Monday, January 14, 2019

RUMPUT NAPIER SEBAGAI SUMBER MAKANAN TERNAKAN



Kawasan penanaman rumput napier

Kerjasama Antara Agensi Kerajaan
Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani telah menerapkan kerjasama antara agensi-agensi di bawahnya dalam melaksanakan pelbagai program-program baru yang dibentuk khas bagi meningkatkan ekonomi dalam sektor pertanian Negara khususnya. Salah satu program yang telah diwujudkan adalah Program Projek Pembangunan Industri Tenusu Negara.
Projek ini merupakan projek khas yang dirangka oleh pihak kerajaan dalam memastikan pengeluaran susu lembu tempatan dapat ditingkatkan sejajar dengan permintaannya. Melalui projek ini, kerajaan telah menghasilkan satu kerangka program yang lebih bersifat holistik dan tersusun antara setiap agensi yang terlibat.


Napier Sebagai Sumber Makanan Ternakan
Secara umumnya, makanan ternakan merupakan faktor utama kepada dayamaju sesebuah projek ternakan tenusu. Makanan ternakan yang dibekalkan perlulah mencapai piawaian dan menepati kualiti yang diperlukan oleh ternakan tersebut bagi memastikan penghasilan susu segar dapat dihasilkan pada kadar yang optimum.
Sumber makanan yang baik perlulah mempunyai kombinasi kandungan protein kasar sebanyak 10% ke atas, peratus serat sebanyak 25% hingga 30%, kandungan tenaga sekurang-kurangnya 7.8 mJ, kandungan kalsium sebanyak 0.30% dan kandungan fosforus sebanyak 0.20%.
Dalam memenuhi keperluan kriteria pemakanan ternakan ini, tanaman pastura seperti Rumput Guinea (Panicum maximum), Rumput Napier (Pennisetum purpureum), Rumput Signal (Brachiaria decumbens) dan Rumput Humidicola (Brachiaria humidicola) merupakan sumber sedia ada utama di negara ini yang paling sesuai digunakan sebagai makanan ternakan tersebut.
Secara teorinya, anggaran berat makanan (napier) yang diperlukan bagi seekor lembu tenusu sehari adalah 10% daripada berat seekor lembu tenusu tersebut. Melalui data yang dikongsi oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar, purata anggaran berat seekor lembu tenusu adalah 350kg maka keperluan makanan lembu tenusu tersebut dalam tempoh sehari adalah sebanyak 35kg napier / hari. Seterusnya bagi tempoh setahun, seekor lembu tenusu memerlukan makanan (napier) sebanyak 12,775 kg napier / tahun.

Kawasan penanaman merupakan aktiviti paling penting dan harus dilakukan dengan sempurna

Pengurusan Ladang Napier 
Terdapat pelbagai varieti rumput napier yang boleh didapati di Malaysia, antara yang popular dan menjadi pilihan penternak adalah ialah Napier Pakchong, Napier Taiwan, Napier India, Napier Merah, Napier Uganda, Dwarf Napier dan Napier Australia. Setiap varieti napier ini mempunyai potensi hasil yang berbeza-beza. Melalui tinjauan terhadap industri yang dijalankan oleh Jabatan Pertanian, kebanyakan pengusaha napier mengesyorkan varieti jenis Napier Pakchong, Napier India dan juga Napier Taiwan sebagai pilihan utama mereka. Potensi pengeluaran hasil napier ini dijangka mencecah 160 tan / hektar / tahun bergantung kepada amalan pertanian baik yang dijalankan oleh pengusahanya.
Melalui pengurusan ladang yang baik jangka hayat rumput napier boleh mencecah sehingga 8 tahun sebelum proses penanaman semula dilakukan

Pada peringkat awal penanaman, para usahawan kebanyakannya akan mengalami masalah persaingan pertumbuhan rumput napier dengan rumput liar lain yang cuba mendominasi kawasan penanaman. Bagi mengatasi masalah ini, adalah disyorkan agar pengusaha menggunakan racun pra cambah sebelum kerja-kerja penanaman rumput napier dijalankan. Lazimnya di Malaysia, pengusaha ladang napier menggunakan tiga kaedah penanaman utama, iaitu penanaman secara tampang, perdu atau baris.
Melalui pengurusan ladang yang baik seperti pembajaan yang sempurna, pemberian bahan organik yang mencukupi, ragutan atau pemotongan yang berjadual dan sistematik serta kawasan ladang tidak terendam dalam banjir, jangka hayat rumput napier boleh mencecah sehingga 8 tahun sebelum proses penanaman semula dilakukan.
Rumput napier akan mulai rosak (rancid) dalam tempoh masa 5 hingga 6 jam selepas dipotong atau dituai. Oleh sebab itulah pemilihan lokasi penanaman rumput napier sebaiknya tidak melebihi 50 km daripada lokasi ladang ternakan fidlot. Selain daripada itu, kaedah menjeruk rumput napier atau silaj juga boleh dilakukan bagi mengekalkan kandungan nutrien dalam napier dan juga memanjangkan jangka hayat napier supaya masih boleh digunakan sebagai bahan makanan ternakan.

