PERTANIAN MASA HADAPAN
Pertanian pintar 4.0 dan halatuju pertanian masa hadapan. |
Halatuju pertanian masa hadapan tidak harus bergantung
kepada konsep keperluan tanah yang luas serta tenaga buruh yang ramai untuk
berada di lapangan menjalankan aktiviti-aktiviti perladangan. Perkembangan
teknologi pertanian kini telah mula diperkenalkan dan diaplikasi oleh
usahawan-usahawan yang berjaya memaksimumkan pengeluaran malah mengurangkan kos
pengeluaran melalui penggunaan teknologi dalam pengurusan ladang tanaman mereka
sendiri.
Pertanian 4.0 merupakan perkembangan pertanian, seiring
Industri 4.0 ataupun dikenali sebagai Revolusi Perindustrian Keempat di mana sektor
pertanian melibatkan penggunaan mesin yang dapat menghantar, menerima dan
bertindak mengikut arahan yang disambungkan kepada sistem pengacaraan setempat
dan melalui rangkaian komunikasi yang membolehkan ia berinteraksi dengan mesin
lain bagi membolehkan manusia
mengeluarkan barangan dan menjalankan perkhidmatan dengan cekap. Pengurusan ladang dapat dijalankan dari pusat kawalan dan
pengurangan penggantungan terhadap tenaga buruh dapat dilaksanakan. Penggunaan
sistem penderiaan, komputer dan komunikasi pada kenderaan, dron dan jentera
lain boleh dicapai sepenuhnya hari ini. Selain itu, penggunaan Sistem
Pengesanan Global (GPS) dan rangkaian mudah alih dengan penghantaran data dan
analisis data raya (Big Data) memberikan informasi yang lebih tepat bagi pengurusan
sesuatu tanaman dilakukan.
CABARAN MASA KINI
Halatuju pertanian masa hadapan |
Dunia kini perlu bergerak pantas selaras peredaran zaman
digital dan bioteknologi. Pertanian yang lebih kreatif dan inovasi yang
berterusan perlu menyokong keperluan petani dan industri pertanian bagi
menangani cabaran-cabaran yang membelenggu industri pertanian bukan sahaja di Malaysia
malahan di dunia amnya.
Pertumbuhan
populasi bermakna bertambahnya permintaan makanan. Populasi dunia pada tahun
2050 ialah sebanyak 10 biliion dan memerlukan 70 % peningkatan penghasilan makanan oleh petani. Urbanisasi juga
mendorong kepada perubahan penggunaan per kapita bagi makanan dan daging proses
daripada 36.4% pada tahun (1997-1999) kepada 45.3 kg (2030). Sumber semulajadi
yang terhad juga merupakan cabaran yang perlu ditangani di mana 25% daripada
tanah ladang telah mengalami degradasi yang serius dan 80% penebangan hutan di
dunia dijalankan bagi tujuan pertanian. Pelaburan yang bernilai tinggi
diperlukan sehingga tahun 2050 di negara membangun bagi menyediakan pengurusan
air untuk sistem pengairan.
Peningkatan keperluan makanan mengikut bertambahnya populasi dunia
|
Sumber semulajadi yang semakin terhad dan kemusnahan ekosistem
|
Perubahan iklim disebabkan oleh pelepasan gas hijau sejak 50 tahun yang lalu, telah menjadi punca-punca penurunan pengeluaran hasil di dalam sektor pertanian. Kemarau dan banjir yang semakin meningkat kekerapannya menyebabkan kerugian yang tinggi ke atas petani dan negara.
Perubahan iklim disebabkan oleh Pelepasan gas rumah hijau seluruh dunia
|
Pembaziran yang tinggi berlaku mengakibatkan pembaziran sebanyak 25% air bersih dunia.
Sektor
pertanian perlu berubah seiring dengan revolusi industri 4.0 melalui
pengeluaran tanaman makanan melalui kaedah-kaedah berteknologi terkini, penggunaan
teknologi baru untuk pengeluaran makanan dengan meningkatkan kecekapan rantaian
makanan serta bekerjasama dalam industri teknologi dan penggunaan iaitu dengan
pelaksanaan teknologi dron, analisis data, penggunaan internet, pertanian tepat
dan nanoteknologi. Contohnya ialah seperti di Hainan China yang telah
mengaplikasikan teknologi Vertical System Farming dari Singapura pada keluasan
kawasan sebanyak 733 hektar . Mereka telah berjaya menghasilkan sebanyak 27.5
tan sayur bagi keluasan 0.066 ha berbanding 4 tan sebelum ini.
