Tuesday, January 29, 2019

RANGKA KERJA JABATAN PERTANIAN 2019

Rangka kerja Jabatan Pertanian Malaysia



29 Januari 2019, Selasa – Dalam menyahut cabaran dalam sektor agromakanan negara, Jabatan Pertanian telah mengorak langkah yang drastik dalam pembangunan industri pertanian negara.
Dalam Majlis Rangka Kerja Jabatan Pertanian 2019, YBhg Dato’ Jamal Harizan Yang Razali, Ketua Pengarah Pertanian telah menyampaikan 4 cabaran, 4 sasaran industri dan 16 fokus yang akan diberi tumpuan oleh semua warga kerja Jabatan Pertanian di seluruh Malaysia dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik buat seluruh golongan sasar dalam industri agromakanan negara.

Antara sasaran industri yang bakal mengubah landskap sektor agromakanan negara adalah :

Perkasa Industri Padi Negara

i.                 Industri Padi Negara – Dalam memperkasakan lagi industri padi negara, Jabatan Pertanian telah merangka beberapa langkah yang holistik bagi merancak dan melonjakkan pengeluaran padi negara melalui :

a.      Kempen Penggunaan Benih Padi sah
b.      Pematuhan Rice Check
c.      Farmer Field School
d.      Memperluas Konsep Mini Estet/Kluster Padi
e.      Menggalakkan Pesawah Mendapatkan Pensijilan myGAP


Pembangunan Industri Buah-buahan

ii.                Industri Buah-Buahan Negara – Dalam mengukuhkan lagi pengeluaran buah-buahan tempatan 3 strategi telah dirangka iaitu :
a.      Pengeluaran Benih Premium & Berkualiti
b.      Memulihkan Kawasan mengikut Kluster Melalui Pakej Teknologi
c.      Menggalakkan Usahawan Mendapatkan Pensijilan myGAP.


Pembangunan Industri Sayuran

iii.              Industri sayur-sayuran Negara – bagi meningkatkan produktiviti sayuan yang berkualiti dan selamat dimakan, 3 strategi dirangka dan akan dilaksanakan untuk peningkatan pengeluaran dan penambahan pendapatan usahawan iaitu :
a.      Pengeluaran Benih Premium & Berkualiti
b.      Memulihkan Kawasan Mengikut Kluster Melalui Pakej Teknologi
c.      Menggalakkan Usahawan Mendapat Pensijilan myGAP


Pembangunan Industri Kelapa

iv.               Industri Kelapa – Bagi mengurangkan import kelapa negara, Jabatan Pertanian mensasarkan pengeluaran 517 000 tan setahun iaitu 7.3 tan/hektar memalui :
a.      Pengeluaran Benih Kelapa Varieti Terpilih
b.      Pemulihan Kawasan Sedia Ada
c.      Tanam Semula Kawasan Sedia Ada
d.      Integrasi Dengan Tanaman lain


Bagi merealisasikan sasaran tersebut, Jabatan Pertanian telah menggariskan 16 fokus yang harus dilaksanakan bagi setiap lapisan kakitangan diperingkat negeri dan daerah. Antara 16 fokus tersebut adalah :
Fokus 1 : Memaksimakan Pelaburan Di Zon Pertanian Strategik
Fokus 2 : Menjana Pendapatan Usahawan Melalui Projek Pertanian Rakyat
Fokus 3 : Pembangunan Industri Benih
Fokus 4 : Melaksanakan Amalam Pertanian Baik
Fokus 5 : Mengukuhkan Kerjasama Antara Penyelidik dan Pegawai Bimbingan Lapangan (APT)
Fokus 6 : Melibatkan Sektor Swasta Dalam Perkhidmatan Pengembangan
Fokus 7 : Memperkasa Kerjasama Strategik Melalui Konsep MOA Inc.
Fokus 8 : Mengkaji & Memastikan Supaya Akta Sedia Ada Memenuhi Keperluan Semasa
Fokus 9 : Meningkatkan Kompetensi Pegawai Pengembangan Pertanian
Fokus 10 : Pembangunan Industri Tanaman Berpotensi
Fokus 11 : Pembangunan Industri Jagung Bijian & Pengeluaran Rumpt Napier
Fokus 12 : Pembangunan Agropreneur Muda
Fokus 13 : Pembangunan Usahawan Industri Asas Tani
Fokus 14 : Program Pembangunan Ladang Kontrak
Fokus 15 : Pengharaman Racun Paraquat
Fokus 16 : Soil Profiling untuk tanah sawah di seluruh Malaysia

