Monday, December 2, 2019

Revolusi Industri Pertanian 4.0 menjelang RMKe-12




REVOLUSI Industri Pertanian 4.0 mewarnai gaya hidup dan tindakan masyarakat dunia. Ia memerlukan semua pihak bertindak pantas seiring dengan pembangunan pesat dalam penghasilan  produk pertanian berteknologi dan sistem automasi yang lebih pintar. Menjelang 2020, Malaysia antara negara yang sedang bergerak ke hadapan dalam perkembangan Revolusi 4.0.




Secara umumnya, ia melibatkan Internet of Things (IOT) atau Internet Kebendaan dalam hampir semua aspek kehidupan seharian yang menjurus kepada elektrik dan revolusi industri ketiga yang lebih kepada penggunaan teknologi maklumat (IT). Contohnya masa kini kita mula berbicara mengenai perladangan pintar, jentera pintar, telefon pintar dan banyak lagi elemen pintar diterjemahkan dalam teknologi pintar melalui Industri Pertanian 4.0.


Malahan kini drone bukan sahaja digunakan untuk mengambil gambar dan video malah ia digunakan sebagai alat untuk memudahkan kerja-kerja seperti meracun dan membaja. Dalam masa yang sama kerja-kerja tersebut dapat dilaksanakan dalam masa yang singkat serta efisyen.




Revolusi Industri Pertanian 4.0 yang pada dasarnya lanjutan daripada Industri Pertanian 3.0 iaitu revolusi digital.

Satu teras utama dalam Revolusi Industri Pertanian 4.0 adalah kecerdasan buatan (Artificial Intelligence) atau AI. Menerusi AI, sistem fizikal siber dengan sistem boleh menghubungkan dunia digital, sistem fizikal dan manusia melalui internet. Data daripada manusia digunakan untuk peralatan pertanian berfungsi dengan lebih baik seperti apa yang berlaku dalam perladangan pintar segala kerja pemantauan penyakit, perosak, pembajaan & meracun hanya boleh dipantau dari rumah menggunakan telefon pintar.




Selain dari itu, teknologi Robotik Automasi pula berkeupayaan untuk beroperasi dalam ladang yang sama seperti apa dilakukan manusia. Teras-teras lain yang dikaitkan dengan Industri Pertanian 4.0 adalah Teknologi Pemprosesan Awan (Cloud) terutamanya dalam penyimpanan dan pemprosesan data. Manakala IoT yang menghubungkan deria pintar pada peralatan dengan sambungan internet.


Sekuriti Siber pula bagi melindungi data dan meminimumkan risiko dan Cetakan 3D yang memudahkan pembangunan prototaip. Realiti Maya pula dapat menyediakan maklumat visual secara maya. Manakala Realiti Berperantara yang menggabungkan dunia fizikal dengan dunia maya serta Analisis Data Raya (Big Data) yang menggunakan data dikumpul untuk penyediaan bekalan makanan dan melakukan unjuran pengeluaran hasil pertanian yang lebih tepat.


Kita seharusnya berbangga dengan kejayaan Veggie Factory yang telah dihasilkan. Namun sejauh mana rakyat Malaysia bersedia dan menyahut kecanggihan revolusi ini untuk merubah cara dan gaya pemakanan masa kini dan hadapan? Pada dasarnya usahawan sektor agromakanan Malaysia kini banyak bergantung kepada capaian internet. Maka usahawan agromakanan sebenarnya sudah bersedia untuk menjadi pemain dan pengerak revolusi baharu ini. Apatah lagi dengan pelancaran internet 5G yang berkelajuan tinggi menjadi pemangkin kepada kerancakan alaf revolusi pertanian 4.0 ini.






Secara sedar atau tidak cara pemakanan dan gaya hidup kita ditentukan oleh terknologi revolusi ini. Dengan peningkatan jumlah penduduk di Malaysia menjelang 2050, bekalan makanan juga perlu ditingkatkan bagi mengurangkan kebergantungan kepada import dan keluasan tanah pertanian yang semakin berkurangan. Justeru, mereka yang tidak mahu berubah akan diganggu dan ditinggalkan oleh teknologi baharu. Kepesatan teknologi sekarang bergerak begitu pantas dan seluruh dunia sedang bergelut untuk mencipta dan pencetus dalam menguasai teknologi ini.





Malaysia sepatutnya menggunakan peluang dan ruang sepenuhnya dan bergerak aktif menggunakan Revolusi Industri Pertanian 4.0. Sekiranya cabaran teknologi baharu yang kompleks itu tidak diberi penekanan sewajarnya, ia boleh menyebabkan Malaysia jauh ketinggalan dalam persaingan di peringkat global.