KESELAMATAN MAKANAN BERMULA DI LADANG


Produk pertanian yang berkualiti  bermula dari Amalan Pertanian Baik


Sektor pertanian merupakan nadi penting dalam membangunkan ekonomi negara. Ia menunjukkan potensi yang cerah apabila lebih banyak golongan muda melibatkan diri di dalam bidang ini. Sasaran kerajaan selepas ini adalah untuk memastikan negara menerajui pasaran eksport.

Ladang yang mengamalkan Amalan Pertanian Baik
Oleh itu sub sektor tanaman secara intensifnya melibatkan pengeluaran sayur-sayuran, buah-buahan dan bunga-bungaan yang diamalkan kini adalah secara berskala besar, dimana ianya memerlukan input-input pertanian yang moden dan berteknologi tinggi seperti baja, benih yang berkualiti, racun perosak dan lain-lain teknologi pertanian dalam menjamin pengeluaran yang tinggi dan berterusan.

 Faedah penggunaan racun perosak dalam pengeluaran tanaman memang tidak dapat dinafikan dan akan terus digunakan pada masa hadapan dalam memastikan pengeluaran makanan yang mencukupi dalam negara mahupun pasaran eksport.  Apa yang penting adalah bagi semua pihak samada pihak berkuasa, industri, badan-badan bukan kerajaan dan orang ramai memastikan penggunaan racun perosak secara berhemah dan bijaksana dalam konteks pembangunan lestari.
 
Pemeriksaan secara berkala dipremis menjual racun berdaftar
 Isu keselamatan hasil pertanian dari pasaran tempatan mahupun yang diimport adalah saling berkait dengan penggunaan racun perosak dan baja kimia. Input pertanian diperlukan dalam memastikan pengeluaran hasil pertanian adalah pada kadar yang optimum tanpa mendatangkan kerugian kepada pihak petani dan pengeluar akibat serangan perosak dan kekurangan nutrien. Walau bagaimanapun penggunaan racun perosak dan baja kimia yang tidak berhemah (tidak dikawal penggunaannya) serta tidak mengikut amalan pertanian yang baik boleh mendatangkan keburukan serta memudaratkan pengguna (consumer), pengendali (applicator) dan alam sekitar (environment).

Justeru itu Jabatan Pertanian Malaysia memainkan peranan penting dalam isu keselamatan makanan (food safety) dan jaminan bekalan makanan (food security) di negara ini. Antara program dan pelaksanaan akta berkaitan keselamatan makanan adalah seperti berikut:

Ø  Persijilan myGAP dan myOrganic.
Ø  Program pemantauan residu racun perosak dalam hasil
pertanian.
Ø  Penguatkuasaan Akta Racun Makhluk Perosak 1974.
Ø  Menyelaras penetapan Nilai Had Maksimum Residu
Racun Perosak dalam Makanan dibawah Akta Makanan
1983 yang dikuatkuasakan oleh pihak Kementerian
Kesihatan.
Ø  Menyediakan perkhidmatan analisis residu racun
perosak bagi hasil pertanian yang diekport  dan   
diimport.

Melalui pelbagai program dan penguatkuasaan akta tersebut pihak jabatan memandang serius terhadap isu keselamatan makanan bagi penduduk negara ini. Pihak jabatan dengan kerjasama pelbagai pihak dan agensi kerajaan lain tidak lepas tangan dalam memastikan kualiti dan keselamatan makanan yang dihasilkan dan diimport masuk ke dalam negara ini dipantau. Selain itu agensi utama yang lain turut menjalankan aktiviti ini adalah dibawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan yang akan mengambil sampel hasil pertanian di pasaran tempatan dan pintu-pintu masuk negara untuk tujuan pemeriksaan kandungan kontaminan di dalam makanan tersebut (termasuk analisis residu racun perosak dan logam berat).
Analisis kesan residu racun dimakmal

