Friday, October 9, 2020

RAMPASAN RACUN PEROSAK TIDAK BERDAFTAR DI BAWAH AKTA RACUN MAKHLUK PEROSAK 1974







Seksyen Penguatkuasaan, Bahagian Kawalan Racun Perosak dan Baja, Jabatan Pertanian Malaysia dalam operasi yang dijalankan pada 6 Oktober 2020 telah membuat serbuan ke premis menjual dan menyimpan racun makhluk perosak dan merampas pelbagai racun makhluk perosak tidak berdaftar di sebuah premis di Rawang, Selangor. Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan  berjumlah RM476,760.00.


 

Premis ini dijadikan hub penyimpanan sebelum racun makhluk perosak tersebut dihantar dan diedarkan ke seluruh negara mengikut pesanan yang diterima. Racun makhluk perosak yang dirampas antaranya adalah bagi kegunaan kawalan rumpai dengan pelbagai jenama yang disyaki mengandungi perawis aktif Paraquat Dichloride yang tidak berdaftar dan telah diharamkan penggunaan di Malaysia mulai 1 Januari 2020. Pelbagai racun serangga berlabel tulisan negara jiran dan tidak berlabel disyaki merupakan racun tiruan turut dirampas di tempat kejadian.

 

Kes ini disiasat di bawah Akta Racun Makhluk Perosak 1974 mengikut seksyen 13(1)(b) iaitu iaitu mengilang racun makhluk perosak tidak berdaftar, seksyen 20(3) iaitu menjual racun makhluk perosak tidak berdaftar dan seksyen 53A(1)(a) iaitu memiliki racun makhluk perosak tidak berdaftar.

 

Bagi kesalahan di bawah seksyen 13(1)(b) boleh dihukum dibawah seksyen 13(2) akta yang sama iaitu bagi kesalahan kali pertama, dipenjarakan selama lima (5) tahun atau didenda  lima puluh ribu ringgit, bagi kesalahan di bawah seksyen  20(3) boleh dihukum dibawah seksyen 20(4) iaitu bagi kesalahan kali pertama, dipenjarakan selama tiga (3) tahun atau didenda sepuluh ribu ringgit. Manakala bagi kesalahan di bawah seksyen 53A(1)(a) boleh dihukum dibawah seksyen 53A(2) iaitu bagi kesalahan kali pertama, dipenjarakan selama satu (1) tahun atau didenda sepuluh ribu ringgit.

 

Kepentingan keselamatan makanan hasil pertanian akan sentiasa menjadi keutamaan. Pihak jabatan juga menasihatkan agar semua yang terlibat dengan aktiviti racun makhluk perosak hendaklah sentiasa patuh dengan kehendak di bawah Akta Racun Makhluk Perosak 1974. Pengguna dan petani dinasihat agar tidak mudah terpedaya dengan sindiket yang menjual racun makhluk perosak tidak berdaftar dan sentiasa menggunakan racun makhluk perosak yang berdaftar. Pengguna boleh mendapatkan maklumat racun makhluk perosak berdaftar dari Sistem Maklumat Racun Makhluk Perosak (SISMARP) yang boleh dilayari di laman sesawang Jabatan Pertanian Malaysia dipautan www.doa.gov.my.

 

Jabatan Pertanian sentiasa komited dalam membanteras penjualan dan penggunaan racun makhluk perosak tidak berdaftar. Sekiranya orang ramai mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti racun makhluk perosak yang melanggar kehendak              Akta Racun Makhluk Perosak 1974, sila laporkan kepada :

Jabatan Pertanian Malaysia,

Bahagian Kawalan Racun Perosak dan Baja, 

Tingkat 4-6 Wisma Tani, 

Jalan Sultan Salahuddin, Kuala Lumpur, 

Faks 03-2694 7001 

pro@doa.gov.my 



1 comment:

  1. Numpang promo ya Admin^^
    ingin mendapatkan uang banyak dengan cara cepat
    ayo segera bergabung dengan kami di ionpk.biz ^_$
    add Whatshapp : +85515373217 || ditunggu ya^^

    ReplyDelete