Rahsia Mendapatkan Mangga Harumanis Yang Tulen Dan Asli
Mangga Harumanis MA128 |
Mangga Harumanis (MA 128) merupakan mangga yang popular di negeri Perlis dan menjadi sebutan ramai apabila tiba musimnya pada bulan April hingga Jun. Kemanisan yang mencapai 24 % brix dan keharumannya sangat digemari oleh penggemarnya dimana ia sesuai dimakan secara segar dibuat jus dan dimakan bersama pulut. Permintaan Harumanis semakin tinggi sejak kebelakangan ini kerana ia telah berjaya menembusi pasaran di negara Jepun mulai 2010. Pokok mangga mula ditanam di negeri Perlis secara besar-besaran pada tahun 1983 melalui Program Pengurusan Perladangan Berkelompok dan seterusnya dikembangkan di bawah Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu Negeri Perlis (IADP). Harumanis merupakan kebanggaan rakyat di negeri Perlis selain ia juga merupakan buah Diraja untuk negeri ini. Terkini, keluasan penanam Harumanis di Perlis telah menjangkau 1037.91 hektar dan keluasan berhasil 655.10 hektar.
Rupa bentuk mangga Harumanis MA128 |
Apabila tiba musim Harumanis, penggemar buah ini sanggup datang dari seluruh pelusuk Negara ke negeri Perlis semata-mata ingin merasai keenakkan sebenar Harumanis ini. Statistik terbaru pengunjung Pusat Pertanian Bukit Bintang dari bulan April sehingga Mei 2017 telah mencecah 40, 000 orang. Ini menunjukkan bertapa Harumanis ini mempunyai status yang tersendiri di hati penggemarnya. Harumanis mempunyai permintaan yang sangat tinggi kebelakangan ini sehinggakan pengeluaran buahnya tidak dapat menampung permintaan penggemarnya. Justeru, timbullah isu tentang penipuan Harumanis. Penjual sanggup menipu pengguna dengan mengatakan buah mangga jenis lain adalah Harumanis berikutan kurangnya pengetahuan dalam mengenali rupa bentuk sebenar Harumanis ini.
Terdapat beberapa jenis mangga tempatan mahupun import yang menyerupai mangga Harumanis tetapi ianya masih boleh dibezakan oleh pengguna sendiri dan tidak memerlukan kepakaran yang tinggi dalam proses pengenalpastian ini. Mangga yang sering diperkatakan Harumanis ialah antaranya Thong Dam (Mas Hitam MA219), Melele/Susu (MA204), Putra Kayangan (MA222) dan Thong Dam Burma (diimport daripada Thailand).
Pengguna sering ditipu oleh penjual dengan harga yang mahal setanding Harumanis. Penjual kebanyakan melabelkan buah-buah mereka sebagai Harumanis Tipu, Harumanis Kawin dan Harumanis Thailand. Selain itu, penjual juga melabelkan buah mangga seperti Perlis Sunshine sebagai Harumanis. Alasan yang diberikan adalah buah Harumanis sebenar telah habis dijual dan ini boleh mengelirukan pembeli.
Buah mangga yang menyerupai mangga harumanis
Justeru, pengguna haruslah berwaspada dan tidak gelojoh dalam urusan pembelian Harumanis.
Buah mangga yang menyerupai mangga harumanis
Thong Dam Burma
|
Mangga Mas Hitam MA219 |
Mangga Melele MA204 |
Mangga Melele MA204 |
Perlis Sunshine / Mangga Sala |
Pelbagai kempen telah dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian Negeri Perlis dalam mengatasi masalah penipuan ini. Antaranya ialah pengedaran risalah mengenal Harumanis juga telah dilakukan dari tahun 2015 kepada orang ramai. Selain itu, poster mengenai ciri Harumanis juga telah dipaparkan di kawasan tumpuan pelancong di sekitar Perlis. Pemantauan bersepadu bersama beberapa agensi seperti Jabatan Pertanian, FAMA, KPDNKK, MARDI, Jabatan Kesihatan, PDRM dan Majlis Perbandaran Kangar telah dilakukan secara berjadual untuk memantau penjualan Harumanis tipu di sekitar kawasan penjual Harumanis yang menjadi tumpuan ramai. Pengguna dinasihatkan supaya membeli buah Harumanis di ladang-ladang yang telah dipersijilkan dan perakui oleh Jabatan Pertanian. Langkah-langkah tersebut telah diambil untuk memastikan Industri Harumanis negeri Perlis terus maju dan berjaya.
Operasi Pemantauan Harumanis sekitar Perlis
Pengguna perlulah mengetahui ciri-ciri Harumanis (MA128) seperti berikut:
- Buah masak berwarna hijau (bergantung pada jenis dan warna pembalut)
- Buah tiada leher
- Hujung buah rata dan tumpul
- Ada kehadiran sinus yang sederhana dalam
- Serat yang terlekat pada biji sangat sedikit
- Serat yang terlekat pada kulit sangat sedikit.
- Tekstur isi halus
- Isi buah masak bewarna kuning jingga, manis, harum dan sangat berjus
- Biji jenis poliembrio
- Berat buah diantara 350-650 g
No comments:
Post a Comment