Selain itu pihak MAQIS (Malaysia Quarantine and Inspection Services) yang merupakan agensi di bawah Kementerian Pertanian diberi kuasa untuk mengambil sampel produk-produk pertanian yang diimport ke Malaysia untuk pemeriksaan lanjut di makmal sekiranya terdapat masalah berkaitan keselamatan makanan tersebut (sijil fitosanitasi dan perakuan makmal analisis residu racun perosak). 
Pemakaian yang bersesuaian dalam mengendalikan produk pertanian

Dilihat dari segi kawalan oleh pelbagai agensi terlibat dapat dirumuskan bahawa hasil pertanian yang dihasilkan oleh petani kita serta hasil yang diimport ke Malaysia adalah selamat dimakan kerana pelbagai keperluan domestik dan antarabangsa perlu dipatuhi oleh petani, pengeksport dan pengimport seperti yang disyaratkan berasaskan peraturan dibawah Perjanjian Sanitasi dan Fitosanitasi (Sanitary and pytosanitary Agreement), World Trade Organisation (WTO).

Monday, January 7, 2019

Farmers’ Field School (FFS) Jabatan Pertanian Melatih Usahawan Pakar Cili







Tanaman cili merupakan tanaman singkat masa yang boleh dituai dalam tempoh antara empat hingga enam bulan selepas ditanam dan merupakan perasa utama di dalam masakan rakyat Malaysia. Sehingga kini, jumlah keluasan bertanam cili di Malaysia telah mencapai 3,195 hektar. Sebanyak 33,755 metrik tan cili telah dihasilkan bagi tahun 2018.

Susulan daripada itu, antara inisiatif yang dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian bagi mempertingkatkan pengeluaran cili negara adalah melalui latihan atau kursus yang dilaksanakan melalui penubuhan Farmers Field School (FFS) atau dikenali sebagai Sekolah Ladang Petani. Kursus FFS ini adalah berkonsepkan pembelajaran berkumpulan meliputi kaedah-kaedah latihan secara amali di dalam musim penanaman mengikut kalendar tanaman secara hands-on sebagai tempat utama pembelajaran.

Sebanyak 13 modul telah dirangka dalam kursus FFS Cili ini yang merangkumi asas penanaman cili secara fertigasi seperti penyediaan media tanaman, pengurusan infrastruktur ladang, sistem pengairan dan saliran, pembajaan dan perosak tanaman dan penanaman di ladang. Selain itu, terdapat juga modul teknologi efektif mikroorganisma dan amalan pertanian baik seterusnya pemprosesan produk hiliran,  aliran kewangan dan pengendalian lepas tuai.
Sesi latihan hands on memudahkan peserta kursus  untuk mempraktikkan ilmu yang diperolehi.

 Kuliah diberikan berdasarkan keadaan sebenar di mana para peserta FFS dibimbing dalam membuat pemerhatian, analisis, perbincangan dan perbahasan bersama fasilitator yang cekap dari segi teknikal yang dipertanggungjawabkan mengetuai aktiviti kumpulan. Peserta dipilih akan mengikuti sepenuhnya kursus FFS sepanjang musim penanaman mengikut sukatan modul dan aktiviti berdasarkan kalendar tanaman. 

Pendekatan bersepadu dan dua-hala di antara peserta dengan fasilitator ditonjolkan dalam kursus ini di mana peserta yang terdiri daripada usahawan pakar bukan sahaja sebagai pelatih tetapi dapat menggunakan pengalaman mereka sebagai subjek latihan dan perbincangan. Pada akhirnya usahawan pakar yang dilatih akan membimbing 5 orang rakan usahawan yang lain dan bertindak sebagai dan Kontak Tani (contact farmer) dalam komuniti mereka sendiri.

Bagi memberi pengiktirafan kepada peserta kursus yang telah berjaya menamatkan kursus, satu Majlis Graduasi diadakan bagi setiap sub sektor tanaman terpilih. Para peserta graduan FFS telah mengamalkan teknologi yang dipelajari serta lebih peka dengan situasi penanaman cili fertigasi yang diusahakan. Mereka telah mewujudkan rangkaian komunikasi (group WhatsApp) mengenai perkembangan tanaman cili yang mereka usahakan serta saling bertukar maklumat  sesama mereka dan para pegawai Jabatan yang akan membantu dalam memberi khidmat nasihat teknikal.   

