Thursday, November 18, 2021

Jabatan Pertanian Selangor terima peruntukan RM6.36juta untuk pembangunan agromakanan

 



18 November 2021, Klang - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Jabatan Pertanian telah memperuntukkan sebanyak RM 6.36 juta kepada Jabatan Pertanian Negeri Selangor merangkumi pelbagai insentif bagi menyokong pembangunan industri agromakanan negara bagi tahun 2021. Menurut YBhg. Dato’ Zahimi bin Hassan, Ketua Pengarah Pertanian, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM 3.6 juta bagi Program Kebuniti yang telah memberi manfaat kepada 117 komuniti yang terdiri daripada 1,400 golongan sasar di negeri Selangor.

.



YBhg. Dato’ Haslina binti Abdul Hamid, Ketua Setiausaha MAFI berkata, Program MAFI Prihatin dan Walkabout Program Pertanian Bandar Negeri Selangor di Pangsapuri Sri Ayu, Bandar Putera, Klang, Selangor merupakan platform terbaik pihak MAFI untuk merasai denyut nadi rakyat dalam membantu kumpulan sasar merasai kesan positif daripada limpahan ekonomi pertanian melalui projek pembangunan berimpak tinggi seperti Program Kebuniti Jabatan Pertanian. “Projek ini merupakan aktiviti yang semakin mendapat perhatian dan minat masyarakat kerana dapat membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat yang terkesan dengan pandemik COVID-19,” jelas Dato’ Haslina.


Program ini turut mendapat kerjasama Persatuan Gabungan Pekebun Buah-Buahan Malaysia (FMFFA) dan Persatuan Pekebun Buah-buahan Negeri Selangor/Kuala Lumpur yang melaksanakan inisiatif Corporate Social Responsibility (CSR) melalui sumbangan 600 bakul makanan berupa bahan makanan asas seperti beras, gula, tepung dan sebagainya untuk diserahkan kepada kumpulan sasar yang dikenalpasti. Dato’ Haslina berharap dengan sumbangan ini dapat membantu kebajikan dan meningkatkan semangat penduduk dalam suasana endemik ini. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak industri yang memberikan sumbangan.



Turut serta YBhg. Dato’ Zahimi bin Hassan, Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, YBrs. Encik Azahar bin Ibrahim, Pengarah Pertanian Negeri Selangor, YBrs. Encik Hong Jok Hon, Pengerusi Persatuan Gabungan Pekebun Buah-Buahan Malaysia, YBrs. Encik Richard Thang See Ong, Presiden Persatuan Buah-buahan Negeri Selangor/Kuala Lumpur dan YBrs. Tuan Haji Kamarulzaman bin Masri@Shaarani, Pengerusi Pangsapuri Sri Ayu, Bandar Putera Klang, Selangor.

 






#myDOA #MAFIPrihatin #KeluargaMalaysia #KeluargaDOA

No comments:

Post a Comment