Wednesday, August 26, 2020

PERTANIAN BANDAR SOLUSI MAKANAN NEGARA

 



Pada masa kini, kita dapat melihat bagaimana pentingnya sektor pertanian kepada sesebuah negara khususnya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, kebergantungan kepada import makanan daripada negara luar boleh mengancam kestabilan makanan negara. Laporan daripada Bank Negara Malaysia  (BNM) pada tahun 2019 satu per empat (1/4) makanan negara ini adalah datangnya daripada  import. Sejak lima tahun lalu defisit perdagangan makanan dan minuman meningkat  daripada RM16.9 bilion pada tah
un 2013 kepada RM18.8 bilion pada tahun 2018.

Di dalam satu kajian daripada 33 jenis produk pertanian hanya 16 produk sahaja kita mampu bekalkan sendiri (self-sufficiency ratio, SSR) melebihi 100%, manakala 17 produk lagi kita belum mencapai SSR dan kita terpaksa bergantung kepada import. Pada tahun 2019, negara kita berada pada tangga ke 28 daripada 113 negara didalam Global food security index.

https://youtu.be/6cRlEC1sJPs

Terdapat kemungkinan akan berlaku gangguan rantaian makanan pasca Covid-19 jika kita tidak mengurus dengan baik dan cekap berdasarkan sumber sedia ada. Syukur ke hadrat Ilahi di dalam pakej ransangan ekonomi PRIHATIN kerajaan telah mengumumkan RM 1 Bilion untuk jaminan bekalan makanan. Manakala RM10 juta untuk program pertanian bandar di dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).


Dengan perlaksanaan Projek Pertanian Bandar di bawah PENJANA ini, manfaat yang akan diperolehi oleh sekurang-kurangnya seramai 20,000 orang yang akan terlibat (12,000 kategori individu dan 800 komuniti) dan jika setiap individu ini akan memperoleh penjimatan belanja dapur sekurang-kurangnya sebanyak RM10 sebulan kerana mengikuti program ini dan pastinya penjimatan sebanyak RM2.4Juta setahun bagi keseluruhan perserta.


Kita harus  melihat program ini bukan sekadar dari kacamata ekonomi, malah kita perlu melihat dari kaca mata soisal, kesihatan dan juga pendidikan. Sepanjang 2 tahun mengikuti dan memantau secara rapat dengan program pertanian bandar satu perkara yang tidak dapat dinafikan iaitu interaksi sosial pelbagai kaum dalam kalangan penduduk bandar juga meningkat, dan tahap keaktifan warga bandar juga di lihat berubah. Jika dahulu penduduk taman perumahan selepas solat subuh akan ke kedai kopi atau mamak untuk bercerita bersama rakan-rakan, hari ini kebun komuniti telah merubah landskap waktu penduduk untuk ke kebun, membersihkan, memantau serata mengutip hasil pertanian mereka.


Pernah beberapa kali kebun komuniti ini dikunjungi oleh pelancong asing daripada Australia, Jepun dan Korea. Mereka sangat tertarik bagaimana kebun ini menjadi titik pertemuan penduduk berbilang kaum dan agama, boleh duduk bersama-sama membersihkan kebun, makan dan minum serta berkenal-kenalan melalui kebun komuniti.


Dari sudut kesihatan pula, kita dapat melihat kebaikan kebun komuniti terutamnya kepada warga emas, mereka boleh kekal aktif melakukan aktiviti fizikal yang ringan di waktu pagi dan petang dengan berkebun. Penduduk yang terlibat akan menghasilkan makanan yang dijamin selamat kerena penduduk mengetahui apa yang digunakan didalam tanaman mereka. Kebun menjadi terapi minda bagi penduduk bandar daripada tekanan kerja.

Dari sudut pendidikan, terutamanya pelajar-pelajar sekolah mereka akan mendapat maklumat berkenaan tanaman, bagaimana tanaman ini akan tumbuh serta menghasilkan bahan makanan, apakah faktor-faktor yang menyebabkan tanaman ini dapat tumbuh subur. Bukan sekadar teori di dalam kelas sahaja, malah mereka mampu untuk melihat dan merasai sendiri pengalaman bercucuk tanam seperti mana seorang petani yang berbakti kepada tanah. Dengan ini anak-anak akan lebih menghargai makanan yang tersedia dimeja makan.