Diharap dengan kerjasama yang padu dari seluruh wargakerja Jabatan Pertanian untuk merealisasikan impian dan harapan dalam pembangunan sektor agromakanan negara serta meningkatkan pendapatan golongan sasar agar dapat keluar dari kelompok kemiskinan dan karier dalam bidang pertanian bukan saja dipandang sepi tetapi ianya menjadi satu sumber rezeki baru buat setiap lapisan masyarakat Malaysia.

Berdasarkan prinsip-prinsip yang telah digariskan oleh YB Dato' Salahuddin Ayub, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dalam memperkasa nilai dan integriti, menambahbaik sistem penyampaian dan memantapkan strategi antara Jabatan dan Agensi dibawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sejajar dengan seruan YBhg Datuk Seri Dr. Ismail Bin Haji Bakar, Ketua Setiausaha Negara agar penjawat awam sentiasa berpegang kepada prinsip pembaharuan yang berterusan, memodenisasikan penyampaian perkhidmatan, perkhidmatan yang mesra rakyat, cabaran persekitaran global, penjawat awam harus bersatu dan “Do the right thing, right the first time”.


Perutusan KSN sempena Tahun Baru 2019

Akhir kata dalam ucapan YBhg Dato’ Ketua Pengarah Pertanian agar semua warga Jabatan Pertanian Malaysia memegang prinsip yang sama dalam melaksanakan tugasan kita seharian dengan memastikan pengeluaran yang cukup, berkualiti dan selamat dimakan.




Oleh : Yunif Ibrahim Ahmad
29 Januari 2019

Thursday, January 24, 2019

Fakta Penyakit Hawar Bulir Bakteria (Bacterial Panicle Blight, BPB)


Penyakit Hawar Bulir Bakteria (Bacterial Panicle Blight (BPB))




A. PENDAHULUAN

Penyakit Hawar Bulir Bakteria (Bacterial Panicle Blight, BPB) mula dikesan di Sungai Acheh, Seberang Prai Selatan, Pulau Pinang pada November 2017. Penyakit ini telah merebak ke Negeri Kelantan, Terengganu, Selangor, Kedah, Perak, Melaka, Perlis dan Pahang pada tahun 2018.

Penyakit BPB telah dilaporkan berlaku di Amerika Utara, Selatan & Amerika Tengah (Gulf of Mexico, Dominican Republic, Venezuela, Ecuador, Brazil, Panama, Colombia, Nicaragua dan Costa Rica), Afrika (negeri-negeri Selatan Afrika dan Tanzania) dan Asia (Jepun, Korea, Vietnam, Filipina, India, Sri Lanka, China, Indonesia dan Malaysia).

Penyakit bakteria bawaan benih (seed borne) pada tanaman padi yang paling teruk di dunia.

Taburan penyakit 'Bacterial Panicle Blight' di dunia



B. FAKTA BPB

·       Patogen yang menyebabkan Penyakit Hawar Bulir Bakteria adalah bakteria Burkholderia glumae (bawaan benih) dan Burkholderia gladioli (bawaan benih dan bawaan tanah).

·       Suhu optima jangkitan bakteria adalah 35°C hingga 40°C dan kelembapan bandingan (RH) melebihi 95%.

·       Jangkitan penyakit bermula pada peringkat berbunga. Pokok padi lebih peka jangkitan BPB pada 4-5 hari selepas terbit (60-70 hari lepas tabur).

