VANG VIENG (Lao PDR), 10 Julai – Jabatan Pertanian terus memperkukuh kerjasama serantau dalam pembangunan sektor tanaman apabila menyertai Mesyuarat ASEAN Sectoral Working Group on Crops (ASWGC) Ke-33 dan Expert Working Group on Harmonisation of Phytosanitary Measures in ASEAN (EWG-PS) Ke-28 yang berlangsung secara hibrid di Vang Vieng, Lao PDR, dari 6 hingga 10 Julai.
.
Mesyuarat tahunan ASWGC merupakan platform utama negara-negara anggota ASEAN untuk memantau dan menilai kemajuan pelaksanaan aktiviti serta projek di bawah setiap Kumpulan Kerja atau Expert Working Group (EWG) sebelum hasilnya dibentangkan kepada Mesyuarat Senior Officials Meeting of the ASEAN Ministers on Agriculture and Forestry (SOM-AMAF) serta Mesyuarat Menteri-Menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN (AMAF).
Sementara itu, EWG-PS berperanan menyelaras garis panduan pengimportan dalam kalangan negara anggota ASEAN serta menyediakan sokongan dasar bagi menggalakkan pembangunan sektor tanaman dan memperkukuh biosekuriti di rantau ini.
.
Mesyuarat ASWGC Ke-33 dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Kementerian Pertanian dan Alam Sekitar Lao PDR, Encik Bounchanh Kombounyasith, manakala Malaysia diwakili Timbalan Ketua Pengarah Pertanian (Pembangunan Industri dan Pengembangan), Tuan Haji Johari Abdullah yang bertindak sebagai Naib Pengerusi.
.
Mesyuarat itu dihadiri secara fizikal oleh delegasi daripada 11 negara anggota ASEAN (ASEAN Member States, AMS), selain penyertaan secara dalam talian oleh peserta dari setiap negara anggota ASEAN termasuk wakil pelbagai bahagian Jabatan Pertanian (DOA) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia, sekali gus memperkukuh penyelarasan dasar serta kerjasama teknikal di peringkat serantau.
.
Penyertaan aktif Malaysia menerusi Jabatan Pertanian mencerminkan komitmen negara dalam memperkukuh keselamatan makanan serantau melalui peningkatan produktiviti dan pengeluaran tanaman bagi memastikan bekalan makanan yang mencukupi, selamat dan berkualiti kepada rakyat ASEAN.
.
Kerjasama ini turut membantu sektor agromakanan negara menghadapi cabaran perubahan iklim yang semakin memberi kesan kepada pengeluaran makanan melalui pelaksanaan pendekatan Pertanian Regeneratif dan Berdaya Tahan (Regenerative and Resilient Agriculture - RRA), amalan pertanian pintar iklim, serta pembangunan sektor pertanian yang lebih lestari.
.
Selain itu, ASWGC memainkan peranan penting dalam menyelaraskan piawaian kualiti dan keselamatan produk pertanian antara negara anggota ASEAN.
.
Penyelarasan Amalan Pertanian Baik (Good Agricultural Practices – GAP) serta Had Maksimum Sisa Racun Perosak (Maximum Residue Limits – MRLs) membolehkan produk pertanian memenuhi keperluan keselamatan makanan, meningkatkan keyakinan pengguna serta memudahkan akses ke pasaran serantau dan antarabangsa.
.
Mesyuarat itu turut memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan sekatan teknikal perdagangan bagi melancarkan pergerakan produk tanaman dalam pasaran intra-ASEAN, sekali gus meningkatkan daya saing hasil pertanian rantau ini di peringkat global.
.
Pada masa sama, kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), pemindahan teknologi serta perkongsian inovasi pertanian moden terus diperkukuh bagi meningkatkan produktiviti sektor tanaman secara mampan.
.
Dalam aspek pembangunan modal insan, ASWGC menggalakkan pelaksanaan latihan, bengkel dan seminar yang memberi manfaat kepada pegawai pertanian, penyelidik serta petani melalui peningkatan kompetensi dan perkongsian amalan terbaik dalam pengurusan sektor tanaman.
.
Bagi Malaysia, penglibatan Jabatan Pertanian dalam ASWGC dan EWG-PS bukan sahaja memperkukuh hubungan strategik dengan negara anggota ASEAN, malah memastikan dasar, piawaian fitosanitari dan langkah biosekuriti negara sentiasa selaras dengan amalan serantau.
.
Usaha ini penting bagi melindungi industri tanaman negara daripada ancaman perosak dan penyakit, memudah cara perdagangan hasil pertanian, memperkukuh daya saing eksport serta menyokong agenda keterjaminan makanan negara demi kesejahteraan rakyat.
.
Pada mesyuarat itu juga, Malaysia telah menjemput semua negara anggota ASEAN untuk menghadiri Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang akan berlangsung di MAEPS, Serdang sebagai platform mempamerkan inovasi, teknologi dan peluang pelaburan dalam sektor agromakanan negara, selain mengukuhkan jaringan kerjasama pertanian di peringkat serantau.
.
Dalam masa yang sama, Malaysia turut mengumumkan kesediaan menjadi tuan rumah Mesyuarat ASEAN Sectoral Working Group on Crops (ASWGC) Ke-34 dan Expert Working Group on Harmonisation of Phytosanitary Measures in ASEAN (EWG-PS) Ke-29 pada tahun 2027, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan negara dalam menerajui kerjasama ASEAN ke arah sektor pertanian yang lebih mampan, berdaya tahan dan berdaya saing.