 

Secara keseluruhannya, terima kasih kepada pihak kerajaan kerana melihat pertanian bandar memainkan peranan penting didalam menjana semula ekonomi negara, perlaksanaan ini perlu dibuat secara tepat agar dana yang diberikan betul-betul mempunyai impak dari segi ekonomi, sosial, kesihatan dan pendidikan kepada seluruh rakyat Malaysia. Diharap program yang dirancang ini mampu memberi senyuman kepada warga bandar disebalik ujian COVID-19 ini. Semoga industri pertanian terus dimartabatkan dan menjana peluang ekonomi kepada negara.



Penulis : En Anwar Tawe, Penolong Pengarah, Bahagian Pembangunan Komoditi, Jabatan Pertanian Negeri Selangor.

Disunting oleh : Yunif Ibrahim Ahmad, Unit Komunikasi Korporat.

Friday, August 14, 2020

Labu Sumber Makanan Yang Baik





Labu manis (Cucurbita spp) merupakan tanaman singkat masa. Mengambil masa diantara 80-90hari untuk berhasil dan merupakan tanaman yang berpotensi untuk diterokai. Potensi hasil labu untuk sehektar adalah diantara 24,000 Kg. jika harga sekilogram labu adalah RM1.20 bermakna potensi hasil pendapatan  adalah sekitar RM28,000/semusim atau RM9,300/sebulan.



Mengikut statitstik yang dikeluarkan oleh FAO jumlah produksi labu dunia pada tahun 2018 adalah    35,830,784.00 tan, dengan negara pengeluar utama adalah China, India dan Rusia. Di Malaysia pengeluaran labu (Labu manis+labu air) adalah berjumlah 31,193 tan pada tahun 2018. 3 negeri pengeluar Labu manis terbesar di Malaysia adalah Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan.

Labu manis ditanam pada jarak 2.5m x 0.6m, dengan bilangan pokok sehektar adalah 6,000. Lazimnya labu manis ditanam rata di atas permukaan tanah, walau bagaimanapun terdapat pengusaha menanam labu secara tergantung, kaedah ini akan memberikan bentuk labu lebih sempurna.


Menurut Public Health’s Network for a Healthy California labu merupakan tanaman yang mengandungi vitamin A tertinggi, sumber magnesium, potassium dan fiber yang baik kepada manusia. Pucuk dan biji labu juga mempunyai khasiat tersendiri, kebiasaanya pucuk labu akan dimasak dan biji labu akan dijadikan kuaci labu.



Di dalam buku yang bertajuk “Indahnya pemakanan dan perubatan Islam” karangan Dr Faszly Rahim, Labu merupakan makanan kegemaran Nabi S.A.W  dan terdapat beberapa khasiat dan kelebihan labu dan salah satu kelebihannya adalah menurunkan demam dan daun labu boleh menghalau lalat caranya adalah rendam beberapa helai daun labu di dalam sebekas air. Kemudian renjis pada tempat yang ingin dihindari daripada hinggapan lalat.

Jika ada mana-mana guru yang ingin mengajar berkenaan tanaman maka labu adalah antara tanaman yang sesuai kerana masa yang singkat, fizikal tanaman lebih jelas seperti bunga jantan, bunga betina, daun, pucuk, buah dan penjagaan lebih mudah. Proses pendebungaan (polination) boleh dilakukan secara manual untuk menghasilkan buah.



Penulis : Anwar Tawe
Disunting oleh Yunif Ibrahim Ahmad


Thursday, August 6, 2020

TEKNOLOGI PERTANIAN MEMAKSIMUMKAN PENGELUARAN HASIL


PERTANIAN MASA HADAPAN


  Pertanian pintar 4.0  dan halatuju pertanian masa hadapan.