·       Bakteria ini boleh hidup dalam tanah lebih kurang 4 bulan dan simpanan benih selama 3 tahun pada suhu bilik.

·       Bakteria ini juga boleh didapat pada sisa tanaman, tanah dan air di sepanjang musim penanaman padi.

·       Serangan serius oleh bakteria ini boleh menyebabkan kehilangan hasil padi sehingga 80%.

·       Tiada kawalan kimia berkesan untuk mengawal penyakit bakteria pada tanaman padi setakat ini.

Tanda-tanda tanaman padi yang dijangkiti penyakit BPB



C. FAKTOR MENGGALAKKAN INSIDEN BPB

·       Kejadian serangan berkait rapat dengan keadaan cuaca dan persekitaran
- Keadaan cuaca panas dan kelembapan bandingan (RH) melebihi 95% di waktu malam yang berpanjangan dan hujan akan menggalakkan insiden BPB.

·       Penggunaan benih padi yang berpenyakit
- Benih padi yang telah dijangkiti BPB merupakan sumber primary bagi sebaran penyakit (primary source of inoculum of BPB)

·       Kerintangan perumah
- Di masakini semua varieti yang ditanam mudah diserang BPB
-Tahap kerintangan varieti sedia ada tidak diketahui kerana BPB adalah  penyakit baru muncul di Semenanjung Malaysia. 


D. SIMPTOM SERANGAN BPB

·       Kemunculan simptom awal BPB setelah padi terbit dan bersusu iaitu lebih kurang 60-75 hari lepas tanam (HLT) bergantung kepada varieti padi. Namun, analisis makmal perlu dijalankan untuk pengesahan penyakit BPB. Simptom serangan penyakit BPB boleh dikenalpasti dan disahkan secara visual/simptomatik  di sawah setelah umur padi 90 HLT kerana pada peringkat ini simptom BPB jelas kelihatan dan mempunyai ciri-ciri tersendiri yang berbeza dengan penyakit-penyakit padi yang lain.

Simptom Serangan Hawar Bulir Bakteria (BPB)
Simptom serangan pada tanaman Hawar Bulir Bakteria (BPB)
   
E. PENGURUSAN BPB

I) Kawalan BPB (Apabila Dikesan)

a) Kuarantin Kawasan Serangan
            - Kuarantinkan kawasan serangan dengan memagarkan menggunakan tali atau pita                dan dilabelkan kawasan larangan masuk untuk menghadkan pergerakan keluar                   masuk di sawah ini.
           - Notis pemakluman diberi kepada petani yang terlibat dan petani-petani yang                       berhampiran.

b) Memusnahkan Sumber Penyakit
- Musnahkan sumber penyakit (padi batat, tunggul padi, jerami, rumpai) dalam              kawasan serangan   selepas penuaian hasil.
- Sembur racun rumpai yang disyorkan (glyphosate atau glufosinate ammonium)          mengikut syor pada label.
- Batang padi perlu dipotong rapat dan dibakar dengan sempurna dan terkawal            (dengan kebenaran dari Jabatan Alam Sekitar) untuk memusnahkan sumber              inokulum penyakit.

c) Pembersihan Jentera dan Peralatan Ladang
- Jentera/ jentuai yang memasuki sawah dan peralatan ladang yang dibawa perlu        dibersihkan terlebih dahulu dengan disinfektan yang sesuai.

d) Penyekatan Bahan Tanaman Dari Kawasan Serangan
          - Tanaman padi dari kawasan serangan TIDAK BOLEH dijadikan sebagai sumber                  benih padi.
          - Padi dari kawasan serangan BPB hanya dibenarkan dituai untuk menjadi padi                    beras   


II) Kawalan BPB (Langkah Pencegahan)

a)    Melaksanakan Amalan Pertanian Baik (APB) dan mengikuti Rice Check yang ditetapkan

b)    Pembajakan Tanah Sebanyak 3 Peringkat. Pembersihan kawasan daripada inokulum bakteria

c)     Kawasan serangan disembur dengan racun pra cambah (seperti glyphosate) untuk memusnahkan benih-benih padi mengikut kadar yang disyorkan pada label.

