Monday, April 5, 2021

PROGRAM LADANG KONTRAK BANTU USAHAWAN AGROMAKANAN ATASI MASALAH PEMASARAN

 



PROGRAM LADANG KONTRAK

PENGENALAN LADANG KONTRAK

·   Dalam RMKe-9, sektor pertanian telah diberi tumpuan yang khusus khasnya kepada aktiviti-aktiviti yang boleh membantu kerajaan untuk menjadikan sektor pertanian sebagai jentera pertubuhan ekonomi ketiga Negara.

    Penekanan diberi kepada bidang pengeluaran berkualiti dan nilai tambah yang tinggi menerusi aktiviti seperti penggredan, pembungkusan, pelabelan dan penjenamaan serta pemasaran yang teratur.

·   Tumpuan program/aktiviti yang selaras dengan plan Balance of Trade (BOT) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

·   Pendekatan secara bersepadu di antara Jabatan / Agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri  Asas Tani.

DEFINISI LADANG KONTRAK

 Satu ikatan persetujuan di antara pemasar dengan pengeluar melalui:-

 FAMA menjamin pasaran melalui belian terus berasaskan terma dipersetujui 

 

Atau

 

FAMA mengatur pasaran

 

Atau

 

FAMA menjadi fasilitator kepada jabatan yang membimbing peserta yang berurusan terus dengan pemasar di mana petani perlu membekalkan produk mengikut spesifikasi yang dinyatakan dalam terma perjanjian yang dipersetujui bersama.

 

OBJEKTIF LADANG KONTRAK

·         Menjamin pasaran dan meningkatkan pendapatan pengeluar.

·         Mempertingkatkan pengeluaran buah-buahan dan sayur-sayuran.

·         Memastikan pengeluaran hasil pertanian yang berkualiti dan menepati kehendak pasaran.

·         Mempertingkatkan pemindahan teknologi di sepanjang rantaian bekalan.

 

 

FAEDAH LADANG KONTRAK

 Petani / Usahawan

·         Petani mendapat jaminan pasaran ke atas produk yang dikeluarkan.

·         Menjana dan menambah pendapatan.

·     Jaminan bantuan khidmat nasihat teknikal dan pengurusan ladang yang lebih sistematik        daripada jabatan dan agensi.

·       Jaminan kemudahan kredit input kepada ahli Pertubuhan Peladang Kawasan.

·       Menikmati peluang kursus dan latihan untuk meningkatkan motivasi serta pengetahuan dalam bidang pertanian.

 

Pembeli

·       Mendapat bekalan yang berkualiti dan berterusan pada masa yang diperlukan mengikut spesifikasi pasaran.

 

Penentuan Harga Belian

·      Terdapat 2 Kaedah belian produk Ladang Kontrak iaitu :

                            i.          Belian pada harga tetap

                           ii.         Belian pada harga semasa, disokong dengan harga lantai

 

 

 

PERKHIDMATAN YANG DISEDIAKAN OLEH JABATAN / AGENSI DI BAWAH PROGRAM LADANG KONTRAK

 

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA)

  •          Jaminan Pasaran
  •          Insentif Bimbingan
  •          Pengaturan Pasaran
  •          Khidmat Sokongan Pemasaran

 

Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP)

  •          Pembiayaan Infrastruktur Asas
  •          Penyaluran Input Awal
  •          Pembiayaan Infrastruktur Pengeluaran Dan Pemasaran
  •          Pengaturan Program Latihan

 

Jabatan Pertanian (DOA)

  •          Khidmat Nasihat Perkembangan
  •          Bantuan Insentif Pertanian
  •          Latihan dan Kursus Teknikal dan Motivasi
  •          Penyertaan Skim MyGAP

 

Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM)

  •          Bantuan Input Pertanian
  •          Bantuan Bahan Input Tambahan
  •          Kemudahan Infrastruktur

 

Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI)

  •          Research And Development
  •          Perkhidmatan Bimbingan
  •          Program Latihan

 

AGROBANK

  •          Menyediakan dan mempermudahkan skim pembiayaan kemudahan kredit

 

 

 

KOMODITI YANG TERPILIH DI BAWAH LADANG KONTRAK

 

12 Jenis  Sayur-Sayuran Yang Tersenarai iaitu :-

 