Idea perladangan pintar, dron, pertanian bertingkat serta Veggie Factory yang diperkenalkan oleh Jabatan Pertanian Malaysia merupakan langkah paling inovatif untuk menentukan bagaimana negara akan menjadi pemain signifikan dalam menjadi pengeluar makanan global  pada masa hadapan. Justeru, bidang agromakanan boleh menjadi sektor penting hadapi cabaran baharu Revolusi Industri Pertanian 4.0.







Disunting oleh : Yunif Ibrahim Ahmad





Wednesday, August 14, 2019

Taman Herba Bertam Pusat Khazanah Herba Untuk Generasi Akan Datang


Oleh : Yunif Ibrahim Ahmad







Pulau Pinang yang terkenal dengan jolokan ‘Pulau Mutiara’ sememangnya terkenal di kalangan pelancong tempatan dan asing. Nasi kandar, papadom dan pelbagai juadah makanan yang berasaskan rempah seperti pasembor dan roti canai serta banyak lagi mengamit kedatangan pelancong ke negeri itu yang selayaknya di katakan sebagai syurga makanan.



Bukan itu sahaja pelbagai destinasi tarikan pelancong terdapat di sini seperti pantai Batu Feringgi, jambatan Pulau Pinang, Bukit Bendera dan satu lagi tarikan terkini dalam sektor pertanian ialah Taman Herba Bertam.

Taman Herba Bertam adalah salah satu inisiatif Jabatan Pertanian yang telah mula dibangunkan untuk memartabatkan industri herba di Pulau Pinang dan Malaysia amnya. Taman ini seluas 2 hektar terletak di tengah-tengah bandar kepala batas kira-kira 500 meter dari susur keluar tol Bertam.



Tapak Taman Herba ini adalah merupakan bekas kompleks kuarters kakitangan Jabatan Pertanian yang terdiri daripada 6 unit bangunan (kelas a) di atas lot tanah milik persekutuan yang terbiar.




Sebagai langkah mengelakkan aktiviti negatif di kawasan tersebut, ia di bangunkan menjadi satu projek yang bakal memberi imej baru dan aura yang positif seperti Taman Herba ini.

Dengan objektif sebagai tempat pengumpulan maklumat-maklumat mengenai herba warisan melayu, aktiviti-aktiviti mendokumentasi, melindungi, memelihara serta memulihara tumbuh-tumbuhan herba yang kian pupus yang ada pada masa kini di jalankan.




Selain itu, taman ini berfungsi sebagai pusat pembelajaran herba dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terutama golongan muda agar menghargai dan memastikan khazanah alam ini terus terpelihara.




Satu rantaian bermula dari penanaman herba, pusat pemprosesan, perawatan dan penjualan produk serta makanan berasaskan herba diwujudkan agar pengunjung dapat merasa dekat dengan herba.

Selain penumpuan kepada herba, pengunjung juga boleh mempelajari dan mendekati aktiviti berasaskan kelulut. Terdapat galeri kelulut yang mempamerkan pelbagai informasi berkenaan penjagaan, kutipan madu dan lain-lain. Terdapat juga jualan madu kelulut serta produk berasaskan kelulut.


Sehingga kini pihak Taman Herba Bertam telah menjalankan usahasama dengan pihak Universiti Sains Malaysia, iaitu pengajian farmasi bagi menerbitkan maklumat rujukan berkenaan khasiat herba yang terdapat di taman herba ini.




Pihak USM akan memberi maklumat dari segi khasiat dan kegunaan herba yang terdapat disini dan pihak Jabatan Pertanian akan menambah dari segi maklumat botani dan agronomi. Diharap usaha ini akan berjalan lancar dan maklumat tersebut dapat diakses dan digunakan oleh pelawat yang datang ke taman ini.
Dalam taman herba diwujudkan sebuah pusat pengembangan teknologi herba yang menjalankan praktikal berkaitan dengan agronomi tanaman dan juga pembelajaran berkaitan khasiat herba. Disini juga turut menyediakan latihan teknologi herba kepada petani khususnya wilayah utara. Pusat pengembangan teknologi ini juga dilengkapi dengan kemudahan bagi mempelajari rawatan dan kaedah tradisional dengan menggunakan bahan berasaskan herba.

Pelaksanaan projek ini dijangka dapat menambahkan peluang-peluang baru di dalam mengembangkan industri herba dinegara kita. Orang awam juga dapat menikmati kemudahan yang disediakan dan mendapat manfaat dari segi pembelajaran, servis perawatan berasaskan herba, mengetahui maklumat berkenaan penghasilan produk herba dari awal hinggalah terhsailnya produk herba itu sendiri.

Selaras dengan hasrat dan wawasan kerajaan yang ingin menjadikan industri herba sebagai salah satu bidang ekonomi utama negara yang berpotensi untuk menjana pendapatan negara menjelang tahun 2020, diharapkan projek pelaksanaan taman herba bertam ini dapat menjadi projek perintis berkaitan herba bagi Rancangan Malaysia ke 12.