Kursus FFS ini diharap dapat melahirkan petani atau pengusaha contoh yang akan menjadi rujukan penanam lain bagi meningkatkan hasil, produktiviti pengeluaran dan menyokong memajukan industri tanaman cili melalui program penyampaian teknologi yang berkesan. Peserta program ini juga diharap dapat memainkan peranan dalam membantu menyebarluaskan ilmu yang diperolehi dikalangan rakan-rakan dalam komuniti dan saling menyokong antara satu sama lain untuk meningkatkan produktiviti hasil tanaman cili masing-masing.
Sistem fertigasi cili dalam Sistem Pelindung Hujan



PENJAGAAN CENDAWAN TIRAM KELABU


Usahawan Salak Mushroom Farm


               Cendawan Tiram Kelabu (Pleurotus pulmonarius) merupakan cendawan yang paling banyak diusahakan di Malaysia kerana faktor iklim di negara ini yang sangat sesuai dengan pengeluarannya. Permintaan Cendawan Tiram Kelabu juga lebih tinggi berbanding cendawan jenis lain kerana rasanya yang enak, harga yang berpatutan serta mudah digunakan dalam pelbagai menu hidangan seharian. Selain itu, bahan asas penyediaan media pengeluaran Cendawan Tiram Kelabu juga mudah diperolehi di negara ini.

Lazimnya pengusaha Cendawan Tiram Kelabu di Malaysia menggunakan beg media pengeluaran cendawan yang mengandungi substrat campuran habuk kayu getah, kapur pertanian dan dedak. Selepas beg media tersebut melalui proses penstrilan dan suntikan benih, beg media cendawan akan dimasukkan ke dalam rumah cendawan untuk tujuan pemeraman dan pengeluaran hasil.
           
Kaedah pengeluaran Cendawan Tiram Kelabu dengan menggunakan beg media cendawan mempunyai banyak kelebihan. Kaedah ini mampu mengurangkan risiko kontaminasi dalam beg media. Saiz beg media yang mudah dikendalikan pula membolehkan beg media tersebut ditempatkan atau disusun ditempat yang sesuai untuk tujuan pemeraman serta pengeluaran hasil. Selain itu, kaedah pengeluaran Cendawan Tiram Kelabu menggunakan beg media juga memudahkan para pengusaha dalam kerja-kerja mengawal penyakit dan perosak.

Secara umumnya, Cendawan Tiram Kelabu merupakan salah satu jenis cendawan yang paling mudah diusahakan dan bebas daripada sebarang penyakit. Namun begitu, kejayaan projek pengeluaran Cendawan Tiram Kelabu bergantung kepada kualiti benih cendawan, substrat beg media cendawan, kebersihan kawasan pemeraman beg media dan serangan serangga serta makhluk perosak yang akhirnya menjadi penyebab jangkitan penyakit kepada beg media pengeluaran cendawan.

Melalui pemerhatian yang dilakukan oleh Jabatan Pertanian, penyakit utama yang sering menyerang beg media Cendawan Tiram Kelabu adalah jangkitan kulat dan juga jangkitan bakteria.

Jangkitan kulat pada media tanaman
Jangkitan kulat boleh dikesan dengan cara membuat pemerhatian berkala kepada semua beg media cendawan yang telah melalui proses pensterilan dan juga suntikan benih. Kebiasaannya, jangkitan kulat mula dikesan semasa beg media berada dalam fasa pemeraman. Jangkitan kulat Trichoderma spp. dikesan apabila terdapat tompokan berwarna hijau dalam beg media manakala Jangkitan Penicillium spp. pula dikesan apabila terdapat tompokan berwarna biru.


Serangan bakteria
Jangkitan bakteria terhadap beg media cendawan juga seringkali dilaporkan. Simptom jangkitan bakteria yang paling mudah dikesan adalah terdapat tompokan berwarna kuning yang disebabkan oleh bakteria Pseudomonas agarici, tompokan berwarna coklat yang disebabkan oleh bakteria Pseudomonas strutzeri dan juga kesan berlakunya pereputan pada bahagian batang cendawan yang disebabkan oleh bakteria Pseudomonas alcaligens.






Masalah perosak dan penyakit kerap timbul dalam perusahaan cendawan adalah kerana faktor kelembapan tinggi dalam ruang pemeraman beg media cendawan. Kelembapan yang tinggi amat penting dalam pengeluaran Cendawan Tiram Kelabu. Namun begitu tanpa kawalan kebersihan yang sempurna, kelembapan yang tinggi ini boleh menjadi habitat semulajadi pembiakan serangga perosak dan penyakit.