  1. ·         Bendi                     : Hijau (5 Segi)
  2. ·         Cili                         : Kulai, Batu Pahat, Minyak, Korean Hot (Hybrid)
  3. ·         Halia Tua               : Bentong
  4. ·         Kacang Buncis      : White Flower/Putih
  5. ·         Kacang Panjang     : 388, 328
  6. ·         Kobis                     : KY Cross (Tanah Tinggi), Tropicana
  7. ·         Ketola Segi            : Tempatan Terpilih, F1 (Thailand-Hijau/Putih)
  8. ·         Terung                   : 302, 312, 1540
  9. ·         Timun                    : 118, 980
  10. ·      Tomato                    : Holand: 1039, 322, 263, Denmark 163, Baccarat (Sistem Fertigasi)
  11. ·         Labu                       : Taiwan 767, 868
  12. ·         Cendawan              : Shiitake (Sabah)

 

 

 

17 Jenis  Buah-Buahan Yang Tersenarai iaitu :-

 

·         Belimbing             : B10, B17

·         Betik                     : Eksotika, Sekaki/Hong Kong, Subang/Batu

·         Durian                  : D197, D24, D99 & Klon

·         Jambu Batu          : Thai Tanpa Biji, Kampucea GU 8, Klom Toon Klau GU 9, Klom GU 10

·        Limau                  : Bali P056/Melomas, Bali P051/Sha Ting, Bali P052/Tambun, Madu, M33                                 (Limau Wangi Malaysia)

·         Mangga                : MA224 (Chokanan), MA128 (Harumanis), Sala

·         Nanas                   : Morris Josaphine, N36, Gandul, MD2

·         Nangka                 : J31/Ns1, J29, J33 (Tekam Yellow), J37(Mastura)

·         Cempedak            : CH1, CH27, CH28, CH32, CH34 (Singkir), CH 38 (Cempedak Durian)

·         Pitaya                   : Isi Merah, Isi Putih

·         Pisang                   : Berangan, Mas, Cavendish, Tanduk/Lang, Rastali, Nipah

·         Rambutan             : Anak Sekolah, Deli

·         Tembikai              : Merah Tanpa Biji, Wangi, Golden Langkawi, Rock Melon, Apollo

·         Longan                 : Edaw (Sarawak)

·         Dokong                 : D02 (Dokong Kering)

·         Manggis                : GA2 (Mesta)

·         Dabai (Sarawak)

 

 

 

 

6 Jenis  Tanaman Yang Tersenarai iaitu :-

 

·         Jagung Manis          : F1 522, 969

·         Keledek                   : VitAto, Tempatan Terpilih

·         Roselle                    : UM-UKL 1

·         Ubi Kayu                 : Kuning, Putih, Sri Pontian

·         Tebu                         : Tebu Telur

·         Kelapa                     : Matag & Kelapa (Santan)

 

 

 

2 Jenis  Bunga-Bungaan Yang Tersenarai iaitu :-

 

·         Orkid

·         Temperate Flowers – Kekwa

 

*Nota : Tanaman Bunga-Bungaan hanya dimasukkan jika petani ada hubungan pemasaran dengan Pengeksport


10 Jenis  Tanaman Herba Yang Tersenarai iaitu :-

 

·         Misai Kucing

·         Kacip Fatimah

·         Tongkat Ali

·         Dokong Anak

·         Hempedu Bumi

·         Halia

·         Pegaga

·         Limau Purut

·         Mengkudu

·         Mas Cotek

 

*Nota : Tanaman Herba hanya dimasukkan jika petani ada hubungan pemasaran dengan Pemproses/Kilang

 

 

 

 

SYARAT-SYARAT MENYERTAI LADANG KONTRAK

 

·         Individu Perseorangan / Kelompok Petani / Syarikat.

·         Memiliki kawasan tanah tapak projek dengan pemilikan / sewaan yang sah disisi undang-undang.

·         Terlibat secara langsung dan sepenuh masa dalam projek tanaman yang diusahakan.

·         Berpengalaman dalam pengeluaran komoditi buah dan sayur yang diusulkan.

·         Mempunyai modal kerja yang mencukupi.

 

 

 

CARA PERMOHONAN

 

  • Permohonan untuk menyertai LAdang Kontrak boleh di pohon di semua Jabatan dan Agensi di bawah Kementerian Pertanian yang berdekatan : -

  • 1.       Jabatan Pertanian (DOA)
  • 2.       Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) / Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP)
  • 3.       Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM)
  • 4.       Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA)
  • 5.       Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah (KPIM Sabah)
  • 6.       Kementerian Permodenan Pertanian Sarawak (KPP Sarawak)

 

UNTUK KETERANGAN LANJUT BOLEH KLIK DISINI (PORTAL RASMI FAMA)


disedikan oleh : Yunif Ibrahim Ahmad

Monday, March 1, 2021

Mini Fertigasi satu kaedah teknologi penyiraman secara automatik. Kini anda tidak perlu risau jika balik ke kampung tanpa menyiram tanaman dihalaman rumah.