Halatuju pertanian masa hadapan tidak harus bergantung kepada konsep keperluan tanah yang luas serta tenaga buruh yang ramai untuk berada di lapangan menjalankan aktiviti-aktiviti perladangan. Perkembangan teknologi pertanian kini telah mula diperkenalkan dan diaplikasi oleh usahawan-usahawan yang berjaya memaksimumkan pengeluaran malah mengurangkan kos pengeluaran melalui penggunaan teknologi dalam pengurusan ladang tanaman mereka sendiri.

                 
Pertanian 4.0 merupakan perkembangan pertanian, seiring Industri 4.0 ataupun dikenali sebagai Revolusi Perindustrian Keempat di mana sektor pertanian melibatkan penggunaan mesin yang dapat menghantar, menerima dan bertindak mengikut arahan yang disambungkan kepada sistem pengacaraan setempat dan melalui rangkaian komunikasi yang membolehkan ia berinteraksi dengan mesin lain bagi membolehkan  manusia mengeluarkan barangan dan menjalankan perkhidmatan dengan cekap. Pengurusan ladang dapat dijalankan dari pusat kawalan dan pengurangan penggantungan terhadap tenaga buruh dapat dilaksanakan. Penggunaan sistem penderiaan, komputer dan komunikasi pada kenderaan, dron dan jentera lain boleh dicapai sepenuhnya hari ini. Selain itu, penggunaan Sistem Pengesanan Global (GPS) dan rangkaian mudah alih dengan penghantaran data dan analisis data raya (Big Data) memberikan informasi yang lebih tepat bagi pengurusan sesuatu tanaman dilakukan.



CABARAN MASA KINI

Halatuju pertanian masa hadapan

Dunia kini perlu bergerak pantas selaras peredaran zaman digital dan bioteknologi. Pertanian yang lebih kreatif dan inovasi yang berterusan perlu menyokong keperluan petani dan industri pertanian bagi menangani cabaran-cabaran yang membelenggu industri pertanian bukan sahaja di Malaysia malahan di dunia amnya.
Pertumbuhan populasi bermakna bertambahnya permintaan makanan. Populasi dunia pada tahun 2050 ialah sebanyak 10 biliion dan memerlukan 70 % peningkatan penghasilan  makanan oleh petani. Urbanisasi juga mendorong kepada perubahan penggunaan per kapita bagi makanan dan daging proses daripada 36.4% pada tahun (1997-1999) kepada 45.3 kg (2030). Sumber semulajadi yang terhad juga merupakan cabaran yang perlu ditangani di mana 25% daripada tanah ladang telah mengalami degradasi yang serius dan 80% penebangan hutan di dunia dijalankan bagi tujuan pertanian. Pelaburan yang bernilai tinggi diperlukan sehingga tahun 2050 di negara membangun bagi menyediakan pengurusan air untuk sistem pengairan.

 Peningkatan keperluan makanan mengikut bertambahnya populasi dunia  

Sumber semulajadi yang semakin  terhad dan kemusnahan ekosistem
 

Perubahan iklim disebabkan oleh pelepasan gas hijau sejak 50 tahun yang lalu, telah menjadi punca-punca penurunan pengeluaran hasil di dalam sektor pertanian. Kemarau dan banjir yang  semakin meningkat kekerapannya menyebabkan kerugian yang tinggi ke atas petani dan negara.


Perubahan iklim disebabkan oleh Pelepasan gas rumah hijau seluruh dunia                   

           

 Pembaziran yang tinggi berlaku   mengakibatkan pembaziran sebanyak 25%   air bersih dunia.

Sektor pertanian perlu berubah seiring dengan revolusi industri 4.0 melalui pengeluaran tanaman makanan melalui kaedah-kaedah berteknologi terkini, penggunaan teknologi baru untuk pengeluaran makanan dengan meningkatkan kecekapan rantaian makanan serta bekerjasama dalam industri teknologi dan penggunaan iaitu dengan pelaksanaan teknologi dron, analisis data, penggunaan internet, pertanian tepat dan nanoteknologi. Contohnya ialah seperti di Hainan China yang telah mengaplikasikan teknologi Vertical  System Farming dari Singapura pada keluasan kawasan sebanyak 733 hektar . Mereka telah berjaya menghasilkan sebanyak 27.5 tan sayur bagi keluasan 0.066 ha berbanding 4 tan sebelum ini.