d)    Penggunaan benih padi SAH, berkualiti dan bebas daripada penyakit BPB

e)    Elakkan penanaman yang terlalu padat. Guna kadar benih yang optima (120kg/ha)

f)      Tambahkan baja berunsur silika semasa pembajakan (kadar yang disyorkan adalah 50-70 kg baja/ha)

g)    Elakkan penggunaan baja nitrogen secara berlebihan

h)    Bersihkan peralatan ladang sebelum dan selepas digunakan dengan bahan basmi kuman


F. STATUS SERANGAN BPB DI SEMENANJUNG 
    MALAYSIA

Sebaran Penyakit Hawar Bulir Bakteria (BPB) di Semenanjung Malaysia

 
Status serangan Hawar Bulir Bakteria di Semenanjung Malaysia
Keluasan terlibat adalah 445 ha dengan insiden serangan 5-50% (secara bertompok-tompok di sawah)  

Infografik Penyakit Hawar Bulir Bakteria atau Bacterial Panicle Blight (BPB)





Sumber: 
Bahagian Biosekuriti Tumbuhan
Jabatan Pertanian Malaysia



Thursday, January 17, 2019

PEMBANGUNAN KLUSTER DURIAN

Buah durian yang berkualiti dari ladang yang mengamalkan Amalan Pertanian Baik



Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2011-2020, menyasarkan peningkatan pengeluaran buah-buahan daripada 1.8 juta tan matrik pada tahun 2010 kepada 2.6 juta tan matrik pada tahun 2020 dengan kadar pertumbuhan 3.8%, sementara produktiviti kawasan berhasil dijangka meningkat daripada 9.6 tan matrik sehektar pada tahun 2010 kepada 12.9 tan matrik sehektar pada tahun 2020 dan eksport buah-buahan daripada 830 ribu tan matrik pada tahun 2010 kepada 1.04 juta tan matrik pada tahun 2020. Tumpuan jelas diberikan kepada peningkatan produktiviti dan pengeluaran.

Buah diikat bagi meningkatkan kualiti
Sehingga tahun 2018, keluasan penanaman durian di Malaysia adalah seluas 72,464 hektar dengan pengeluaran sebanyak 251,910 tan matrik dan sehingga kini sebanyak 204 varieti durian telah didaftarkan di bawah Jabatan Pertanian dan di antara varieti durian yang popular ialah varieti Durian Raja Kunyit (D197) atau lebih dikenali dengan nama Musang King, D24, varieti Hjh. Hasmah atau IOI (D168), Udang Merah (D175) dan varieti Duri Hitam (D200).

Jabatan Pertanian telah mengambil inisiatif dengan memperkenalkan beberapa projek yang bertujuan untuk meningkatkan pengeluaran buah-buahan negara seperti projek Bantuan Tanam Semula Buah-Buahan Terpilih, projek Kluster Durian, Rambutan dan Mangga Harumanis yang telah dimulakan sejak tahun 2014 dan kesemua projek ini telah diteruskan di dalam RMKe-11


Durian yang juga dikenali dengan nama saintifiknya Durio zibethinus Murr merupakan raja segala buah-buahan dan di antara tanaman buah-buahan yang semakin terserlah nilai komersilnya kerana mendapat permintaan tinggi dikalangan penggemar durian dari dalam dan luar negara.

Selaras dengan perkembangan yang positif bagi industri durian, pelbagai ruang dan peluang yang boleh diterokai. Dengan permintaan yang tinggi di pasaran tempatan dan eksport, kualiti dan varieti durian yang baik serta ‘branding’ Malaysia sebagai pengeluar durian terbaik di dunia, industri ini dilihat boleh memberi pendapatan yang besar kepada usahawan tempatan dan dilihat berpotensi menjadi sumber kekayaan baharu yang memberi manfaat besar kepada sosioekonomi petani.