Mini Fertigasi satu kaedah teknologi penyiraman secara automatik. Kini anda tidak perlu risau jika balik ke kampung tanpa menyiram tanaman dihalaman rumah.

.

Pelbagai kaedah atau teknik penanaman boleh dipraktikkan bagi masyarakat bandar. Salah satu daripada kaedah tersebut ialah menggunakan kaedah mini fertigasi pertanian bandar.
.
Kaedah ini tidak memerlukan kawasan tanah yang luas. Sebaliknya, ia hanya memerlukan peralatan pertanian kaedah mini fertigasi.
.

Saksikan bagaimana menghasilkan satu set mini fertigasi yang mudah untuk anda praktikkan dihalaman rumah anda.

#myDOA



Monday, February 15, 2021

Tanam menggunakan nutripot menghilangkan pening untuk menyiram setiap hari.

Tanam menggunakan nutripot menghilangkan pening untuk menyiram setiap hari.



Kaedah penanam menggunakan Pasu Nutripot adalah sangat mudah dan dapat mengatasi masalah kekerapan menyiram tanaman. Anda hanya perlu memastikan air yang mencukupi agar tanaman anda segar dan dapat mengeluarkan hasil yang baik.
.
Kaedah ini amat bersesuaian bagi anda yang bekerja dan tidak mempunyai masa untuk menyiram tanaman anda.
.
Bagi mengetahui kaedah yang betul dan tepat dalam penyediaan bekas tanaman ini, video ini menunjukkan langkah-langkah yang perlu dilakukan agar tanaman anda sentiasa segar dan boleh menghasilkan bahan makanan hanya dari halaman rumah.

#myDOA #TeamDOA #PertanianBandar #PertanianBandarDOA #TeamMafi #MAFIMalaysia #MAFIPrihatin #KeluargaMalaysia #KeluargaDOA #FoodSecurity





 

Monday, February 8, 2021

Tiga Tips menanam dalam bekas tanaman agar pokok lebih banyak dan jimat ruang.

.
.
.
.
.
.
.
Planter Box atau bekas tanaman memang tidak asing lagi bagi yang warga Malaysia yang mencintai flora dan mempunyai hobi menanam di sekitar rumah. Tapi tahukah anda cara dan kaedah yang betul untuk menanam dalam bekas ini??
Didalam video ini terdapat 3 tips penanaman yang boleh anda lakukan dengan menggunakan 'Planter Box' ini...
Nak tahu apa kaedahnya ??? saksikan video ini...

#myDOA #TeamDOA #PertanianBandar #PertanianBandarDOA #TeamMafi #MAFIMalaysia #MAFIPrihatin #KeluargaMalaysia #KeluargaDOA #FoodSecurity




Monday, January 11, 2021

Usia bukan penghalang mengecapi kejayaan dalam bidang pertanian.

 Usia bukan penghalang mengecapi kejayaan dalam bidang pertanian.






Apabila pergi ke Kampung Kandis, Bachok Kelantan pasti orang kampung tersebut mengenali seorang anak muda yang gigih mengusahakan tanaman timun secara fertigasi.
.
Mengadaptasikan teknologi saliran baja melalui titisan, Abdullah Muaz Bin Sapuan 23 tahun berpendapat bidang pertanian ini adalah satu bidang kerjaya yang boleh menjamin pulangan yang lumayan.
.







Bermula pada usia 17 tahun, beliau telah mencari pengalaman dalam bidang pertanian dan pada tahun 2020 beliau telah berjaya mengusahakan sendiri penanaman sayuran buah seperti timun, petola dan cili.
.
Pemuda yang berasal dari Kampung Kandis, Bachok Kelantan ini menggunakan sepenuhnya tanah disekeliling rumahnya dengan penanaman sayuran buah menggunakan teknologi fertigasi gantung. Dari bimbingan Jabatan Pertanian Jajahan Bachok, beliau diberikan kursus dan pemantauan secara berkala oleh Agen Pengembangan Tanaman dan Pegawai Pertanian Jajahan Bachok yang sentiasa memberi tunjuk ajar berkenaan tanamam, pembajaan dan kawalan perosak secara bersepadu (IPM). Berlandaskan ilmu pengetahuan yang dipelajarinya, kini beliau mampu menghasilkan sayuran yang berkualiti dan selamat dimakan.
.