Vertical Farming


Penanaman pokok sayuran secara vertical farming dijalankan di menara aluminium setinggi enam meter di Singapura.

Pertanian menggunakan sistem ini mempunyai banyak kelebihan seperti pengeluaran yang lebih terancang dapat dilaksanakan sepanjang tahun. Penggunaan sumber air, cahaya dan tenaga buruh yang lebih cekap dan kawasan yang terlibat tidak dipengaruhi oleh cuaca. Hasilan yang dikeluarkan pula adalah bebas daripada bahan kimia racun  serta ia sesuai dilaksanakan di semua kawasan , persekitaran dan tanah. Di samping itu produktiviti dapat ditingkatkan sehingga 4 kali ganda berbanding pertanian secara konvesional. Hasilan pula adalah dalam bentuk premium, segar, bernutrisi dan selamat dimakan.  
   


KEBUN SAYUR BAWAH TANAH


Pertanian di dalam bandar yang besar dan pesat membangun bukanlah sesuatu perkara yang mustahil. Di Tokyo, terdapat sebuah kumpulan yang dikenali sebagai kumpulan Pasona telah membangunkan sawah dan kebun di ruangan bawah tanah di sebuah Pasaraya iaitu Nomura yang mempunyai 27 tingkat aras dan terletak di Otemachi di Bandar Tokyo. Kawasan tersebut yang luasnya 3,000 meter persegi ditukar kepada sawah dan kebun yang ditanam dengan 100 jenis tanaman termasuk padi, sayur, bunga dan rempah. Sinaran matahari yang telah ditukar kepada lampu-lamu LED dan lampu high pressure sodium vapor. Keperluan-keperluan asas tersebut dikawal oleh komputer di mana suhu, cahaya dan air adalah seperti di habitat asal tanaman. Telah dilaksanakan sejak tahun 2005, sembilan projek yang sama telah dibangunkan. Ianya juga telah dijadikan sebagai satu destinasi perlancongan teknologi pertanian.
  

 Pokok padi dan sayur-sayuran di tanam di tingkat bawah tanah bangunan di Jepun

LANGKAH-LANGKAH  KE ARAH PERTANIAN MAJU    

Pertanian secara vertical farming mahupun penanaman di kawasan bawah tanah memerlukan teknologi yang tinggi. Penguasaan ilmu dan kemahiran perlu ditingkatkan di kalangan petani dan usahawan di negara ini. Penguasaan teknologi maklumat (ICT) dapat meningkatkan teknologi pertanian di Malaysia. Persiapan perlu dilakukan dengan memperbanyakkan aplikasi berasaskan di atas talian seperti aplikasi smart farming,  smart green house, smart irrigation ataupun aplikasi-aplikasi yang lain di mana ianya mudah diakses, di mana dan pada bila-bila masa. Penggunaan mesin yang lebih canggih seperti penggunaan traktor tanpa operator dan penggunaan drone untuk mengenalpasti keadaan tanah serta keperluan bagi tanah tersebut. Pengeluaran dan pertanian secara persis dapat menjimatkan penggunaan baja dan racun mengikut keperluan sebenar tanaman di ladang petani tersebut.
Untuk menjadikan sektor pertanian mengalami transformasi ke arah lebih moden, dinamik dan berdaya saing terdapat empat faktor penggerak utama iaitu penggunaan teknologi dan inovasi, perluasan aplikasi teknologi maklumat (ICT), pembangunan modal insan dan peningkatan keberkesanan institusi sokongan. 
Dalam usaha menjadikan pertanian ke arah lebih maju dan berdaya saing dengan teknologi terkini, penglibatan semua pihak samada institusi pendidikan, sektor swasta, kerajaan, usahawan, petani dan orang ramai amat penting bagi merealisasikan matlamat ini.   

#myDOA #FoodSecurity #FoodSafety #KeselamatanMakanan


Penulis : Raudah Binti Talib, Bahagian Pembangunan Industri Tanaman Titi Gantong, Perak
Disunting : Yunif Ibrahim Ahmad