiri untuk mendaftar dan sentiasa mengemaskini maklumat ladang mereka.

#myDOA 

Oleh : Yunif Ibrahim Ahmad