Untuk meyakinkan lagi pengguna, beliau sedang dalam usaha memperolehi pensijilan myGAP untuk meluaskan lagi pasaran hasil ladangnya ke pasaraya terkemuka negara.
.
Dalam lawatan Timbalan Ketua Pengarah Pertanian, En. Eliyas Saad bersama Pengarah Pertanian Negeri Kelantan ke ladang beliau, hasil yang dikeluarkan boleh mencecah sehingga 19.6 metrik tan semusim. Dengan harga purata RM2.00 /kg, beliau mampu memperoleh pendapatan mencecah lima angka dalam tempoh 3 bulan penanaman.
.
Menurut En. Eliyas Saad, pertanian kini mampu memberikan hasil yang lumayan kerana keperluan makanan untuk rakyat Malaysia sentiasa meningkat dan hasil pertanian dalam negara perlulah berkualiti dan selamat dimakan. Menyentuh soal itu, pengurusan perosak dan penyakit secara bersepadu (IPM) perlu diamalkan dimana penggunaan bahan kimia boleh dikurangkan.
.


Abdullah Muaz Sapuan kini mampu tersenyum lebar kerana bidang pertanian yang dipilih adalah bertepatan dengan masa kini dimana pengeluaran makanan adalah satu keperluan penting dalam menjamin sekuriti bekalan makanan negara.
.
Turut sama mengiringi lawatan Timbalan Ketua Pengarah Pertanian, En. Eliyas Saad adalah Pengarah Pertanian Negeri Kelantan, Puan Norbahani Zakaria, pegawai pertanian daerah Bachok serta pegawai-pegawai teknikal dari Jabatan Pertanian Negeri Kelantan.
.
Jabatan Pertanian Malaysia mengucapkan tahniah atas usaha Abdullah Muaz Sapuan, atas kejayaan beliau dalam menghasilkan sayuran yang segar, berkualiti dan selamat dimakan untuk rakyat Malaysia.
.
Semoga kisah beliau menjadi satu inspirasi kepada pemuda-pemuda lain yang masih mencari arah dan tujuan hidup.
.

Artikel dan foto oleh Yunif Ibrahim Ahmad.

#myDOA #TeamDOA #PertanianBandar #PertanianBandarDOA #TeamMafi #MAFIMalaysia #MAFIPrihatin #KeluargaMalaysia #KeluargaDOA #FoodSecurity

Friday, November 6, 2020

Pertanian Bandar mampu membantu isi rumah bandar meringankan kos sara hidup




Pertanian Bandar adalah aktiviti menanam tanaman di kawasan bandar dan pinggir bandar menggunakan kaedah penanaman seperti pertanian secara menegak (vertical farming), hidroponik, Nutrient Film Technique (NFT) atau secara konvensional di ruang yang terhad bagi menghasilkan makanan sendiri.