Vertical
Farming
Penanaman pokok sayuran secara vertical farming dijalankan di menara aluminium setinggi enam meter di Singapura. |
Pertanian
menggunakan sistem ini mempunyai banyak kelebihan seperti pengeluaran yang
lebih terancang dapat dilaksanakan sepanjang tahun. Penggunaan sumber air,
cahaya dan tenaga buruh yang lebih cekap dan kawasan yang terlibat tidak
dipengaruhi oleh cuaca. Hasilan yang dikeluarkan pula adalah bebas daripada
bahan kimia racun serta ia sesuai
dilaksanakan di semua kawasan , persekitaran dan tanah. Di samping itu
produktiviti dapat ditingkatkan sehingga 4 kali ganda berbanding pertanian
secara konvesional. Hasilan pula adalah dalam bentuk premium, segar, bernutrisi
dan selamat dimakan.
KEBUN SAYUR BAWAH TANAH
Pertanian
di dalam bandar yang besar dan pesat membangun bukanlah sesuatu perkara yang
mustahil. Di Tokyo, terdapat sebuah kumpulan yang dikenali sebagai kumpulan
Pasona telah membangunkan sawah dan kebun di ruangan bawah tanah di sebuah
Pasaraya iaitu Nomura yang mempunyai 27 tingkat aras dan terletak di Otemachi
di Bandar Tokyo. Kawasan tersebut yang luasnya 3,000 meter persegi ditukar
kepada sawah dan kebun yang ditanam dengan 100 jenis tanaman termasuk padi,
sayur, bunga dan rempah. Sinaran matahari yang telah ditukar kepada lampu-lamu
LED dan lampu high pressure sodium vapor.
Keperluan-keperluan asas tersebut dikawal oleh komputer di mana suhu, cahaya
dan air adalah seperti di habitat asal tanaman. Telah dilaksanakan sejak tahun
2005, sembilan projek yang sama telah dibangunkan. Ianya juga telah dijadikan
sebagai satu destinasi perlancongan teknologi pertanian.
Pokok padi dan sayur-sayuran di tanam di tingkat bawah tanah bangunan di
Jepun
LANGKAH-LANGKAH KE
ARAH PERTANIAN MAJU
Pertanian
secara vertical farming mahupun
penanaman di kawasan bawah tanah memerlukan teknologi yang tinggi. Penguasaan
ilmu dan kemahiran perlu ditingkatkan di kalangan petani dan usahawan di negara
ini. Penguasaan teknologi maklumat (ICT) dapat meningkatkan teknologi pertanian
di Malaysia. Persiapan perlu dilakukan dengan memperbanyakkan aplikasi
berasaskan di atas talian seperti aplikasi smart
farming, smart
green house, smart irrigation ataupun aplikasi-aplikasi yang lain di mana ianya mudah diakses,
di mana dan pada bila-bila masa. Penggunaan mesin yang lebih canggih seperti
penggunaan traktor tanpa operator dan penggunaan drone untuk mengenalpasti keadaan tanah serta keperluan bagi tanah
tersebut. Pengeluaran dan pertanian secara persis dapat menjimatkan penggunaan
baja dan racun mengikut keperluan sebenar tanaman di ladang petani tersebut.
Untuk
menjadikan sektor pertanian mengalami transformasi ke arah lebih moden, dinamik
dan berdaya saing terdapat empat faktor penggerak utama iaitu penggunaan
teknologi dan inovasi, perluasan aplikasi teknologi maklumat (ICT), pembangunan
modal insan dan peningkatan keberkesanan institusi sokongan.
Dalam
usaha menjadikan pertanian ke arah lebih maju dan berdaya saing dengan
teknologi terkini, penglibatan semua pihak samada institusi pendidikan, sektor
swasta, kerajaan, usahawan, petani dan orang ramai amat penting bagi
merealisasikan matlamat ini.
Penulis : Raudah Binti Talib, Bahagian Pembangunan Industri Tanaman Titi Gantong, Perak
Disunting : Yunif Ibrahim Ahmad
Salah satu teknologi yang mampu membantu dunia pertanian di dalam industri kelulut https://sciencepark.upm.edu.my/artikel/ensuring_food_security_through_app_guided_urban_beekeeping-76005
ReplyDelete