Sifat cendawan yang menyerap kelembapan menyebabkan penggunaan bahan kimia dalam pengawalan perosak dan penyakit tidak dibenarkan sama sekali. Sekiranya berlaku serangan serangga perosak yang keterlaluan, para pengusaha hanya digalakkan menggunakan kaedah kawalan secara biologi seperti penanaman pokok-pokok berfaedah disekitar rumah cendawan dan kaedah kawalan secara manual seperti penggunaan perangkap serangga seperti perangkap lalat dan penggunaan stiker kuning.

Selain itu, pengusaha juga digalakkan menyelanggara rumah cendawan sebaiknya supaya berada dalam keadaan kalis serangga. Pengurusan serangga adalah penting kerana serangga merupakan agen utama penyebaran penyakit kepada beg media cendawan.

Para usahawan juga sentiasa diingatkan supaya menjaga kebersihan dalam segenap aspek pengurusan beg media cendawan bermula daripada penghasilan beg media cendawan, pengukusan, suntikan benih dan sehingga pengutipan hasil. Susun atur ladang cendawan yang melibatkan kawasan kerja tidak basmi kuman, sempadan kawasan basmi kuman dan kawasan basmi kuman sepenuhnya perlu jelas agar risiko serangan penyakit dapat dikurangkan. Sebarang pertanyaan lanjut mengenai cendawan, boleh diajukan kepada Pejabat Pertanian Daerah yang berhampiran atau boleh diajukan terus ke Seksyen Tanaman Industri, Bahagian Padi, Tanaman Industri dan Florikultur, Jabatan Pertanian Putrajaya di talian 03-8870 3290/ 3189/ 3050.

POTENSI CENDAWAN ORGANIK

Cendawan Lingzhi bermanfaat dalam bidang perubatan.



Suatu masa dahulu, para saintis pernah mengklasifikasikan cendawan di dalam kingdom tumbuhan yang mana ciri-cirinya cuba disamakan dengan tumbuhan tidak kompleks sebaris dengan alga, lumut dan juga paku pakis (fern). Namun begitu selepas beberapa ketika, para saintis telah mengeluarkan semula cendawan daripada kingdom tumbuhan dan dimasukkan ke dalam kingdom fungi kerana cendawan tidak menepati ciri-ciri di dalam kingdom tumbuhan seperti tidak berdaun, tidak berakar dan tidak mempunyai klorofil.

Terdapat pelbagai jenis dan bentuk cendawan yang wujud pada masa sekarang. Terdapat lebih kurang 1.5 juta spesis cendawan yang ada, hanya 80,000 spesis yang telah didokumenkan secara lengkap. Cendawan boleh dikategorikan kepada beberapa jenis bergantung kepada kegunaannya iaitu, kategori boleh dimakan, beracun dan untuk perubatan. Selain itu, terdapat lagi pelbagai spesis cendawan yang belum dikaji tentang khasiat dan kegunaannya. Maka dengan ini, masih banyak lagi ruang kajian mengenai kegunaan cendawan yang boleh diteroka bagi setiap jenis spesis cendawan yang wujud.

Cendawan tiram kelabu sesuai untuk dijadikan hidangan makanan.

Pertumbuhan suatu spesis cendawan itu bergantung kepada keadaan persekitaran di tempat pengeluarannya. Faktor penting yang mempengaruhi pengeluaran cendawan adalah suhu, kelembapan, jumlah pengamatan cahaya, kepekatan karbon dioksida dan juga sumber nutrien daripada bahan-bahan organik. Umum juga mengetahui bahawa cendawan bersifat saprofit. Cendawan mencerna bahan-bahan organan seperti habuk kayu, log-log kayu mati serta bahan-bahan kompos di sekitarnya dan nutrein tersebut digunakan sebagai makanan bagi kelangsungan hidupnya. Oleh yang demikian, cendawan sangat sinonim dengan agen pereputan bahan-bahan organan.

Pada masa kini, kebanyakan usahawan memilih penggunaan habuk kayu getah, tandan sawit kosong atau jerami padi sebagai media utama pengeluaran cendawan. Antara jenis-jenis cendawan yang diusahakan di Malaysia adalah Cendawan Tiram Kelabu (Pleurotus pulmonarius), Cendawan Shiitake (Lentinula endodes), Cendawan Lingzhi (Ganoderma spp.), Cendawan Jerami (Volvariella volvacea), Cendawan Milky (Calocybe indica) dan Cendawan Sisir (Schizophyllum commune). Dalam menjalankan projek pengeluaran cendawan, adalah penting bagi setiap usahawan memahami secara terperinci keperluan asas bagi pengeluaran cendawan. Secara umumnya, ia tidak memerlukan bahan-bahan kimia sebagai penggalak pengeluaran. Hal ini berbalik kepada sifat saprofit cendawan itu sendiri.
 