Di dalam konteks Jabatan Pertanian, Pertanian Bandar merupakan satu program membantu isi rumah bandar meringankan kos sara hidup melalui pengeluaran sendiri bahan makanan yang diperlukan seperti sayur-sayuran dan ulaman melalui bimbingan Jabatan Pertanian. Projek Pertanian Bandar boleh disertai oleh rakyat Malaysia di kawasan bandar dan pinggir bandar terutamanya dalam kumpulan B40. Disamping itu, Jabatan Pertanian juga memberi peluang kepada rakyat untuk menyertai projek ini melalui pendekatan 4 kategori projek iaitu perumahan individu, komuniti, sekolah dan institusi. Objektif utama program ini ialah bagi membantu rakyat dari segi menggalakkan rakyat menanam dan mengeluarkan sendiri bahan makanan yang mencukupi, berkualiti dan selamat dimakan. Disamping itu juga dapat ia secara tidak langsung dapat menambah pendapatan harian melalui lebihan hasil pertanian seterusnya membantu mengurangkan kos sara hidup di bandar. Jabatan Pertanian telah melaksanakan Kajian Impak Projek Pertanian Bandar di Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Ogos 2017 untuk menilai keberkesanan projek ini dalam membantu masyarakat bandar meringankan kos sara hidup mereka. Temuan kajian mendapati bahawa peserta projek telah dapat menjimatkan perbelanjaan dapur bagi kepeluan sayur-sayuran/ulam-ulaman sebanyak RM110/bulan setelah menyertai pogram ini. Jabatan Pertanian akan memberi khidmat nasihat dan aktiviti pengembangan sebagai galakan awal untuk menjalankan aktiviti berkebun di bandar. Antara pendekatan bagi merancang dan melaksanakan program/aktiviti pertanian bandar: (i) Memberi tumpuan kepada golongan B40/miskin bandar. (ii) Memberi kesedaran dan memupuk amalan bertani di kalangan penduduk bandar sebagai pengeluar makanan mereka sendiri. (iii) Menjadikan pertanian bandar sebagai aktiviti berterusan untuk menjamin pengeluaran bahan makanan yang berkualiti dan selamat dimakan. Program pertanian bandar ini telah bermula pada tahun 2014 dan sehingga kini, seramai 137,596 orang penduduk bandar dari 5,731 lokasi di seluruh negara (termasuk WP Labuan, Sabah dan Sarawak) telah mendapat faedah melalui insentif one-off berbentuk input pertanian, latihan dan khidmat nasihat teknikal. Pada 5 Jun 2020 yang lalu, kerajaan telah melancarkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bagi merangsang semula ekonomi dan membantu meringankan kos sara hidup rakyat melalui aktiviti projek pertanian bandar dalam bentuk bantuan input pertanian seperti benih, baja, infrastruktur ladang, peralatan pertanian, khidmat nasihat dan latihan kepada individu dengan nilai RM500 (maksimum) bagi setiap penerima dan RM50,000 (maksimum) bagi setiap komuniti Projek Pertanian bandar telah diperuntukan oleh kerajaan sebanyak RM 10 juta di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi dan ini merupakan tambahan kepada Projek Pembangunan Pertanian Bandar sedia ada dalam Rancangan Malaysia Ke 11 dengan tujuan untuk membantu rakyat Malaysia khususnya golongan B40 yang sepertimana yang disebut awal tadi. Dalam masa yang sama juga, Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, Menteri Pertanian dan Industri Makanan juga telah mengambil inisiatif untuk memohon peruntukan fasa ke-2 untuk tahun 2021. Secara dasarnya dengan pelaksanaan ini, Jabatan Pertanian berharap agar masyarakat sama-sama menghasilkan makanan sendiri yang dalam jangkamasa panjang akan dapat membantu penurunan harga bahan makanan negara yang diimport, kedapatan bekalan makanan tempatan secara berterusan, mengurangkan kadar kemiskinan bandar dan membantu pengurusan persekitaran bandar. Selain itu, penanaman di bandar ini dapat menyokong usaha kerajaan dalam menjamin kualiti dan jaminan makanan negara. Program pertanian bandar ini juga diharap dapat memupuk kesedaran dan minat terhadap pertanian sebagai penyumbang kepada kesejahteraan dan keceriaan persekitaran serta mewujudkan interaksi sosial antara antara jiran melalui aktiviti pertanian ini Orang ramai boleh mengikuti dan mendapatkan maklumat di website rasmi Jabatan Pertanian ataupun facebook Bahagian Pertanian Bandar, Jabatan Pertanian Malaysia untuk mendapatkan pelbagai aktiviti terkini pertanian dan tips-tips tanaman. #myDOA #PertanianBandar #PENJANA











Wednesday, October 21, 2020

SKIM PENGESAHAN BENIH PADI JABATAN PERTANIAN

 





Benih Padi Sah merupakan benih daripada progeni benih asas atau daftar yang dikawal pengeluarannya mengikut prosedur tertentu bagi memastikan tahap ketulenan genetik dan diperakui di bawah Skim Pengesahan Benih Padi. Pengeluaran dan pembekalan benih padi sah telah dilaksanakan oleh pengeluar benih swasta yang telah dilantik oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Jabatan Pertanian berperanan sebagai agen pengesah yang menjalankan pemantauan dan pengauditan berpandukan kepada prosedur di dalam Standard Jabatan Pertanian Malaysia : Spesifikasi Pengeluaran Benih Padi (Oryza sativa) dan Malaysian Standard MS 469 : 2012 (Rice (Oryza sativa L.) inbred seed planting materials – Specification (Second revision). 



Pengeluaran benih padi sah bermula dengan pembangunan varieti baru yang superior oleh agensi penyelidikan seperti MARDI.  Pihak MARDI bertanggungjawab untuk menyediakan benih baikbaka dan pembekalan benih padi asas.  Benih asas akan dibekalkan kepada pengeluar benih swasta untuk mengeluarkan benih daftar dan seterusnya benih sah.


Proses pengeluaran benih sah adalah tertakluk kepada syarat dan prosedur yang telah ditetapkan di dalam Skim Pengesahan Benih Padi Sah (SPBP). Skim ini merupakan satu sistem kualiti kepada pengeluar benih padi swasta bagi mengeluar dan membekal benih padi untuk tujuan penanaman mengikut syarat dan piawaian yang ditetapkan. Aspek penting di bawah skim ini melibatkan pematuhan kepada ketetapan sumber serta generasi benih yang digunakan dan piawaian yang ditetapkan melalui pemeriksaan dan pengauditan yang dijalankan.



