Wednesday, October 21, 2020

SKIM PENGESAHAN BENIH PADI JABATAN PERTANIAN

 





Benih Padi Sah merupakan benih daripada progeni benih asas atau daftar yang dikawal pengeluarannya mengikut prosedur tertentu bagi memastikan tahap ketulenan genetik dan diperakui di bawah Skim Pengesahan Benih Padi. Pengeluaran dan pembekalan benih padi sah telah dilaksanakan oleh pengeluar benih swasta yang telah dilantik oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Jabatan Pertanian berperanan sebagai agen pengesah yang menjalankan pemantauan dan pengauditan berpandukan kepada prosedur di dalam Standard Jabatan Pertanian Malaysia : Spesifikasi Pengeluaran Benih Padi (Oryza sativa) dan Malaysian Standard MS 469 : 2012 (Rice (Oryza sativa L.) inbred seed planting materials – Specification (Second revision). 



Pengeluaran benih padi sah bermula dengan pembangunan varieti baru yang superior oleh agensi penyelidikan seperti MARDI.  Pihak MARDI bertanggungjawab untuk menyediakan benih baikbaka dan pembekalan benih padi asas.  Benih asas akan dibekalkan kepada pengeluar benih swasta untuk mengeluarkan benih daftar dan seterusnya benih sah.


Proses pengeluaran benih sah adalah tertakluk kepada syarat dan prosedur yang telah ditetapkan di dalam Skim Pengesahan Benih Padi Sah (SPBP). Skim ini merupakan satu sistem kualiti kepada pengeluar benih padi swasta bagi mengeluar dan membekal benih padi untuk tujuan penanaman mengikut syarat dan piawaian yang ditetapkan. Aspek penting di bawah skim ini melibatkan pematuhan kepada ketetapan sumber serta generasi benih yang digunakan dan piawaian yang ditetapkan melalui pemeriksaan dan pengauditan yang dijalankan.



Pemeriksaan dan pengauditan akan dilaksanakan oleh Pegawai Inspektorat Bahagian Kawalan Kualiti Tanaman. Sebanyak 11 prosedur (SAP 1 hingga SAP 11) yang perlu dilalui oleh setiap pengeluar benih swasta. Aliran Kerja adalah seperti di Gambar Rajah 1. Antara elemen-elemen yang penting dalam pengeluaran benih sah adalah;

  • Tapak semaian dan ladang benih : Memenuhi jarak pemencilan dan kesempurnaan tapak.
  • Sumber kategori benih yang diperakui : Menanam dari sumber yang sah. Pembuktian sumber benih diwajibkan.  
  • Pemeriksaan ladang : Pemeriksaan ladang dijalankan di empat peringkat iaitu peringkat pra-tanam, tampang, berbunga dan pra-tuai. Ia bertujuan untuk memastikan varieti yang ditanam mengikut ciri-ciri varieti dan memenuhi piawaian ladang seperti yang ditetapkan dalam dokumen Standard Jabatan Pertanian Malaysia SJPM – 2009.
  • Pemeriksaan loji pemprosesan benih padi : Loji pemprosesan benih padi mestilah dalam keadaan bersih dan bebas daripada sebarang pencemaran atau percampuran varieti.
  • Ujian kualiti biji benih : Tiga jenis ujian yang dijalankan iaitu ujian ketulenan fizikal, kelembapan dan percambahan bertujuan untuk menentukan samada benih padi yang telah diproses mememenuhi piawaian minimum biji benih seperti yang ditetapkan dalam dokumen Standard Jabatan Pertanian Malaysia SJPM – 2009.
  • Pemeriksaan stor dan stok : Hanya benih padi yang telah mendapat perakuan sahaja ditawarkan untuk jualan. Lot benih padi mestilah dalam keadaan baik, teratur dan mudah dikesan.
  •  Label perakuan kualiti : Lot benih yang memenuhi piawaian mempunyai label perakuan kualiti benih yang ditetapkan.



Gambar Rajah 1 : Aliran Kerja Skim Pengesahan Benih Padi


Gambar Rajah 1 : Aliran Kerja Skim Pengesahan Benih Padi


Melalui skim SPBP ini, benih padi sah adalah dijamin untuk benih yang tulen, cergas dan tidak tercemar dengan bahan asing, rumpai dan padi angin serta tidak dijangkiti oleh penyakit berbahaya.  Ia merupakan kategori benih yang mempunyai potensi yang tinggi untuk tumbuh apabila ditanam di ladang. Ia boleh dikenali melalui ciri-ciri berikut:

i.     Benih padi sah dibungkus dalam beg khas dengan berat bersih 20 kg/beg

ii.     Beg benih padi sah  mempunyai jalur biru dan Logo Kerajaan Malaysia.

iii.   Setiap beg benih padi sah mempunyai label perakuan kualiti berwarna biru sebagai identiti produk.

 


Penggunaan benih padi sah adalah penting bagi mendapatkan tumbesaran tanaman yang seragam selain dapat mengelakkan pencemaran benih rumpai berbahaya, benih padi angin dan serangan penyakit berbahaya yang dibawa melalui benih.

 

Rujukan

(1)   Jabatan Pertanian Malaysia (2012) : Prosedur Skim Pengesahan Benih Padi Jabatan Pertanian Malaysia\

(2)   Portal Rasmi Jabatan Pertanian (n.d). Skim Pengesahan Benih Padi , Retrived from http://www.doa.gov.my/index.php/pages/view/407

 Disunting oleh Yunif Ibrahim Ahmad







1 comment:

  1. Izin promo ya Admin^^
    bosan tidak ada yang mau di kerjakan, mau di rumah saja suntuk,
    mau keluar tidak tahu mesti kemana, dari pada bingung
    mari bergabung dengan kami di ionqq^^com, permainan yang menarik
    ayo ditunggu apa lagi.. segera bergabung ya dengan kami...
    add Whatshapp : +85515373217 ^_~ :))

    ReplyDelete