Cendawan tiram shiitake juga sesuai untuk dijadikan hidangan makanan dan mempunyai pelbagai khasiat kesihatan.
Pengeluaran cendawan secara organik merupakan salah satu peningkatan pencapaian kaedah pengeluaran cendawan. Idea pengeluaran cendawan secara organik wujud sejajar dengan permintaannya yang semakin meningkat pada masa kini. Pengeluar cendawan organik boleh menjual produk mereka pada harga premium mengikut jenis dengan syarat ladang pengeluaran cendawan mereka telah dianugerahkan sijil myOrganic serta masih dalam tempoh sah laku. Memandang positif perkara ini, Jabatan Pertanian giat mempromosikan kaedah pengeluaran cendawan organik dan usaha ini juga disokong dengan Program Pensijilan myOrganic. Sehingga kini, terdapat sebanyak 108 ladang cendawan yang telah mendaftar di bawah Program Pensijilan myOrganic, Jabatan Pertanian. Pengeluar cendawan organik kini terdapat di kebanyakan negeri di Malaysia, antaranya ialah Syarikat DXN Pharmaceutical Sdn. Bhd, Syarikat Ganofarm Sdn. Bhd., Syarikat QC Pertanian Trading, Vita Agrotech Sdn. Bhd., Peladang Setiu Agrotourism & Resort Sdn. Bhd,  dan banyak lagi. Senarai penuh ladang-ladang yang telah dianugerahkan sijil myOrganic Jabatan Pertanian boleh dirujuk di dalam laman web rasmi Jabatan Pertanian.
 
Produk cendawan organik oleh Syarikat Vita Agrotech
Pemilihan cendawan organik sebagai salah satu sumber makanan atau kegunaan harian merupakan satu pilihan yang bijak. Walaupun secara asasnya cendawan digunakan sebagai menu makanan, contohnya seperti Cendawan Tiram Kelabu, Cendawan Shiitake dan Cendawan Sisir, nilai nutrisi dan khasiat cendawan-cendawan ini adalah baik untuk kesihatan manusia. Melalui kajian-kajian yang telah dijalankan oleh Institut Pengajian Tinggi, Cendawan Shiitake mengandungi lentinan yang bertindak sebagai anti kanser. Cendawan Shiitake juga pernah digunakan sebagai bahan terapi imun kepada kanser paru-paru, kanser usus, kanser serviks dan kanser payudara. Lentinan di dalam Shiitake bertindak meningkatkan sistem imunisasi dengan merangsang limfosit dan makrofaj bagi melawan bakteria, virus, sel-sel tumor dan toksin. Seperti juga Shiitake, Cendawan Sisir juga mempunyai bahan aktif Schizophyllan yang boleh digunakan sebagai ubat antitumor. Ia juga mampu bertindak sebagai antiradangan, antibakteria dan antiparasit. Pengambilan Cendawan Sisir juga dipercayai mampu meningkatkan sistem imunisasi dan juga boleh melindungi hati (hepatoprotective).
Produk cendawan yang terdapat di pasaran.


Jabatan Pertanian Malaysia mengalu-alukan para usahawan yang berminat dalam mengusahakan cendawan organik. Terdapat pelbagai kursus-kursus menarik yang dianjurkan dari masa ke semasa. Sebarang pertanyaan lanjut mengenai cendawan, boleh diajukan kepada Pejabat Pertanian Daerah yang berhampiran atau boleh diajukan terus ke Seksyen Tanaman Industri, Bahagian Padi, Tanaman Industri dan Florikultur, Jabatan Pertanian Putrajaya di talian 03-8870 3290/ 3189/ 3050.


PENGURUSAN KELESTARIAN TANAMAN PADI MELALUI KITAR SEMULA JERAMI PADI






1.0       PENGENALAN
Jerami merupakan hasil sampingan usaha pertanian yang berbentuk batang, daun dan tangkai tanaman setelah biji-bijian dipisahkan.  Sebelum zaman perindustrian, jerami kering diguna secara meluas oleh petani termasuk dijadikan bahan api, alas lantai atau katil, penyapu, makanan ternakan, kompos dan bahan binaan ringan seperti bumbung rumah. 
Menurut kajian di Indonesia, berat jerami adalah lebih kurang 1.4 kali daripada hasil tuaian biji padi.  Maka, daripada 5 tan/ha hasil tuaian, sebanyak 7.5 tan jerami dihasilkan.  Kandungan unsur yang terdapat dalam jerami adalah 0.5-0.8% N, 0.07-0.12% P, 1.2-1.7% K, 0.05-0.10% S dan 4-7% Si.  Ini bererti dalam 7.5 tan jerami mengandungi 37.5-60 kg N, 5.25-9 kg P, 90-127.5 kg K, 3.75-7.5 kg S dan 300-525 kg Si.   