Pembangunan yang dirancang, merangkumi perluasan kawasan tanaman durian sedia ada dan baru melalui Transformasi Ladang secara pengurusan berpusat seperti koperasi dan syarikat swasta. Melalui kaedah ini, ianya akan dapat memudahkan penyelarasan aktiviti-aktiviti pembangunan kawasan seperti, pembersihan kawasan, pengurusan tanaman, pengurusan sumber manusia, pengurusan kewangan, pengangkutan dan pemasaran dilaksanakan. Dengan kerjasama kerajaan pusat, kerajaan negeri, agensi-agensi kerajaan dan swasta yang berkaitan, tanah-tanah yang terbiar boleh dimanafaatkan sepenuhnya dengan penanaman durian.


Di samping itu, Jabatan Pertanian juga akan membantu dalam meningkatkan pengeluaran benih tanaman yang tulen dan berkualiti melalui insentif bantuan naiktaraf infrastruktur nurseri benih sedia ada serta pengeluaran benih di stesen-stesen Jabatan Pertanian dan usahawan yang terlibat.

Melalui Pemerkasaan Teknologi pula, Jabatan Pertanian akan menaiktaraf pusat-pusat jualan benih dan pusat pemprosesan durian.  Selain itu Jabatan akan melatih belia-belia yang berkelayakan sebagai pelapis pakar pecantum dewasa pokok durian melalui program “Farmers Field School” dan ini akan membuka peluang kerjaya kepada belia yang terlibat.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui Jabatan Pertanian juga akan mengadakan aktiviti pengembangan melalui promosi dan roadshow di seluruh negara bagi menguar-uarkan projek-projek berkaitan pembangunan tanaman durian yang telah dirancang agar mendapat penglibatan menyeluruh daripada semua peringkat di dalam industri ini.

Bagi menjaga kualiti dan pengukuhan aktiviti pengeksportan durian di luar negara, keperluan elemen traceability durian adalah penting dan akan dibangunkan. Pengenalpastian varieti durian dan lokasi pengeluaran durian yang dieksport akan dapat memastikan kualiti produk keluaran negara ini akan lebih terjamin.
 
Pokok durian yang berkualiti ditanda dan disahkan oleh Jabatan Pertanian

Antara varieti-varieti durian yang dijual di pasaran

Diharapkan dengan kerancakkan pembangunan industri durian sebagai salah satu sumber kekayaan baharu negara serta pasaran yang amat baik, ini akan dapat memberi pulangan yang lumayan kepada pengusaha serta dapat menjadikan durian sebagai komoditi utama eksport negara pada masa depan.

#myDOA #OurFoodOurFuture

TEKNOLOGI CANTUMAN DEWASA TANAMAN DURIAN, Durio zibethinus L

Pokok Durian Durio zibethinus L

Durian segera,durian ekspress, durian “shortcut”, sudah menjadi istilah yang sinonim dengan Teknologi Cantuman Dewasa Durian. Konsep asasnya adalah menggantikan varieti pokok durian yang tidak kehendaki kepada varieti yang lebih ekonomik dan mengikut pilihan usahawantani sendiri. Antara varieti yang menjadi pilihan ialah tidak asing lagi iaitu varieti D197 (Raja Kunyit @ Musang King), D24, D198 (Kim Hong @ Golden Phoenix) ,Durian Duri Hitam (Ochee) dan pelbagai lagi varieti yang dikehendaki oleh usahawan.

Sistem pengakaran yang sudah tersedia dan stabil menjadikan ia satu bonus besar untuk tumbesaran pokok durian. Melalui teknologi ini, pokok durian dapat menghasilkan buah seawal 4 ke 5 tahun selepas cantuman dijalankan. Pemilihan pokok yang dicantum ialah pokok yang sihat dan bebas dari penyakit perosak kerana ia merendahkan peratus kejayaan cantuman dan risiko kematian pokok asal sangat tinggi.

