Tinggal di apartmen atau kondominium bukan lagi alasan untuk tidak berkebun apabila kaedah hidroponik membolehkan tanaman sayur diusahakan walaupun hanya menggunakan ruang balkoni yang terhad.
.
Malah, modal permulaan yang rendah serta penjagaan yang mudah menjadikan kaedah itu semakin mendapat perhatian, terutama dalam kalangan masyarakat bandar yang ingin menikmati hasil tanaman segar untuk kegunaan sendiri.
.
Bagi Kapten Abdul Hisyam Ghazali, 33, minat terhadap aktiviti berkebun mendorongnya mencuba sistem hidroponik di balkoni apartmennya di Puncak Alam, Selangor, sejak tahun lalu.
.
Menurut pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu, kaedah berkenaan dipilih kerana ia tidak memerlukan tanah selain lebih bersih dan mudah diurus berbanding penanaman secara konvensional.
.
"Saya tinggal di apartmen dan pada masa sama minat berkebun. Kerana ketiadaan tanah, saya cuba kaedah hidroponik di balkoni.
.
"Melalui sistem ini, saya hanya perlu memastikan paras air sentiasa mencukupi, periksa keadaan daun selain pastikan tiada serangan serangga. Penjagaannya juga tidak rumit," katanya.
.
Menurut Abdul Hisyam, antara tanaman yang sesuai diusahakan menggunakan sistem hidroponik di rumah ialah kangkung dan sawi kerana ia mudah dijaga serta mempunyai tempoh matang yang singkat.
.
Katanya, ruang sekecil kira-kira satu kaki persegi atau keluasan balkoni sedia ada sudah memadai untuk memulakan tanaman hidroponik, manakala kos permulaan juga tidak membebankan.
.
"Jika hendak bermula secara kecil-kecilan, modal di bawah RM50 pun sudah mencukupi. Peralatan asas yang diperlukan hanya bekas takungan air, net pot, span semaian, baja AB hidroponik dan benih sayur.
.
"Dalam tempoh 20 hingga 30 hari, tanaman sudah boleh dituai untuk kegunaan sendiri. Sekurang-kurangnya dapat mengurangkan sedikit perbelanjaan membeli sayur," katanya.
.
Bagaimanapun, Abdul Hisyam mengakui, kekangan masa menjadi cabaran utama memandangkan tugasnya ada kalanya memerlukan dia berada di luar kawasan dalam tempoh tertentu.
.
"Apabila bertugas di luar, saya minta bantuan isteri untuk memantau keadaan tanaman dan menambah air sekiranya perlu. Syukur, dengan kerjasama ini, tanaman dapat dijaga dengan baik," katanya.
.
Abdul Hisyam berkata, kegagalan juga adalah sebahagian daripada proses pembelajaran yang mana dia pernah berdepan masalah benih tidak bercambah akibat kualiti benih yang kurang baik.
.
"Sejak itu, saya lebih berhati-hati memilih benih yang berkualiti supaya kadar percambahan lebih baik dan tanaman dapat membesar dengan sihat," katanya.
.
Menurutnya, hidroponik bukan sekadar hobi hujung minggu, malah mampu menjadi gaya hidup masyarakat bandar yang ingin bercucuk tanam walaupun mempunyai ruang yang terhad.
.
"Selain menghasilkan sayur yang lebih bersih kerana tidak bersentuhan dengan tanah, tanaman hidroponik juga membesar lebih cepat kerana nutrien disalurkan terus melalui air.
.
"Pada masa sama, aktiviti berkebun juga menjadi terapi semula jadi yang membantu mengurangkan tekanan selepas seharian bekerja," katanya.
.
Abdul Hisyam turut menyarankan mereka yang ingin mencuba hidroponik supaya bermula secara kecil-kecilan dengan lima hingga 10 pokok menggunakan tanaman yang mudah seperti kangkung atau sawi.
.
"Bagi rumah yang mempunyai ruang terhad, gunakan rak bertingkat supaya lebih banyak pokok dapat ditanam tanpa memerlukan kawasan yang luas.
.
"Paling penting, jangan mudah berputus asa jika tanaman pertama tidak menjadi. Anggap kegagalan itu sebagai proses pembelajaran dan terus baiki teknik penjagaan," katanya.
Sumber : Harian Metro
#myDOA #PertanianBandar #KebunKendiriDOA



No comments:
Post a Comment