Monday, January 11, 2021

Usia bukan penghalang mengecapi kejayaan dalam bidang pertanian.

 Usia bukan penghalang mengecapi kejayaan dalam bidang pertanian.






Apabila pergi ke Kampung Kandis, Bachok Kelantan pasti orang kampung tersebut mengenali seorang anak muda yang gigih mengusahakan tanaman timun secara fertigasi.
.
Mengadaptasikan teknologi saliran baja melalui titisan, Abdullah Muaz Bin Sapuan 23 tahun berpendapat bidang pertanian ini adalah satu bidang kerjaya yang boleh menjamin pulangan yang lumayan.
.







Bermula pada usia 17 tahun, beliau telah mencari pengalaman dalam bidang pertanian dan pada tahun 2020 beliau telah berjaya mengusahakan sendiri penanaman sayuran buah seperti timun, petola dan cili.
.
Pemuda yang berasal dari Kampung Kandis, Bachok Kelantan ini menggunakan sepenuhnya tanah disekeliling rumahnya dengan penanaman sayuran buah menggunakan teknologi fertigasi gantung. Dari bimbingan Jabatan Pertanian Jajahan Bachok, beliau diberikan kursus dan pemantauan secara berkala oleh Agen Pengembangan Tanaman dan Pegawai Pertanian Jajahan Bachok yang sentiasa memberi tunjuk ajar berkenaan tanamam, pembajaan dan kawalan perosak secara bersepadu (IPM). Berlandaskan ilmu pengetahuan yang dipelajarinya, kini beliau mampu menghasilkan sayuran yang berkualiti dan selamat dimakan.
.


Untuk meyakinkan lagi pengguna, beliau sedang dalam usaha memperolehi pensijilan myGAP untuk meluaskan lagi pasaran hasil ladangnya ke pasaraya terkemuka negara.
.
Dalam lawatan Timbalan Ketua Pengarah Pertanian, En. Eliyas Saad bersama Pengarah Pertanian Negeri Kelantan ke ladang beliau, hasil yang dikeluarkan boleh mencecah sehingga 19.6 metrik tan semusim. Dengan harga purata RM2.00 /kg, beliau mampu memperoleh pendapatan mencecah lima angka dalam tempoh 3 bulan penanaman.
.
Menurut En. Eliyas Saad, pertanian kini mampu memberikan hasil yang lumayan kerana keperluan makanan untuk rakyat Malaysia sentiasa meningkat dan hasil pertanian dalam negara perlulah berkualiti dan selamat dimakan. Menyentuh soal itu, pengurusan perosak dan penyakit secara bersepadu (IPM) perlu diamalkan dimana penggunaan bahan kimia boleh dikurangkan.
.


Abdullah Muaz Sapuan kini mampu tersenyum lebar kerana bidang pertanian yang dipilih adalah bertepatan dengan masa kini dimana pengeluaran makanan adalah satu keperluan penting dalam menjamin sekuriti bekalan makanan negara.
.
Turut sama mengiringi lawatan Timbalan Ketua Pengarah Pertanian, En. Eliyas Saad adalah Pengarah Pertanian Negeri Kelantan, Puan Norbahani Zakaria, pegawai pertanian daerah Bachok serta pegawai-pegawai teknikal dari Jabatan Pertanian Negeri Kelantan.
.
Jabatan Pertanian Malaysia mengucapkan tahniah atas usaha Abdullah Muaz Sapuan, atas kejayaan beliau dalam menghasilkan sayuran yang segar, berkualiti dan selamat dimakan untuk rakyat Malaysia.
.
Semoga kisah beliau menjadi satu inspirasi kepada pemuda-pemuda lain yang masih mencari arah dan tujuan hidup.
.

Artikel dan foto oleh Yunif Ibrahim Ahmad.

#myDOA #TeamDOA #PertanianBandar #PertanianBandarDOA #TeamMafi #MAFIMalaysia #MAFIPrihatin #KeluargaMalaysia #KeluargaDOA #FoodSecurity