Terdapat 2 kaedah dalam teknologi ini iaitu ;

1) Pembentukan semula tunas penanti baru

Tunas penanti baru dihasilkan melalui 3 kaedah iaitu kaedah tebang ( tunggul), kaedah pollarding (1-2 dahan ditinggalkan sebagai jaminan kelangsungan hidup) dan kaedah ketiga ialah kaedah kelaran. Dalam tempoh 1 ke 3 bulan tunas penanti baru akan mula tumbuh dan akan dicantum melalui kaedah baji, cantuman mata tunas , cantuman patch ranting atau sanding. 

Berikut adalah contoh kaedah penyediaan tunas penanti baru:


Kaedah tunggul: Pokok ditebang pada aras 1.0m ke 1.2m dari aras tanah.

Kaedah Pollarding - Pokok ditebang dan 1 ke 2 dahan ditinggalkan.

Kaedah kelaran - Kambium pokok dikelar sebanyak 7/8 dari ukur lilit dan pokok ditebang selepas tunas baru cambah

Berikut adalah contoh kaedah cantuman yang dijalankan pada tunas baru :

a) Cantuman Baji


Umur cantuman selepas 25 hari daripada tempoh cantuman.

Umur cantuman selepas 40 hari daripada tempoh cantuman.

Kaedah cantuman Patch ranting yang berumur 60 hari selepas cantuman.

Kaedah cantuman menggunakan teknik sandingan tunas penanti dan anak benih cantuman.


2) Cantuman terus pada pokok penanti (Patch)

Teknologi ini dijalankan dengan membuat cantuman terus pada pokok penanti dewasa dan pokok asal ditebang secara berperingkat selepas cantuman berjaya. Pemilihan pokok yang sihat tanpa sebarang serangan perosak atau penyakit mampu meningkatkan peratus kejayaan cantuman. Cantuman dijalankan pada aras 1.0 m ke 1.2 m dari aras tanah.

  1. Kaedah Cantuman
    1. Kaedah cantuman yang dipraktikkan ialah menggunakan kaedah cantuman ranting mata tunas atau teknik Patch.
    2. Teknik cantuman ini adalah seperti berikut:
    3. Pemilihan sion / sumber matatunas
Mata tunas yang sesuai untuk dijadikan sebagai sion.



Mata tunas yang tidak sesuai untuk dijadikan sebagai sion.


Gerak Kerja Cantuman

1) Kulit pokok dewasa dikikis pada ketinggian 1.0- 1.2 m dari tanah.

2)Kerja membuat tapak cantuman bersaiz lebar 2 cm dan tinggi 10-12 cm.

3) Kulit sion dikikis sepanjang 4- 5 cm.

4) Kulit tapak cantuman ditarik dan dipotong sepanjang 6-7 cm.

5) Sion diselitkan pada tapak cantuman dengan keadaan kulit yang dikikis menghala ke dalam batang pokok.

6) Tapak cantuman dililit dengan menggunakan pita cantuman dari bawah ke atas.

7) Sion dan tapak cantuman dililit sehingga habis.

8) Pita cantuman dibuka berperingkat pada hari ke-45 selepas cantuman dibuat.

Penjagaan dan penyelenggaraan

Terdapat 4 amalan bagi penyelenggaraan dan penjagaan pokok selepas cantuman berjaya. 

i. Keperluan air dan sistem pengairan

Sistem Pengairan Jenis Renjis
Keperluan air untuk durian sehari :

Awal : 37 liter
Tampang : 127 liter
Matang : 327 liter

ii. Cantasan penjagaan
Tunas yang rapat, bertindih dan tidak seimbang akan dipangkas bagi memastikan tumbesaran pokok tidak terbantut dan sihat.

iii. Menebang pokok penanti / pokok dewasa
Pokok penanti / pokok asal ditebang selepas hari ke 60 ke 90 hari selepas cantuman berjaya. Jarak yang sesuai adalah dalam lingkungan 1 kaki ke atas dari tapak cantuman. Muka keratan pokok yang ditebang hendaklah dipotong pada sudut 30° ke 45° bagi mengelakkan berlakunya takungan air pada pokok.