2.0       KAEDAH PENGURUSAN JERAMI PADI SEMASA
Di Malaysia, kaedah pengurusan jerami padi adalah melalui :
i.                 Pembakaran
Pembakaran dapat menghapuskan jerami dengan cepat, pada masa yang sama membunuh patogen tanah serta merangsang percambahan benih rumpai dan padi angin.  Akan tetapi, pembakaran terbuka menyebabkan pencemaran alam sekitar dan hasil pembakaran mengadungi unsur K yang tinggi (8.2%) dan ini akan menjejaskan kadar percambahan benih padi.

ii.               Dikumpul dan dikeluarkan untuk dijadikan makanan ternakan atau kompos
Kaedah ini dapat menghapuskan jerami dengan cepat tetapi akan membawa keluar unsur-unsur penting seperti N, P, K, S, Si, Ca dan Mg.

iii.              Dibiarkan mereput di dalam sawah
Kaedah ini sering berlaku terutamanya pada musim hujan di mana jerami tidak dapat dibakar dalam keadaan basah.  Ini akan menimbulkan masalah pereputan jerami dalam tanah dan membebaskan gas berasid/beracun yang akan merosakan tanah dan akar pokok padi.  Selain itu, penguraian jerami yang tidak lengkap akan meninggalkan sisa dan ini boleh menyebabkan stuktur tanah menjadi lemah dan lama-kelamaan tidak dapat menyokong berat mesin dan jentera. 

3.0       KITAR SEMULA JERAMI PADI
Nisbah C/N jerami padi adalah 48 manakala sekam padi 171.  Nisbah C/N yang sesuai untuk tanaman adalah antara 25–30.  Untuk tanaman padi, nisbah C/N yang lebih rendah iaitu 8-10 diperlukan kerana sawah terendam dalam air pada kebanyakan masa (anaerobik).  Maka, jerami padi tidak sepatutnya dibakar, dibawa keluar atau dibiar mereput di dalam sawah dan sebaliknya perlu diurus dengan baik melalui proses kitar semula dan seterusnya diguna balik untuk manafaat tanaman padi. 


3.1       Kemudahan dan Bahan
a. Bengkel berbumbung dan berlantai simen
b. Mesin mengumpul & memotong jerami
c. Bahan mentah – jerami : dedak : mikrob penguraian (1,000 : 40 : 0.2)
*Bahan-bahan mentah ini boleh diubahsuai mengikut kedapatan sisa organik tempatan bagi mengurangkan kos.
3.2       Kaedah pelaksanaan
Bahan-bahan mentah digaul rata sambil disembur dengan larutan mikrob aktif.  Campuaran bahan-bahan kemudian dilonggokkan pada ketinggian sekurang-kurangnya 1.5 – 2 meter.  Longgokan dialih 2 kali dengan selang 7 hari sekali.  Proses alihan diperlukan untuk membekal oksigen kepada mikrob di samping mengaul rata bahan-bahan mentah untuk memudahkan penguraian.  Proses penguraian jerami padi dikawal pada kelembapan 55 – 65% dengan suhu 65 - 75oC dalam tempoh 21 hari.
3.3       Aplikasi pada tanaman padi
Hasil penguraian jerami padi diguna pada kadar 2 tan/ha untuk mengembalikan sebahagian nutrien yang penting pada tanaman padi seperti NPK, Ca, Mg, S dan Si.  Selain itu, kandungan mikrob dalam hasil penguraian ini juga dapat merangsang percambahan biji benih rumpai dan padi angin yang terdapat dalam tanah.  Rumpai dan padi angin yang bercambah seterusnya dibuang melalui pembajakan atau meracun sebelum penanaman.  Pada jangkaan, kaedah ini dapat mengurangkan rumpai dan padi angin sehingga 80% sekiranya digunakan berterusan 3-4 musim di samping membekal nutrien penting pada pokok padi terutamanya Silikon (Si).