Pemeriksaan dan pengauditan akan dilaksanakan oleh Pegawai Inspektorat Bahagian Kawalan Kualiti Tanaman. Sebanyak 11 prosedur (SAP 1 hingga SAP 11) yang perlu dilalui oleh setiap pengeluar benih swasta. Aliran Kerja adalah seperti di Gambar Rajah 1. Antara elemen-elemen yang penting dalam pengeluaran benih sah adalah;

  • Tapak semaian dan ladang benih : Memenuhi jarak pemencilan dan kesempurnaan tapak.
  • Sumber kategori benih yang diperakui : Menanam dari sumber yang sah. Pembuktian sumber benih diwajibkan.  
  • Pemeriksaan ladang : Pemeriksaan ladang dijalankan di empat peringkat iaitu peringkat pra-tanam, tampang, berbunga dan pra-tuai. Ia bertujuan untuk memastikan varieti yang ditanam mengikut ciri-ciri varieti dan memenuhi piawaian ladang seperti yang ditetapkan dalam dokumen Standard Jabatan Pertanian Malaysia SJPM – 2009.
  • Pemeriksaan loji pemprosesan benih padi : Loji pemprosesan benih padi mestilah dalam keadaan bersih dan bebas daripada sebarang pencemaran atau percampuran varieti.
  • Ujian kualiti biji benih : Tiga jenis ujian yang dijalankan iaitu ujian ketulenan fizikal, kelembapan dan percambahan bertujuan untuk menentukan samada benih padi yang telah diproses mememenuhi piawaian minimum biji benih seperti yang ditetapkan dalam dokumen Standard Jabatan Pertanian Malaysia SJPM – 2009.
  • Pemeriksaan stor dan stok : Hanya benih padi yang telah mendapat perakuan sahaja ditawarkan untuk jualan. Lot benih padi mestilah dalam keadaan baik, teratur dan mudah dikesan.
  •  Label perakuan kualiti : Lot benih yang memenuhi piawaian mempunyai label perakuan kualiti benih yang ditetapkan.



Gambar Rajah 1 : Aliran Kerja Skim Pengesahan Benih Padi


Gambar Rajah 1 : Aliran Kerja Skim Pengesahan Benih Padi


Melalui skim SPBP ini, benih padi sah adalah dijamin untuk benih yang tulen, cergas dan tidak tercemar dengan bahan asing, rumpai dan padi angin serta tidak dijangkiti oleh penyakit berbahaya.  Ia merupakan kategori benih yang mempunyai potensi yang tinggi untuk tumbuh apabila ditanam di ladang. Ia boleh dikenali melalui ciri-ciri berikut:

i.     Benih padi sah dibungkus dalam beg khas dengan berat bersih 20 kg/beg

ii.     Beg benih padi sah  mempunyai jalur biru dan Logo Kerajaan Malaysia.

iii.   Setiap beg benih padi sah mempunyai label perakuan kualiti berwarna biru sebagai identiti produk.

 


Penggunaan benih padi sah adalah penting bagi mendapatkan tumbesaran tanaman yang seragam selain dapat mengelakkan pencemaran benih rumpai berbahaya, benih padi angin dan serangan penyakit berbahaya yang dibawa melalui benih.

 

Rujukan

(1)   Jabatan Pertanian Malaysia (2012) : Prosedur Skim Pengesahan Benih Padi Jabatan Pertanian Malaysia\

(2)   Portal Rasmi Jabatan Pertanian (n.d). Skim Pengesahan Benih Padi , Retrived from http://www.doa.gov.my/index.php/pages/view/407

 Disunting oleh Yunif Ibrahim Ahmad







Friday, October 16, 2020

Mudahnya Tanam Sayur Bayam




 

Bayam adalah sejenis sayuran daun yang mengandungi vitamin A, B dan C dan zat-zat galian seperti kalsium dan besi. 

Terdapat dua jenis bayam iaitu: 

a. Jenis berwarna hijau, berdaun lebar dan kadangkala berdaun bujur. 

b. Jenis berwarna hijau keunguan dan kemerahan. 

Bayam sesuai ditanam di pelbagai jenis tanah terutama tanah gembur liat ringan dan tanah liat berpasir. Tanah yang kaya dengan bahan organik, mempunyai saliran yang baik dan mempunyai kemasaman (pH) tanah di antara 5.5 - 6.5 adalah paling sesuai.

Menyedia Batas 

Bajak dan gemburkan tanah sebelum menyediakan batas.  Ukuran batas ialah 120 sm lebar, 20 - 30 sm tinggi dan 760 sm panjang. Jarak antara batas ialah 30 cm. Buat tiga alur kecil memanjang di permukaan batas.