Pokok penanti dewasa/ dan cantuman yang telah berjaya sedia untuk ditebang.

Kerja menebang pokok penanti / dewasa dijalankan menggunakan chainsaw.

iv) Cantasan Penjagaan

Tunas yang rapat, bertindih dan tidak seimbang akan dipangkas bagi memastikan tumbesaran pokok tidak terbantut dan sihat. Membuang ranting sisi di setiap dahan bagi membentuk dahan dan zon buah yang sihat secara berperingkat.

v) Memasang kayu sokongan

Buluh atau kayu sokongan dipasang dengan mengikat tunas cantuman pada batang pokok dewasa bagi mengelakkan tunas patah dan sekah. Tali juga digunakan bagi menyokong pokok dari patah.

vi) Kawalan perosak dan penyakit

Kawalan penyakit berdasarkan pemantauan sepanjang masa mengikut APB.



Pembajaan

Kerja pembajaan dijalankan mengikut pengesyoran.




Kerja pembajaan dijalankan mengikut pengesyoran.

TAHUN
JENIS BAJA
KADAR (KG/PKK)
KG/PKK/THN
KEKERAPAN MEMBAJA SETAHUN
1
NPK 15:15:15
0.75
9
12
Kompos Organik IMO
10
20
2
Foliar Organik
1)Asid Amino
2)Plant Booster
Mengikut Label Pengesyoran
Mengikut Label Pengesyoran
12
2
NPK 15:15:15
0.75
9
12
Kompos Organik IMO
20
40
2
Foliar Organik
1)Asid Amino
2)Plant Booster
Mengikut Label Pengesyoran
Mengikut Label Pengesyoran
12
3
NPK 15:15:15
1.00
12
12
Kompos Organik IMO
25
50
2
Foliar Organik
1)Asid Amino
2)Plant Booster
Mengikut Label Pengesyoran
Mengikut Label Pengesyoran
12
4
NPK 15:15:15
1.00
12
12
Kompos Organik IMO
25
50
2
Foliar Organik
1)Asid Amino
2)Plant Booster
Mengikut Label Pengesyoran
Mengikut Label Pengesyoran
12
5 dan ke atas
NPK 12:12:17:2
1.00
12
12
Kompos Organik IMO
25
50
2
Foliar Organik
1)Asid Amino
2)Plant Booster
Mengikut Label Pengesyoran
Mengikut Label Pengesyoran
12


Kawalan Penyakit dan Perosak
Serangan anai-anai. Pengesyoran kawalan menggunakan racun serangga bahan aktif Chlorpyrifos @ Fipronil mengikut label dan APB.

Serangan kulat Rhizoctonia solani atau Hawar Daun. Pengesyoran menggunakan racun Kulat Pencycuron mengikut label dan APB.


Serangan kanker “ Phythopthora palmivora” : Kawalan menggunakan racun kulat Metalaxyl / Phosphorus acid mengikut APB.






Pengurusan Rumpai

Antara kaedah yang diamalkan ialah menggunakan racun rumpai bahan aktif Glufosinate ammonium atau kaedah manual dengan menggunakan mesin rumput.

Tempoh berhasil

Melalui teknologi ini, pokok durian mampu berbuah seawal 4 ke 5 tahun selepas cantuman dijalankan. Penjagaan dan kawalan terhadap bilangan buah perlu dititikberatkan mengikut umur pokok agar kualiti tanaman dan hasil sentiasa dalam keadaan sihat serta konsisten.


 Kesimpulan

Teknologi ini telah terbukti sangat praktikal bagi usahawan tanaman durian yang ingin menggantikan pokok-pokok lama yang kurang ekonomik atau komersil kepada varieti yang dikehendaki selari dengan permintaan dan nilai yang tinggi. Teknologi ini dapat memartabatkan industri pertanian di negara kita ke arah peringkat global berpaksikan Amalan Pertanian Baik (APB) yang dijayakan oleh Jabatan Pertanian.

#myDOA #OurFoodOurFuture