Pada masa kini, kita
dapat melihat bagaimana pentingnya sektor pertanian kepada sesebuah negara
khususnya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, kebergantungan kepada import makanan daripada negara luar boleh mengancam kestabilan makanan negara. Laporan
daripada Bank Negara Malaysia (BNM) pada
tahun 2019 satu per empat (1/4) makanan negara ini adalah datangnya daripada import. Sejak
lima tahun lalu defisit perdagangan makanan dan minuman meningkat daripada RM16.9 bilion pada tahun 2013 kepada
RM18.8 bilion pada tahun 2018.
Di
dalam satu kajian daripada 33 jenis produk pertanian hanya 16 produk sahaja
kita mampu bekalkan sendiri (self-sufficiency ratio, SSR) melebihi 100%,
manakala 17 produk lagi kita belum mencapai SSR dan kita terpaksa bergantung
kepada import. Pada tahun 2019, negara kita berada pada tangga ke 28 daripada
113 negara didalam Global food security index.
Terdapat kemungkinan akan berlaku gangguan rantaian makanan pasca Covid-19 jika kita tidak mengurus dengan baik dan cekap berdasarkan sumber sedia ada. Syukur ke hadrat Ilahi di dalam pakej ransangan ekonomi PRIHATIN kerajaan telah mengumumkan RM 1 Bilion untuk jaminan bekalan makanan. Manakala RM10 juta untuk program pertanian bandar di dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).
Dengan perlaksanaan Projek Pertanian Bandar di bawah PENJANA ini, manfaat yang akan diperolehi oleh sekurang-kurangnya seramai 20,000 orang yang akan terlibat (12,000 kategori individu dan 800 komuniti) dan jika setiap individu ini akan memperoleh penjimatan belanja dapur sekurang-kurangnya sebanyak RM10 sebulan kerana mengikuti program ini dan pastinya penjimatan sebanyak RM2.4Juta setahun bagi keseluruhan perserta.
Kita
harus melihat program ini bukan sekadar
dari kacamata ekonomi, malah kita perlu melihat dari kaca mata soisal,
kesihatan dan juga pendidikan. Sepanjang 2 tahun mengikuti dan memantau secara
rapat dengan program pertanian bandar satu perkara yang tidak dapat dinafikan
iaitu interaksi sosial pelbagai kaum dalam kalangan penduduk bandar juga meningkat, dan tahap
keaktifan warga bandar juga di lihat berubah. Jika dahulu penduduk taman
perumahan selepas solat subuh akan ke kedai kopi atau mamak untuk bercerita
bersama rakan-rakan, hari ini kebun komuniti telah merubah landskap waktu
penduduk untuk ke kebun, membersihkan, memantau serata mengutip hasil pertanian
mereka.
Pernah
beberapa kali kebun komuniti ini dikunjungi oleh pelancong asing daripada
Australia, Jepun dan Korea. Mereka sangat tertarik bagaimana kebun ini menjadi
titik pertemuan penduduk berbilang kaum dan agama, boleh duduk bersama-sama
membersihkan kebun, makan dan minum serta berkenal-kenalan melalui kebun komuniti.
Dari
sudut kesihatan pula, kita dapat melihat kebaikan kebun komuniti terutamnya kepada warga emas, mereka
boleh kekal aktif melakukan aktiviti fizikal yang ringan di waktu pagi dan
petang dengan berkebun. Penduduk yang terlibat akan menghasilkan makanan yang
dijamin selamat kerena penduduk mengetahui apa yang digunakan didalam tanaman mereka.
Kebun menjadi terapi minda bagi penduduk bandar daripada tekanan kerja.
Dari
sudut pendidikan, terutamanya pelajar-pelajar sekolah mereka akan mendapat
maklumat berkenaan tanaman, bagaimana tanaman ini akan tumbuh serta
menghasilkan bahan makanan, apakah faktor-faktor yang menyebabkan tanaman ini
dapat tumbuh subur. Bukan sekadar teori di dalam kelas sahaja, malah mereka mampu
untuk melihat dan merasai sendiri pengalaman bercucuk tanam seperti mana seorang petani yang berbakti kepada tanah. Dengan ini anak-anak akan lebih menghargai makanan yang tersedia dimeja makan.
Secara
keseluruhannya, terima kasih kepada pihak kerajaan kerana melihat pertanian
bandar memainkan peranan penting didalam menjana semula ekonomi negara,
perlaksanaan ini perlu dibuat secara tepat agar dana yang diberikan betul-betul
mempunyai impak dari segi ekonomi, sosial, kesihatan dan pendidikan kepada seluruh rakyat Malaysia. Diharap program yang dirancang ini mampu memberi senyuman kepada warga bandar disebalik ujian COVID-19 ini. Semoga industri pertanian terus dimartabatkan dan menjana
peluang ekonomi kepada negara.
No comments:
Post a Comment