Menanam

Bayam ditanam terus dengan menggunakan biji benih. Oleh kerana biji benih bayam adalah halus, gaulkan biji benih dengan pasir atau tanah peroi sebelum disemai. Kemudian taburkan sama rata ke dalam alur-alur di atas batas. Selepas 2 - 3 hari anak benih akan bercambah. Jarakkan mengikut ukuran yang disyorkan iaitu 8 – 10 sm antara pokok dan 45 sm antara barisan. Sebanyak 1 - 3 kg biji benih diperlukan untuk 1 hektar. 

Bayam boleh juga disemai di dalam tapak semaian sebelum diubah ke batas. Sebelum menyemai gaulkan biji benih dengan racun kulat seperti thiram dengan kadar 3 gm thiram dengan 1000 gm biji benih untuk mencegah penyakit melecuh. Lebih kurang 12 hari selepas menyemai, siram anak-anak benih dengan baja larutan urea sebanyak 4 gm dalam seliter air. Sungkupan penuh perlu dibuat 3 hari selepas menyemai. Ubah dan tanam anak-anak benih ke atas batas yang elah disediakan selepas 3-4 minggu disemai.

Penjagaan

Membaja 

Baja organik seperti tahi ayam boleh digunakan sebagai baja asas. Baja ini digaul ke dalam batas. Lebih kurang 5 tan metrik baja ini diperlukan untuk sehektar. 


 Sebagai panduan 7 hari lepas tanam. 

a. 240 gm Sulphate of Amonia 

b. 24 kg Triple Superphosphate 

c. 120 kg Muriate of Potash 

Baja-baja ini digaul dan ditabur di antara lorong-lorong pokok setiap minggu. 

Menyiram

Bayam memerlukan air yang banyak untuk pembesarannya. Dalam musim panas penyiraman dilakukan sebanyak 2 kali sehari iaitu pada waktu pagi dan petang.


Sungkupan 

Sungkupan diletakkan di atas batas selepas mengubah. Gunakan pelepah kelapa atau rumput-rumput kering sebagai bahan sungkupan. Sungkupan boleh mengawal kehilangan air, mengawal pertumbuhan memperbaiki struktur dan kesuburan tanah. 

Merumput 



Kawalan rumpai dilakukan sepanjang masa. Merumput boleh dilakukan dengan tangan.

MEMUNGUT HASIL 



Bayam boleh dituai 3 – 4 minggu selepas ditanam atau apabila pokok mencapai 20 – 25 sm tinggi. Kutipan dibuat 3 - 7 hari sekali. Pokok dicabut atau dipotong batangnya.



Jika anda merasakan artikel ini berguna buat anda dan sahabat lain. Sila Share, Komen dan Follow blog ini. 

Sumber : InfoTani 02/07.13/15R(7)

Disunting oleh : Yunif Ibrahim Ahmad



MAFI akan perkenal harga siling benih padi



Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan memperkenalkan harga siling benih padi dan melaksanakan pembelian menerusi sistem kupon.

Menurut kenyataan MAFI hari ini, langkah itu diambil selepas kata sepakat dicapai di antara kementerian dan wakil petani dalam sesi dialog yang diadakan bagi mengatasi permasalahan benih padi yang sering dihadapi pesawah.

Menurut kenyataan itu, MAFI akan melantik Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) sebagai pengedar tunggal benih padi sah terus kepada pesawah. 

"Pengedaran dan pembekalan benih padi sah ini akan dikawal menerusi sistem yang akan dibangunkan oleh Nafas secara dalam talian. Oleh yang demikian, pemantauan dan kawal selia dapat dilaksanakan dengan lebih baik," demikian menurut kenyataan itu.

MAFI berkata ia juga akan membuka peluang kepada lebih banyak pihak untuk turut serta dalam penghasilan benih padi sah termasuk pihak Pertubuhan Peladang Kawasan, syarikat berkaitan kerajaan dan swasta. 

"Bagaimanapun, pihak yang akan dilantik kelak tetap dipantau dan dinilai secara teknikal dan kewangan menerusi jawatankuasa yang akan dilantik," kata MAFI.

Menurut MAFI, sebelum ini pesanan benih padi sah dibuat dalam tempoh lima hingga enam bulan sebelum musim penanaman bermula kepada kesemua pengeluar benih padi sah yang dilantik oleh kerajaan persekutuan.  