4.0       KESIMPULAN
Kitar semula jerami padi menjadi tumpuan kajian negara pengeluar padi utama dunia.  Ini kerana ia dapat membekalkan nutrien pada tanaman padi dalam konteks penjimatan kos baja dan juga dapat menyelesaikan masalah yang disebabkan pereputan jerami dalam kawasan padi.  Maka, aktiviti ini adalah sangat penting dalam pengurusan kelestarian tanaman padi.



Monday, May 28, 2018

PELUANG PELABURAN DALAM SEKTOR PERTANIAN




Sektor pertanian bukanlah satu bidang yang baru. Sejajar dengan keperluan dan kebergantungan kepada makanan penduduk dunia, sektor ini terus berkembang. Senario sektor pertanian ini perlu dicorakkan supaya ianya menjadi lebih dinamik. Daripada kedudukan sebagai pengeluar agro-makanan sehinggalah kepada penyelidikan untuk menghasilkan makanan yang boleh ditanam di angkasa lepas. Perkara yang mustahil pada masa kini mungkin boleh menjadi kenyataan pada 1000 tahun akan datang.


Oleh itu, satu persatu peluang pelaburan dalam bidang pertanian muncul mewarnai industri. Penglibatan belia dalam sektor ini juga menjadikan pertanian sebagai sebuah sektor yang semakin berdaya saing, semakin berkembang malah menjadi trending dengan adanya media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan sebagainya menjadi platform promosi, pengiklanan dan online business. Golongan muda tidak lagi malu untuk menceburi bidang ini malah menjadikan ia pilihan kerjaya utama, walaupun ada diantaranya adalah graduan dari universiti dalam dan luar negara. Malah, bidang ini turut menjadi pilihan oleh para professional memandangkan kepada potensi sektor dan rasa tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia bagi menjamin bekalan makanan yang mencukupi dan selamat dimakan selain daripada meningkatkan sumbangan kepada pendapatan negara.  

Ini melibatkan keseluruhan rantaian pengeluaran makanan, melibatkan benih  tanaman yang berkualiti, input-input pertanian, teknologi terkini, logistik, mekanisasi, penyelidikan terutamanya dalam bidang farmaseutikal, pemprosesan termasuk makanan ternakan, agropelancongan, pemasaran atas talian, dan banyak lagi.


Syarikat-syarikat swasta bukan pertanian juga turut menceburi serta membangunkan dan memeriahkan lagi sektor pertanian negara.  Ini secara tidak langsung memberi gambaran bahawa sektor pertanian mempunyai peluang dan potensi yang amat luas dan menguntungkan. Penglibatan syarikat-syarikat ini bermula dengan membuka kawasan pertanian baru dan seterusnya menjadi anchor company yang samaada secara menaungi pengusaha-pengusaha kecil pertanian, ataupun memilih skala perniagaan yang lebih besar contohnya salah satu syarikat pelaburan hartanah terkemuka negara yang mengusaha tanaman mangga dan pitaya.



Selain itu, ia mewujudkan peluang baru untuk graduan IT yang berminat untuk mencipta lebih banyak aplikasi pertanian, kalkulator pertanian, aplikasi kalender tanaman,
dan pelbagai jenis aplikasi yang boleh dimanfaatkan oleh pengguna di luar sana. Penduduk kota yang berminat dalam pertanian juga mempunyai peluang untuk bertani secara vertical farming, veggie factory, mini hydroponic, atau boleh sahaja mula menanam dalam bekas-bekas  kecil, botol-botol minuman yang dibuang, atau apa sahaja alat yang boleh diguna semula. Ia boleh dimulakan sebagai hobi, seterusnya sebagai langkah berjimat cermat, kemudian ia boleh menjadi sumber pendapatan! Tambahan pula, kombinasi 3R (Reduce, Reuse and Recycle) untuk menjimatkan kos dan DIY (Do It Yourself) membuatkan kita lebih berkreativiti, dan aktiviti ini boleh dijadikan pilihan masa lapang bersama keluarga dan anak-anak. Ia salah juga satu alternatif untuk menanam minat anak-anak dalam bidang pertanian di samping menyediakan pelapis tani negara pada masa akan datang.

 “Pertanian adalah perniagaan”. Andalah penyambung legasi pertanian negara. Malaysia mampu menjadi pengeluar utama dunia bagi komoditi-komoditi pertanian tertentu dengan usaha sama kita semua. Untuk sebarang pertanyaan, perkongsian maklumat dan idea, atau cadangan inovasi yang ingin anda bangunkan, anda boleh menghubungi Pejabat Pertanian Daerah yang berdekatan, atau boleh melayari website Jabatan Pertanian di www. doa.gov.my untuk maklumat lanjut.