Wednesday, July 12, 2017

Aplikasi #AgriMaths dan #TipTanaman #MY1DOA untuk rujukan #Agropreneur





APLIKASI MUDAH ALIH PERTANIAN MUDAHKAN KERJA

Aplikasi mudah alih atau lebih dikenali sebagai “Mobile App” adalah perisian aplikasi yang direka untuk membolehkan ia dimuat turun di telefon pintar, komputer tablet dan peranti mudah alih yang lain. Selaras dengan kemajuan teknologi komunikasi masa kini, Jabatan Pertanian Malaysia juga mewujudkan inisiatif dengan membangunkan dua aplikasi mudah alih yang dibangunkan di bawah projek e-Agriculture Extension atau e-Pengembangan Pertanian. Inisiatif ini adalah bagi mentransformasikan perkhidmatan pengembangan pertanian melalui platform mudah alih untuk capaian yang cepat, mudah, tanpa mengira masa dan tempat di mana anda berada.

Dua aplikasi yang dibangunkan adalah AgriMaths dan 100 Tip Tanaman. AgriMaths adalah adaptasi daripada buku ‘Asas Matematik Pertanian’ terbitan Jabatan Pertanian Malaysia. Ia menampilkan maklumat pengiraan untuk tanaman sayur-sayuran dan tanaman singkat masa, buah-buahan, padi, kelapa, cendawan, lebah madu dan kelulut, baja, racun makhluk perosak, kejuruteraan pertanian, fertigasi dan aliran kewangan.  Ia sesuai digunakan sebagai sumber rujukan dan panduan pantas kepada pegawai pengembangan pertanian mahupun usahawan tani.
Aplikasi AgriMaths boleh dimuat turun melalui Google Play bagi telefon
pintar android dan App Store bagi telefon pintar iPhone. 

Hasil daripada aplikasi AgriMaths ini, pengguna dapat mengetahui jumlah biji benih, jumlah pokok, bilangan batas tanaman, jarak tanaman, kepadatan tanaman, sistem menanam dan keperluan infrastruktur ladang mengikut keluasan tanah. Melalui aplikasi ini, pengguna boleh mengetahui jumlah bilangan batas tanaman bagi tanaman sayur-sayuran untuk 1 ekar keluasan tanah adalah 269 batas tanaman manakala untuk 1 hektar adalah 664 batas dengan jarak antara batas ialah 2 kaki.  Selain itu, pengguna juga boleh mendapatkan maklumat umum berkenaan baja yang merupakan input utama dalam projek pertanian seperti definasi baja, keterangan formulasi dan kandungan unsur pada beg baja, peratus kandungan nutrien dalam baja bukan organik, carta panduan mencampur baja, formulasi baja fertigasi dan pengiraan baja fertigasi.

Aplikasi 100 Tip Tanaman boleh dimuat turun melalui Google Play bagi 
telefon pintar android dan App Store bagi telefon pintar Iphone. 
100 Tip Tanaman pula memuatkan 100 tip dan petua tanaman yang diolah secara ringkas dan padat sebagai sumber rujukan dan panduan pantas untuk orang ramai.  Antara tip tanaman yang boleh diperolehi dalam aplikasi ini adalah kaedah penyediaan lima jenis baja cecair Natural Farming (NF) iaitu baja hijau, baja buah-buahan, baja berasaskan ikan, baja berasaskan tulang dan baja berasaskan kulit telur/ kerang/ siput beserta dengan kaedah mudah penyediaan baja-baja tersebut. Sebagai contoh kaedah membuat baja berasaskan ikan adalah dengan menyediakan 1 kilogram ikan atau sisa ikan kemudian dicampurkan dengan 1 kilogram gula merah dan bekas perlu ditutup dengan kertas putih dan diikat serta diperam selama empat belas hari dan akhir sekali ditapis untuk mendapatkan cecair baja. Untuk penggunaan, pengguna boleh mengambil 1 sudu besar cecair baja dan campur ke dalam 5 liter air dan disiram terus pada tanaman. Kaedah penyediaan baja ini diharap dapat menggalakkan pengguna membuat sendiri baja secara organik dan secara tidak langsung menggalakkan orang ramai bercucuk tanam dan menghasilkan sumber makanan sendiri yang lebih terjamin keselamatannya.


Aplikasi yang dibangunkan ini diharap dapat menjadi panduan kepada semua peringkat masyarakat terutamanya pengusaha pertanian dan pelajar-pelajar. Orang ramai boleh memuat turun aplikasi AgriMaths dan 100 Tip Tanaman melalui telefon pintar secara percuma di Google Play bagi telefon pintar jenis adroid dan App Store bagi telefon pintar jenis iPhone.