"Bagaimanapun, ada sebahagian pengeluar tidak dapat membekalkan sepenuhnya sebagaimana yang dipesan berdasarkan kepada kapasiti pengeluaran semasa, perubahan pesanan pada saat-saat akhir dan sebagainya," demikian menurut kenyataan itu.

Selain itu, MAFI berkata walaupun kerajaan telah menetapkan harga RM28 bagi setiap beg benih padi sah seberat 20 kilogram  untuk dijual di pintu kilang pengeluar benih padi sah, terdapat eksploitasi harga oleh ejen atau orang tengah.

Sebuah akhbar melaporkan mengenai kewujudan orang perseorangan yang memanipulasi harga benih padi termasuk menyorokkan stok setiap kali musim penanaman padi.

Individu terbabit dilaporkan bertindak memanipulasi harga serta mengedarkan benih kampit putih yang jauh lebih rendah kualitinya.

#myDOA


Sumber : Bernama.com

Friday, October 9, 2020

RAMPASAN RACUN PEROSAK TIDAK BERDAFTAR DI BAWAH AKTA RACUN MAKHLUK PEROSAK 1974







Seksyen Penguatkuasaan, Bahagian Kawalan Racun Perosak dan Baja, Jabatan Pertanian Malaysia dalam operasi yang dijalankan pada 6 Oktober 2020 telah membuat serbuan ke premis menjual dan menyimpan racun makhluk perosak dan merampas pelbagai racun makhluk perosak tidak berdaftar di sebuah premis di Rawang, Selangor. Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan  berjumlah RM476,760.00.


 

Premis ini dijadikan hub penyimpanan sebelum racun makhluk perosak tersebut dihantar dan diedarkan ke seluruh negara mengikut pesanan yang diterima. Racun makhluk perosak yang dirampas antaranya adalah bagi kegunaan kawalan rumpai dengan pelbagai jenama yang disyaki mengandungi perawis aktif Paraquat Dichloride yang tidak berdaftar dan telah diharamkan penggunaan di Malaysia mulai 1 Januari 2020. Pelbagai racun serangga berlabel tulisan negara jiran dan tidak berlabel disyaki merupakan racun tiruan turut dirampas di tempat kejadian.

 

Kes ini disiasat di bawah Akta Racun Makhluk Perosak 1974 mengikut seksyen 13(1)(b) iaitu iaitu mengilang racun makhluk perosak tidak berdaftar, seksyen 20(3) iaitu menjual racun makhluk perosak tidak berdaftar dan seksyen 53A(1)(a) iaitu memiliki racun makhluk perosak tidak berdaftar.

 

Bagi kesalahan di bawah seksyen 13(1)(b) boleh dihukum dibawah seksyen 13(2) akta yang sama iaitu bagi kesalahan kali pertama, dipenjarakan selama lima (5) tahun atau didenda  lima puluh ribu ringgit, bagi kesalahan di bawah seksyen  20(3) boleh dihukum dibawah seksyen 20(4) iaitu bagi kesalahan kali pertama, dipenjarakan selama tiga (3) tahun atau didenda sepuluh ribu ringgit. Manakala bagi kesalahan di bawah seksyen 53A(1)(a) boleh dihukum dibawah seksyen 53A(2) iaitu bagi kesalahan kali pertama, dipenjarakan selama satu (1) tahun atau didenda sepuluh ribu ringgit.

 

Kepentingan keselamatan makanan hasil pertanian akan sentiasa menjadi keutamaan. Pihak jabatan juga menasihatkan agar semua yang terlibat dengan aktiviti racun makhluk perosak hendaklah sentiasa patuh dengan kehendak di bawah Akta Racun Makhluk Perosak 1974. Pengguna dan petani dinasihat agar tidak mudah terpedaya dengan sindiket yang menjual racun makhluk perosak tidak berdaftar dan sentiasa menggunakan racun makhluk perosak yang berdaftar. Pengguna boleh mendapatkan maklumat racun makhluk perosak berdaftar dari Sistem Maklumat Racun Makhluk Perosak (SISMARP) yang boleh dilayari di laman sesawang Jabatan Pertanian Malaysia dipautan www.doa.gov.my.

 

Jabatan Pertanian sentiasa komited dalam membanteras penjualan dan penggunaan racun makhluk perosak tidak berdaftar. Sekiranya orang ramai mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti racun makhluk perosak yang melanggar kehendak              Akta Racun Makhluk Perosak 1974, sila laporkan kepada :

Jabatan Pertanian Malaysia,

Bahagian Kawalan Racun Perosak dan Baja, 

Tingkat 4-6 Wisma Tani, 

Jalan Sultan Salahuddin, Kuala Lumpur, 

Faks 03-2694 7001 

pro@doa.gov.my